Sunday, April 26, 2015

Siri Jelajah Tun Mahathir




Pada 25 April (Sabtu), saya berkesempatan menghadiri siri ceramah yang disampaikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ceramah berlangsung di K Club, Taman Melawati, Selangor. Siri ceramah berkenaan diberi nama “Tun Dr. Mahathir: Bicara Negarawan Ulung”.

(suasana sebelum ketibaan Tun Mahathir)


Tun Mahathir mula berceramah sekitar jam 10 pagi. Saya sendiri telah tiba ke lokasi ceramah sekitar jam 9.25 pagi. Sewaktu saya sampai, kenderaan sudah banyak. Saya sendiri terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh dari premis tempat berlangsungnya ceramah berkenaan.

Tujuan utama saya hadir ialah untuk mendengar sendiri secara lebih dekat isi ceramah yang disampaikan oleh insan yang digelar “negarawan ulung” ini. Kalau sekadar untuk mendengar ceramah beliau, ia berlambak di lelaman Youtube, tetapi untuk merasai sendiri suasana tatkala ceramah disampaikan, maka di sinilah antara tempatnya.

Berdasarkan pendengaran saya serta saksi mata, memang orang ramai menghadiri ceramah beliau kali ini. Walaupun ceramah beliau tidak diwar-warkan di media arus perdana, ia tetap mendapat sambutan hangat. Khabarnya ada juga sepanduk yang memberitahu kononnya ceramah beliau akan berlangsung pada 26 April, tetapi ia tidak menggugat kehadiran orang ramai.



Berdasarkan ulasan daripada orang ramai yang tertangkap oleh telinga saya yang berhampiran tempat saya duduk, rata-rata mereka merupakan pendokong setia Tun Mahathir. Ada yang menyanjung kehebatan buah fikiran beliau. Ada yang masih merasai beeliau (Tun Mahathir) masih perdana menteri Malaysia. Ada yang mangkagumi keupayaan Tun Mahathir untuk bersuara walaupun dalam usia hampir 90 tahun.

Berdasarkan pendengaran saya juga, orang ramai yang hadir datangnya daripada pelbagai tempat. Mereka bukan sahaja datang dari kawasan sekitar seperti saya, tetapi ada juga yang datang dari negeri-negeri lain. Jadi, bolehlah saya membuat rumusan awal, kehebatan Tun Mahathir masih belum tergugat.



Ruang utama hanya boleh dimasuki oleh mereka yang ada kad sahaja. Bagi hadirin yang tidak mempunyai apa-apa kad seperti saya, kami terpaksa menonton/mendengar ceramah Tun Mahathir di ruang luar sahaja. Ruang ini pula agak panas. Hadirin hanya boleh menonton melalui skrin yang disediakan. Orang seperti saya pula hanya mendengar menerusi pembesar suara yang disediakan. Mungkin kerana keinginan yang tinggi untuk mendengar isi ceramah Tun Mahathir, maka situasi yang agak panas tidak menjadi halangan. Apa yang penting mereka dapat mengikuti apa yang disampaikan oleh Tun Mahathir dengan jelas.

Malangnya ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Para hadirin yang mengikuti ceramah Tun Mahathir dari ruang yang tidak eksklusif tidak dapat mengikuti ceramahnya dengan baik. Segala-galanya berpunca daripada sistem pembesar suaranya yang buruk dan amat perlahan suaranya. Walaupun hal demikian telah dimaklumkan kepada pihak yang berkaitan, ia tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya. Hal ini saya sandarkan kepada rungutan salah seorang daripada hadirin yang duduk di hadapan saya. Sekali-sekala saya mendengar gelakan dan tepukan dari ruang utama tapi tidak tahu apa yang mereka tepuk dan gelakkan.

Setelah sekitar 40 minit ceramah berlangsung dan sistem pembesar suaranya tidak juga dibaiki, orang ramai yang mengikuti ceramah di ruang yang tidak eksklusif mula meninggalkan lokasi ceramah. Saya dan isteri juga berbuat demikian. Saya turut mendengar sebilangan hadirin meluahkan kekecewaan masing-masing terhadap pihak penganjur dan juga sistem pembesar suaranya yang buruk.

(Orang ramai mula tinggalkan dewan kerana sistem audio yang buruk)


Kalau saya tidak silap, ini merupakan siri pertama daripada siri jelajah yang akan dilakukan oleh Tun Mahathir. Nampaknya siri pertama ini sudah mempamirkan penganjuran yang tidak sempurna. Hadirin yang datang merungut. Orang ramai meninggalkan majlis sebelum ceramah berakhir. Yang syok sendiri ialah mereka yang berada dalam ruang yang selesa dan lebih eksklusif sahaja.

Saya tidak berhasrat untuk mengupas isi ceramah Tun Mahathir kelmarin. Lagipun saya masih belum mendengarnya semula.


No comments: