Sunday, May 7, 2017

Makam Almarhum Sultan Ali Di Umbai





Pada 30 April (Ahad) yang lalu, saya berkesempatan menziarahi makam Almarhum Sultan Ali Ibn Almarhum Sultan Husein Muhammad Shah. Makam baginda terletak bersebelahan dengan Masjid Al-Kauthar di Umbai. Masjid ini juga turut dikenali sebagai Masjid Umbai. Saya berada di sisi makam baginda sekitar 10 minit. Di sekitar makam Almarhum Sultan Ali, terdapat beberapa makam lain yang tidak bernama. Kebiasaannya mereka adalah kerabat kepada sultan yang dimakamkan (Almarhum Sultan Ali).


(Makam Almarhum Sultan Ali)


Saya memang tidak pernah kenal batang tubuh baginda, jauh sekali daripada berjabat salam dengan baginda. Selama ini pun, hanya sejarah yang pernah dilakar oleh baginda sahaja yang pernah saya baca. Namun demikian, setidak-tidaknya saya telah menjumpai pintu yang pernah dilalui oleh Almarhum Sultan Ali untuk ke negeri akhirat.

Nama penuh baginda ialah Sultan Ali Ibn Almarhum Sultan Husein Muhammad Shah Ibn Almarhum Sultan Mahmud III Ibn Almarhum Raja Abdul Jalil (Raja Di Baruh) Ibn Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibn Almarhum Sultan Abdul Jalil Shah IV, iaitulah Bendahara Tun Habib Abdul Jalil yang menjadi bendahara semasa pemerintahan Sultan Mahmud (Marhum Mangkat Dijulang). Bendahara Tun Abdul Jalil ini menjadi sultan Johor-Riau kerana Marhum Mangkat Dijulang itu dikatakan telah mangkat tanpa meninggalkan putera sebagai pewaris. Bila keadaan sedemikian berlaku, maka bendahara akan ditabalkan sebagai sultan yang baru. Demikianlah adatnya. Manakala ayahanda Tun Habib Abdul Jalil inilah Tun Habib Abdul Majid yang juga dikenali sebagai Tun Habab.

Almarhum Sultan Husein Muhammad Shah (ayahanda Almarhum Sultan Ali) pula menjadi raja di Singapura setelah berlaku perebutan takhta dengan saudaranya yang lebih muda, Raja Abdul rahman, iaitu setelah kemangkatan Sultan Mahmud III pada tahun 1812. Dengan bantuan daripada Raffles serta sokongan kuat daripada Temenggung Abdul Rahman (Temenggung Johor ketika itu), Tengku Husein telah ditabalkan sebagai raja Singapura dengan gelaran Sultan Husein Muhammad Shah. Baginda juga dikenali sebagai Yang Dipertuan Selat. Oleh kerana kuasa dan pengaruh Sultan Abdul Rahman (sultan Johor-Riau ketika itu) yang turut disokong kuat oleh Raja Jaafar iaitu Yam Tuan Muda Riau ke-6, sangat lemah, maka baginda tidak mampu untuk berbuat apa-apa dengan apa yang sedang berlaku di Singapura. Kelemahan dan porak-puranda yang berlaku dalam kesultanan Johor-Riau ketika itu telah memberi peluang yang seluas-luasnya kepada Inggeris dan Belanda untuk memecah-belahkan alam Melayu ikut sesuka mereka. Kesan jangka panjangnya ialah dunia Melayu hari ini sudah terbahagi dua, mungkin buat selama-lamanya. Peristiwa berkenaan juga bolehlah dianggap sebagai titik permulaan kepada terpisahnya Singapura daripada Tanah Melayu hingga ke hari ini. Inilah akibatnya kalau para pemimpin yang ada tanpa mengira dari generasi mana sekalipun tidak memikirkan kesan masa depan terhadap apa jua tindakan yang dilakukan pada masa mereka sedang berkuasa.

Almarhum Sultan Ali sepatutnya mewarisi takhta ayahandanya, Sultan Husein yang telah mangkat pada tahun 1835. Namun demikian, akibat daripada persaingan kuasa dengan temenggung Johor ketika itu dan juga gara-gara campur tangan daripada pihak British, Sultan Ali akhirnya hanya menguasai kawasan sekitar Sungai Kesang dan Sungai Muar sahaja. Setelah kemangkatan baginda pada tahun 1877, dengan campur tangan British, anakanda baginda, Tengku Alam tela dipastikan tidak menaiki takhta bagi menggantikan ayahanda baginda. Dengan ini berakhirlah martabat anak cucu Sultan Husein sebagai raja. Hari ini segala anak cucu baginda yang ada merupakan rakyat biasa sahaja. Demikianlah fitrah dan putaran alam. Jika ia boleh berlaku pada generasi zaman dahulu kala, maka fitrah dan putaran alam sedemikian juga boleh berlaku pada generasi yang akan datang sekiranya kesilapan yang serupa terus diulang.


(Sekitar makam Sultan Ali).


Nenda baginda, Sultan Mahmud III, merupakan raja dan yang dipertuan bagi Johor, Pahang, Riau dan juga Lingga. Cucunda baginda, Sultan Ali, hanya menguasai sekitar Sungai Kesang dan Sungai Muar sahaja. Demikianlah peredaran dunia. Kuasa, kedudukan, darjat dan kebesaran bukanlah warisan mutlak kepada anak cucu kita. Ia boleh hilang sama ada secara sekelip mata atau pun secara beransur-ansur.


(Sekitar Masjid Umbai).


Di sinilah terserlahnya kepentingan disiplin sejarah. Barang siapa yang gagal belajar daripada sejarah, maka dia akan dihukum dengan terus mengalaminya.


No comments: