Sunday, May 7, 2017

Seminar Alquran Braille PERTIS 2017







Untuk maklumat bersama, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) akan menganjurkan satu seminar tentang Alquran Braille. Seminar berkenaan akan diadakan pada hari Sabtu, 20 Mei 2017 (23 Shaaban 1438H). Ia akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga jam 6.00 petang. Seminar berkenaan akan diadakan di Hotel City Vila, Kuala Lumpur. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM60.00 yang mencakupi makan minum ketika seminar serta bahan-bahan seminar.


(Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat Alquran Braille Bil 4)


Penyertaan seminar adalah terbuka kepada sesiapa yang berminat. Mereka yang berminat untuk menyertainya boleh mendaftar kepada urus setia penganjur, Pn. Ruslina di ibu pejabat PERTIS. Beliau boleh dihubungi menerusi telefon (pejabat) 03-40212631 pada waktu pejabat.

Pada sesi sebelah pagi, 2 kertas kerja akan dibentangkan. Kertas kerja pertama adalah mengenai Alquran Braille cetakan PERTIS, satu tinjauan. Manakala kertas kerja kedua pula akan berkisar pada Dhabtulquran dalam sistem tulisan Braille Alquran.

Di sebelah petangnya pula akan berlangsung forum yang bertemakan memperkasakan Alquran Braille dalam pendidikan. Ia akan melibatkan 3 orang ahli panel yang berwibawa. Para peserta seminar juga akan diberi peluang untuk turut serta berkongsi idea bernas dengan mengemukakan soalan, cadangan, pandangan atau sebagainya terutamanya dalam slot sesi soal jawab sama ada sewaktu pembentangan kertas kerja mahupun semasa forum.

Adalah diharapkan agar seminar yang akan berlangsung nanti akan berjaya menghasilkan resolusi yang konstruktif dan komprehensif dalam usaha kita untuk memartabatkan Alquran Braille. Sesungguhnya usaha untuk memartabatkan Alquran Braille masih jauh perjalanannya. Jika kita tidak berusaha untuk memulakannya, sampai bila pun kita tidak akan tiba ke penghujungnya.


No comments: