Secara tidak rasminya, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sudah pun menjalin hubungan dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), khususnya dengan Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) sejak tahun 2008 lagi. Kebetulan pula , tahun 2008 merupakan tahun pertama di mana fakulti berkenaan memperkenalkan kursus yang berkaitan dengan tulisan Braille, terutamanya Quran Braille dan Jawi Braille. Uniknya kursus berkenaan ditawarkan kepada pelajar yang berpenglihatan.
(Antara pelajar USIM yang mengikuti kelas berkaitan Braille tahun 2009)
Untuk maklumat bersama, tiada kursus khusus dengan OKU penglihatan yang diajar di fakulti berkenaan. Ini bermakna, tiada subjek berkaitan O&M, pedagogi atau yang seumpamanya yang mengkhusus dengan golongan cacat penglihatan yang diajar di fakulti berkenaan. Kursus yang diketengahkan benar-benar mengkhusus kepada sistem tulisan Quran dan Jawi Braille semata-mata.
Selain itu, sejak tahun 2008, boleh dikatakan hampir setiap tahun para pelajar yang terlibat di FPQS, USIM akan datang ke ibu pejabat PERTIS untuk tujuan tertentu. Antaranya untuk melaksanakan sebahagian daripada kerja kursus, untuk mendalami lebih lanjut tentang tulisan Quran Braille, untuk mempelajari penggunaan perisian Duxbury Braille Translator (DBT), atau setidak-tidaknya mengadakan lawatan muhibah sambil mendalami lagi info mengenai golongan OKU.
Di samping kunjungan muhibah daripada para pelajarnya, para pensyarahnya juga turut sama mengadakan kunjungan ke ibu pejabat PERTIS dan juga di pejabat wilayah terutamanya PERTIS Terengganu. Di samping mengeratkan hubungan peringkat institusi, kunjungan sedemikian amat besar faedahnya ke arah mewujudkan saling memahami antara kedua-dua pihak iaitu di peringkat AJK PERTIS dengan kakitangan peringkat fakulti. Justeru, boleh dikatakan hubungan antara kedua-dua pihak sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang masa.
Selain itu, FPQS juga sering menganjurkan majlis ilmu seperti forum atau seminar. Tujuannya untuk mendekatkan antara para pelajar dengan masyarakat OKU khususnya mereka yang cacat penglihatan. Setahu saya, majlis ilmu sedemikian dianjurkan oleh para pelajar sendiri. Manakala kakitangan akademiknya bertindak selaku pemantau dan penasihat. Tujuannya ialah untuk memberi pendedahan dan pengalaman yang secukupnya kepada para pelajar dalam menganjurkan majlis-majlis yang bersifat rasmi dan yang melibatkan orang luar. Dalam majlis-majlis sedemikian, biasanya mereka akan mengundang PERTIS sama ada sebagai ahli panel, pembentang kertas kerja atau setidak-tidaknya sebagai tetamu khas. Setelah melalui pengalaman sedemikian beberapa tahun, saya merasakan ia telah menghasilkan manfaat yang amat besar. Para pelajar dapat didedahkan dengan masyarakat OKU penglihatan dengan lebih dekat lagi. Bagi mereka, kesempatan sedemikian bukannya mudah untuk diperolehi.
Bagi saya, kemuncak hubungan antara kedua-dua pihak ialah bilamana termetrainya memorandum persefahaman (MOU) pada 12 Mac 2012 di USIM. Memorandum ditandatangani sendiri oleh Prof. Datuk Muhammad Muda yang merupakan Naib Canselor USIM ketika itu bagi pihak USIM dan saya sendiri menandatangani bagi pihak PERTIS. Penandatanganan memorandum berkenaan amat penting terutamanya bagi PERTIS sendiri kerana ia telah mewujudkan kerjasama secara lebih rasmi dengan USIM. Penandatanganan MOU berkenaan juga merupakan pengiktirafan yang tinggi terhadap PERTIS oleh USIM. Ia juga merupakan kejayaan PERTIS dalam usahanya untuk “memasyarakatkan PERTIS”. Maklumlah pada ketika itu dan di saat ini pun PERTIS merupakan sebuah organisasi yang masih lagi di tahap “sedang bertatih”. Maka itu, jalinan hubungan dengan institusi seperti USIM amat penting dan seharusnya sentiasa berada di tahap terbaik sepanjang masa.
Antara sumbangan besar FPQS USIM ialah bilamana berjaya menghasilkan Iqra’ dalam bentuk Braille. Ini membuktikan FPQS USIM telah berjaya menguasai kemahiran sistem tulisan Quran dan Jawi Braille dengan begitu baik sekali. Dengan persetujuan daripada pihak yang berkaitan di USIM, soft copy Iqra’ dalam bentuk Braille telah diserahkan kepada bahagian penerbitan PERTIS untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar. Hasilnya, hari ini ramai golongan cacat penglihatan dapat belajar iqra’ dengan menggunakan buku Iqra’ Braille yang telah diusahakan oleh FPQS USIM. Di samping itu, tidak dapat dinafikan juga PERTIS turut meraih pendapatan yang bukan sedikit jumlahnya daripada buku berkenaan untuk kepentingan persatuan. Sedangkan pada masa yang sama, pihak yang telah mengusahakan buku berkenaan di USIM tidak meminta habuan atas apa yang telah mereka usahakan.
Kita selalu mengharapkan supaya panas biarlah sampai ke petang. Kita juga tidak pernah menyangka sebelum panas sempat sampai hingga ke petang, hujan sudah pun turun pada waktu tengah hari. Tatkala jalinan hubungan antara PERTIS dengan FPQS USIM berada pada tahap yang cukup harmoni, rupa-rupanya ada individu tertentu yang telah berkelakuan tidak baik sehingga berupaya mencacatkan hubungan PERTIS – FPQS USIM yang sedia ada. Kelakuan, kata-kata dan ulasannya dalam media sosial amat tidak cocok dengan kecacatan dan perwatakannya. Kehadiran individu yang bersifat lain kulit dan lain isi ini dalam satu majlis di USIM baru-baru ini rupa-rupanya telah mencalarkan hubungan baik antara PERTIS dan USIM. Situasi ini digawatkan lagi bilamana ada individu (pihak ketiga) lain yang tidak tahu hujung pangkal isu sebenar turut melontarkan komen yang tidak sepadan dengan penampilannya selaku kononnya orang yang berilmu dan berpengetahuan. Saya penuh yakin, mazhab mana sekalipun, termasuklah para imam dalam dalangan ahlul bait tidak mengajar pengikutnya supaya mencaci, memaki atau menghamburkan kata-kata carut terhadap orang lain, terutamanya terhadap saudara-saudara yang seagama dengannya.
Bagi saya, adalah tidak kena bila individu berkenaan cuba membandingkan antara USIM dengan sebuah lagi IPTA lain. Seperti yang saya katakan, di FPQS USIM, kursus yang berkaitan dengan pendidikan khas masih belum lagi diperkenalkan. Apa yang ada ialah kursus berkaitan sistem tulisan Quran dan Jawi Braille sahaja. Sedangkan IPTA yang menjadi bandingannya sememangnya mengkhusus dalam pendidikan khas. Jadi sudah tentulah para pelajar IPTA berkenaan sudah pun didedahkan dengan pelbagai aspek dalam bidang pendidikan khas. Sesungguhnya keikhlasan dan kesudian kakitangan dan para pelajar FPQS USIM untuk menjalinkan hubungan dengan kita merupakan suatu rahmat yang tiada ternilai harganya.
Saya amat bersetuju dengan pendapat dan kenyataan pimpinan tertinggi PERTIS bahawa kelakuan dan kenyataan tidak berhemah daripada individu berkenaan bukan mewakili pendirian PERTIS. Pada masa yang sama, kita juga harus ingat iaitu individu berkaitan berada dalam majlis berkenaan atas kapasitinya salah seorang daripada wakil PERTIS. Oleh itu, bilamana beliau berkelakuan kurang wajar, sedikit sebanyak tempiasnya turut terpercik kepada PERTIS juga. Lain kali bila hendak memilih mana-mana individu untuk mewakili PERTIS ke mana-mana majlis rasmi, periksalah dahulu isi dan kulitnya.
Sepanjang penglibatan saya dalam konteks hubungan antara PERTIS dan USIM, tidak pernah sekali pun saya terasa hati atau berkecil hati atau terasa diperlekehkan atau terasa didiskriminasikan atau yang seumpamanya oleh mana-mana pihak di FPQS USIM. Daripada kakitangan biasa di pejabat hinggalah ke dekannya, termasuklah para pelajarnya, kehadiran saya ke fakulti berkenaan sentiasa mendapat layanan yang cukup baik dan mesra. Bahkan saya sering merasa malu kerana sering diberikan layanan yang sedemikian rupa.
Justeru, saya penuh yakin, apa yang terjadi baru-baru ini bukanlah kerana pihak yang berkenaan di FPQS USIM tidak tahu memberi layanan kepada tetamunya yang OKU. Sebaliknya ia berpunca daripada sikap individu berkenaan yang kurang berhemah, sensitif tak tentu hala, merasa dirinya hebat tak tentu fasal serta tidak memahami matlamat dan tujuan sebenar beliau berada di majlis berkenaan.
Selaku OKU, kita jangan sekali-kali sensitif tak tentu hala, nanti semua orang tidak mahu berkawan dengan kita. Apabila kita berada di tengah masyarakat, jangan sekali-kali mengharapkan layanan yang istimewa, yang sepatutnya kita terima ialah layanan yang sama rata. Selaku OKU juga, jangan sekali-kali kita merasa cukup hebat kerana orang yang berpenglihatan itu jauh lebih hebat daripada kita. Jika kita ada sedikit kelebihan, itu bukan tanda kita hebat, sebaliknya ia merupakan tanda keadilan Tuhan ke atas makluk-Nya. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Kepada para pelajar FPQS USIM yang terlibat dengan forum baru-baru ini, ingatlah bidalan orang tua-tua, walaupun rambut sama hitam tetapi hati tak sama putih. Walaupun kami sama cacat penglihatan, tetapi corak dan cara berfikir tetap berbeza. Saya amat berharap, apa yang telah berlaku tempoh hari tidak akan mencacatkan persepsi anda terhadap golongan OKU penglihatan.
Di samping itu, lebih jauh lagi saya juga amat berharap semoga hubungan baik dan intim antara PERTIS dengan USIM khususnya dengan FPQS tidak akan terjejas dengan kelakuan dan tindakan tidak berhemah daripada individu berkenaan. Saya amat berharap “kerana nila setitik habis susu sebelanga” tidak akan berlaku dalam konteks hubungan antara PERTIS dan FPQS USIM.
Pihak pimpinan tertinggi PERTIS juga harus mengambil langkah-langkah tertentu agar perkara yang serupa tidak berlaku pada masa hadapan. Ia bukan sahaja dalam konteks hubungan dengan FPQS USIM bahkan seharusnya mencakupi semua pihak dalam hubungan luar PERTIS. Mana-mana individu yang sering bersifat tidak berhemah dan berpotensi untuk mencalarkan nama baik PERTIS tidak seharusnya mewakili persatuan dalam mana-mana majlis rasmi yang melibatkan organisasi atau institusi lain.
Sejarah memberitahu kita, iaitu sesiapa yang merasa dirinya lebih baik atau lebih hebat daripada orang lain, dia berpotensi besar untuk sesat sepanjang hayat.
No comments:
Post a Comment