Wednesday, April 1, 2015

GST



Hari ini (1 April 2015) merupakan hari yang paling bersejarah dalam sejarah negara kita. Hari ini merupakan hari pertama di mana sistem cukai perkhidmatan dan barangan (GST) mula dilaksanakan. Seluruh rakyat akan terlibat tiada mengira siapa.

Saya tidaklah berhasrat untuk membicarakan perkara ini secara serius. Rasanya lebih elok kita membicarakannya secara santai sahaja. Biar gaya dan cara mana pun kita membicarakan hal ini, ia tetap dilaksanakan dan kita semua harus akur dengan pelaksanaannya.

Sebelum ini pelbagai pihak telah mengutarakan pelbagai pandangan mengenai pelaksanaan GST ini. Ada yang begini dan ada juga yang begitu. Ada pro dan ada juga yang kontras. Antara tokoh ternama yang turut sama melontarkan pandangannya ialah seorang mantan perdana menteri dan juga seorang mantan menteri kewangan. Oleh kerana kedua-duanya sekadar mantan, maka pandangan kedua-duanya pun berstatus mantan jugalah.

Biar apa pun, seperkara yang tidak dapat dinafikan, kesan langsung dan golongan paling awal yang akan merasai kesan daripada pelaksanaan GST ini akan dirasai oleh golongan berpendapatan rendah. Walhal mereka merupakan antara penyokong tegar pihak yang begitu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan sistem GST ini. Kasihan mereka!

Sebenarnya beberapa hari sebelum hari pertama pelaksanaan GST ini, harga makanan telah pun naik. Khabarnya juga harga beberapa barangan lain juga sudah pun dinaikkan. Sebagai contoh, saya biasa beli/makan burgar di sebuah kedai. Sebelum ini harga 1 burgar daging ialah RM2.80. Walau bagaimanapun, beberapa hari sebelum 1 April, harganya sudah pun naik kepada RM3.00 sebiji. Bila saya tanya mengapa harga burgar sudah naik, penjualnya tidak menjawab, sekadar tersenyum untuk memperlihatkan giginya sahaja.

Hakikatnya harga barangan di negara kita bukan dikawal oleh pihak yang berkuasa. Apa yang sering berlaku ialah kuasa pasaran lebih unggul dalam menentukan harga sesuatu barangan daripada kuasa pihak yang berkuasa. Maka itulah, kenaikan harga barangan yang sering berlaku gagal ditangani oleh pihak yang berkuasa. Ini terbukti bilamana penurunan sementara harga minyak pada bulan Januari dan Februari baru-baru ini tidak langsung memberi kesan kepada penurunan harga barangan. Dengan pelaksanaan GST ini sudah tentulah semakin sukar untuk pihak yang berkuasa untuk menstabilkan harga pelbagai barangan. Bila harga sesuatu barangan atau perkhidmatan sudah naik, maka amat sukar untuk harganya turun lagi.

Langkah untuk menaikkan gaji dan upah sektor awam dan swasta juga tidak akan memberi kesan yang baik untuk jangka panjang. Apabila gaji dan upah naik, ia akan mendorong untuk kenaikan harga barangan dengan lebih drastik lagi. Pada masa yang sama, pihak yang berkuasa juga tidak berkuasa untuk meletakkan harga semua barangan dan perkhidmatan di bawah skim kawalan harga. Ia memang mustahil untuk dilakukan. Akhirnya golongan yang paling awal yang akan menerima kesan ialah mereka yang berpendapatan rendah dan juga mereka yang berpendapatan tidak tetap. Apa nak buat, nasib badanlah!

Pelaksanaan GST mulai hari ini juga turut menyerlahkan kreativiti masyarakat kita. Pelbagai makna akronim berbeza terhasil daripada 3 huruf berkenaan – GST. Ada yang begini dan ada yang begitu. Mungkin ini salah satu untuk mengurangkan stress kerana usaha untuk menghalang pelaksanaan GST gagal.

Ada juga yang meminta supaya kita mulakan hari ini dengan niat persis macam niat awal bulan Ramadhan pula. Semuanya gara-gara pelaksanaan GST.

Selain itu, ada juga yang menyebarkan di media sosial beberapa hadith tentang kenaikan harga barangan yang kononnya pernah berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. Terus terang saya akui sebelum ini saya tidak pernah diperdengarkan dengan hadith-hadith sedemikian. Benar tidaknya, wallahu aalam. Mengenai hal ini saya tidak mahu mengulas lanjut. Para pakar hadith boleh memberi pandangan mereka.

Orang ramai akan mulai merasai kesan pelaksanaan GST ini setelah pelaksanaannya berjalan untuk tempoh tertentu. Mungkinkah ia berbentuk tepukan gemuruh atau mungkin bernada keluhan panjang. Sama-samalah kita nantikan!


No comments: