Thursday, August 24, 2017

Isu Memali Bergema Lagi





Hari ini, isu berkaitan tragedi Memali yang telah berlaku hampir 32 tahun lalu bergema semula. Bila ia dibangkitkan semula, bererti isu ini masih belum ada jalan penyelesaiannya. Bahkan pada hemat saya, selagi belum ada penyelesaian yang benar-benar muktamad, ia akan terus dibangkitkan dari masa ke masa mengikut selera orang tertentu dan kepentingan politik semasa.

Klik di sini untuk membaca Memali: Kecoh Nothing To Hide 2.0 dari perspektif Abdul Hadi Awang

Dalam hal ini, PAS satu-satunya pihak yang masih konsisten dengan saranan mereka iaitu penubuhan badan siasatan bebas bagi menyiasat apa sebenarnya yang telah berlaku. Ia mungkin disebabkan mangsa tragedi berkenaan seperti (almarhum) Ustaz Ibrahim Libya adalah ahli PAS sendiri. Maka itulah saranan dan suara PAS dalam isu tersebut masih senada sejak dahulu lagi. Bahkan PAS sejak awal lagi telah meuar-uarkan bahawa mereka yang terkorban dalam tragedi tersebut adalah syahid.

Klik di sini untuk membaca artikel bertajuk “Perbezaan pandangan tidak halalkan keganasan, kata aktivis masyarakat”

Dalam konteks PAS, nampaknya parti berkenaan akan menyokong siapa sahaja yang bercadang untuk menubuhkan badan siasatan berkaitan tragedi Memali. Ia tak ubah bagai orang mengantuk disorong bantal. Namun demikian, sebagai sebuah parti politik yang telah lahir sejak sebelum merdeka lagi, PAS seharusnya mampu mengenal jenis ikan yang terkilas di air sama ada jantan atau betina. PAS sepatutnya dapat memahami motif sebenar saranan pihak yang berkenaan untuk penubuhan suruhanjaya diraja mengenai tragedi Memali ketika ini. Sekiranya saranan penubuhan suruhanjaya berkenaan hanya bertujuan politik dan sekadar untuk melakukan serangan politik ke atas mana-mana individu yang sudah berstatus “tokoh arkib”, maka PAS tidak harus bersama pihak yang berkenaan. Ia sekadar membuang masa sahaja.

(Perkuburan mangsa tragedi Memali di Parit Panjang)


Ada juga pihak yang mengaitkan tragedi di Memali dengan sedutan isi ucapan yang pernah disampaikan oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang pada 7 April 1981 di Kampung Banggul Peradong yang kemudiannya dikenali sebagai Amanat Haji Hadi.

Klik di sini untuk mendengar tentang Amanat Haji Hadi

Bagi saya, sekiranya pihak yang berkuasa merasakan penubuhan suruhanjaya diraja merupakan suatu keperluan dan jalan terbaik bagi menyelesaikan isu berkaitan tragedi Memali, maka sudah tentulah suruhanjaya berkenaan telah lama ditubuhkan dan siasatan mengenainya mungkin sudah pun selesai. Namun demikian, mungkin selama ini dari sudut politiknya ia bukanlah sesuatu yang stragegik untuk dilaksanakan, maka penubuhan suruhanjaya berkenaan sebagaimana yang dituntut oleh PAS bukanlah suatu keperluan dan penubuhannya harus diabaikan sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.

Pada hemat saya, sekiranya sesuatu isu negara itu akan diselesaikan atas pertimbangan politik semata-mata, maka sampai bila-bila pun penyelesain mutlak mengenainya tidak akan tercapai. Sebaliknya isu berkenaan akan terus-menerus dibangkitkan sebagaimana isu Memali yang kedengaran semula pada hari ini.

(Balu dan anak Ustaz Ibrahim Libya)


Secara peribadi saya merasakan isu Memali yang bergema semula hari ini hanyalah mainan dan omongan kosongan orang tertentu semata-mata. Isu ini diangkat ke tengah masyarakat bagi dijadikan senjata politik untuk menyerang individu tertentu. Jika ditakdirkan individu yang sedang nenjadi sasaran serangan politik masa kini kembali semula ke lubuk asalnya, isu Memali pasti akan disenyapkan semula.

Mereka yang terus dipermainkan bila isu ini berbangkit semula adalah keluarga mangsa yang terkorban dalam peristiwa berdarah tragedi Memali 1985. Merekalah yang sebenarnya amat dahagakan keadilan hingga ke hari ini.



Tuesday, August 22, 2017

Pn Hajjah Ramlah @ Kamsiah Binti Johan





Mungkin nama Hajah Ramlah @ Kamsiah binti Johan tidak dikenali terutamanya oleh sebahagian besar ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Namun demikian, setelah mengenali beliau sejak beberapa tahun, saya terpanggil untuk memperkenalkan beliau khususnya kepada sekalian ahli PERTIS walaupun Hajah Ramlah atau lebih mesra saya memanggilnya sebagai makcik sahaja tidak pernah memintanya.

(Pn Hajjah Ramlah @ Kamsiah)


Kini usia beliau sudah menjangkau 78 tahun. Saya mula mengenali makcik ini hampir 5 tahun lamanya. Waktu mula-mula saya bertemu dengan beliau ialah apabila beliau bertandang ke ibu pejabat PERTIS di Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur. Tujuan utama kedatangan beliau ketika itu ialah untuk menyerahkan wang tajaan bagi penerbitan Alquran Braille. Saya tidak ingat ketika itu berapa naskah Alquran Braille yang beliau telah menajanya. Namun demikian, jumlahnya mungkin sekitar 10 naskah Alquran Braille.

Baru-baru ini, beliau tampil lagi dengan menyerahkan sejumlah RM6200 dengan tujuan yang sama iaitu untuk penerbitan Alquran Braille. Selanjutnya beliau telah mengamanahkan kepada PERTIS untuk mengedarkan Alquran Braille berkenaan kepada mereka yang ingin menggunakannya. Wang sebanyak di atas boleh mencetak sebanyak 31 naskah Alquran Braille. Daripada 31 naskah, beliau telah meminta senaskah untuk beliau simpan dan dijadikan kenang-kenangan.



Pada petang Sabtu lepas, saya sekeluarga telah ke rumah beliau dan menyerahkan senaskah Alquran Braille sebagaimana yang beliau minta. Beliau sangat terharu bila melihat Alquran Braille sambil kehairanan bagaimana titik-titik yang timbul boleh dibunyikan dengan bunyi Alquran bila dibaca.



Kini dengan usia yang hampir mencecah ke 80 tahun, penglihatan beliau semakin hilang. Katanya, beliau dan saya hampir serupa. Namun begitu, Makcik Kamsiah masih berharap agar keputusan doktor pada 28 Ogos ini akan menghasilkan keputusan yang positif untuk kemungkinan pembedahan mata beliau. Maklumlah situasi, kondisi dan persepsi orang yang hilang penglihatannya selepas pernah melihat dunia dengan orang yang sememangnya telah sedia hilang penglihatannya semasa lahir ke dunia memang amat jauh berbeza.

Sesungguhnya sumbangan beliau kepada masyarakat cacat penglihatan khususnya ke arah membolehkan kita semua membaca Alquran Braille amat besar maknanya. Setahu saya, amat jarang orang perseorangan yang sudi mengeluarkan wang sakunya sendiri sebanyak itu kepada PERTIS untuk tujuan membolehkan golongan cacat penglihatan membaca dan beroleh manfaat daripada Alquran.

(Menantu dan anak Makcik Hjh Ramlah)


Saya juga tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ayu (anak makcik Kamsiah) dan menantunya (Hafiz) yang selalu menjadi penghubung antara Makcik Kamsiah dengan PERTIS.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Makcik Kamsiah serta keluarganya akan sentiasa dalam rahmat Allah serta akan sentiasa beroleh keampunan-Nya sepanjang masa, dunia dan akhirat.


Sunday, August 20, 2017

Konvocation Kolej Vokasional Seluruh Malaysia Di USIM




Pada malam 19 Ogos (Sabtu), saya sekeluarga berkesempatan mengunjungi tapak pesta konvocation kolej vokasional (KV) seluruh Malaysia. Ia berlangsung di sekitar perkarangan DTC, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Untuk malam tadi, hanya jualan di gerai dan persembahan sahaja diadakan di samping beberapa siri ucapan.

(Ustaz Sabri dari KV Setapak baca doa)


Selepas bacaan doa dan siri ucapan, acara telah diteruskan dengan persembahan oleh Ustaz Amal. Beberapa lagu nasyid popular nyanyian beliau telah diperdengarkan. Menarik juga persembahannya.

Klik di sini untuk persembahan Ustaz Amal

Sebenarnya kehadiran saya di konvocation berkenaan ialah kerana isteri saya masih lagi merupakan salah seorang tenaga pengajar di salah sebuah KV. Maka itulah juga sekali-sekala secara tidak langsung saya turut sama hadir dalam beberapa program yang melibatkan KV.

(Saya dan isteri)


Lagipun rakan-rakan setugas isteri saya baik-baik semuanya. Kebanyakan mereka bukan sahaja sudi menegur saya bila berjumpa, bahkan ramai juga yang tidak segan silu untuk berseloroh dengan saya. Maka itulah juga bila saya menghadiri majlis KV bersama isteri, saya tidaklah merasa kekok. Demikianlah adanya.

Tatkala saya asyik mendengar suasana di sekeliling, seorang lelaki menyapa saya. Saya ingat-ingat lupa akan suaranya. Setelah agak lama, beliau pun memperkenalkan diri, “Sayalah, Muhammad Radzi”.

(Saya dan Mejar Muhammad radzi)


Baru saya ingat kembali, beliau merupakan antara rakan baik saya ketika di kampus dahulu. Beliau junior sedikit daripada saya. Sewaktu di kampus dahulu, Muhammad Radzi Musa ini merupakan penuntut Fakulti Usuluddin, Akademi Islam. Kali akhir kami berpisah ialah pada tahun 1994 iaitu setelah beliau menamatkan pengajiannya di UM. Ini bermakna kami sudah terpisah sekitar 23 tahun lamanya. Namun demikian beliau masih ingat lagi akan rupa saya, sebab itulah beliau boleh menyapa saya dalam nada yang penuh yakin. Agaknya wajah keremajaan saya masih tidak berubah banyak, sebab itulah Radzi masih boleh menegur saya tanpa syak, zan dan waham lagi!

Seperti yang saya katakan, sewaktu di kampus hubungan kami berdua agak rapat. Waktu itu Radzi ada sebuah motor sikal. Jadi ada ketikanya bila saya hendak ke mana-mana, beliau antara yang sering saya minta tolong untuk hantarkan dan lazimnya beliau tidak pernah menolaknya.

Selanjutnya beliau telah berkhidmat dalam Ko Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Kini beliau masih lagi dalam perkhidmatan tentera dan sudah pun berpangkat mejar.

Antara persamaan yang ada pada saya dan Radzi ialah isteri kami berdua merupakan lepasan Fakulti Syariah dan kedua-duanya sedang berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Kolej Vokasional. Isteri kami berdua juga merupakan orang Pahang tapi dari daerah yang berlainan.

Akhirnya bila tiba saatnya, kami berpisah sekali lagi. Walau bagaimanapun, perpisahan kali ini insha-Allah akan menjanjikan pertemuan yang berikutnya dalam masa terdekat.

Di bawah ini, saya kongsikan beberapa foto di sekitar majlis konvocation KV yang telah saya hadiri untuk tatapan bersama.




Nampaknya coretan saya kali ini lebih kepada pertemuan dengan rakan lama dan bukannya di sekitar majlis konvocation KV yang telah saya hadiri. Maaflah lari sedikit daripada tajuknya.

Friday, August 18, 2017

PERTIS Negeri Sembilan Sudah Dibubarkan




Baru-baru ini saya mendapat khabar iaitu Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Negeri Sembilan telah dibubarkan. Saya terkejut dengan berita tersebut. Akhirnya salah seorang AJK kanan PERTIS Pusat telah mengesahkan berita berkenaan kepada saya. Beliau turut memberikan beberapa sebab mengapa PERTIS Negeri Sembilan terpaksa dibubarkan. Pejabat PERTIS Negeri Sembilan juga sudah ditutup dan bangunannya pun sudah diserahkan kembali kepada pemilik asalnya.

(Majlis Aidil Fitri di Pejabat PERTIS Negeri Sembilan pada 1 September 2013)


Seingat saya, PERTIS Negeri Sembilan telah dilancarkan penubuhannya pada tahun 2009. Ia menjadikan PERTIS Negeri Sembilan sebagai cawangan keempat PERTIS di peringkat negeri ketika itu. Pelancaran PERTIS Kedah sebagai cawangan PERTIS yang kelima telah menyusul kemudiannya.

Sejak itu, PERTIS mempunyai 5 cawangan di peringkat negeri yang turut merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu. Ia tidak termasuk ibu pejabat PERTIS Pusat di Kuala Lumpur yang turut menguruskan ahli di Kuala Lumpur, Selangor serta di negeri-negeri yang mana PERTIS masih belum mempunyai cawangan. Saya rasa sudah menjadi cita-cita sebahagian besar ahli PERTIS agar suatu hari nanti PERTIS akan mempunyai cawangannya di setiap negeri di Malaysia.

Bagi saya, pembubaran PERTIS Negeri Sembilan merupakan satu langkah ke belakang. Ia telah membantutkan cita-cita sebilangan ahli PERTIS lain untuk melihat cawangan PERTIS ada di setiap negeri. Adalah juga dibimbangi pembubaran PERTIS Negeri Sembilan akan dituruti oleh PERTIS cawangan di negeri lain pula kerana cawangan PERTIS yang “sakit” bukannya satu. Mudah-mudahan khabar yang menggerunkan ini tidak menjadi realiti.

Sebenarnya kedudukan PERTIS Negeri Sembilan sebagai sebuah cawangan yang tidak aktif bukanlah perkara baru. Sejak dari dahulu lagi PERTIS Negeri Sembilan merupakan antara cawangan PERTIS yang kurang aktif. Namun demikian, pada masa lalu, PERTIS Pusat sentiasa memberi sokongan padu terhadap mana-mana cawangannya yang kurang aktif termasuklah PERTIS Negeri Sembilan. Bila PERTIS Negeri Sembilang menganjurkan sebarang aktiviti, lazimnya kehadiran ahli PERTIS dari KL lebih ramai daripada ahli di Negeri Sembilan sendiri. Di samping itu, PERTIS Negeri Sembilan juga pernah muncul antara cawangan PERTIS yang mempunyai dana yang agak besar.

(Bengkel Alquran Braille anjuran bersama Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan pada Jun 2011)


Selain itu, pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan juga mempunyai hubungan yang baik dengan PERTIS Negeri Sembilan. Bahkan para pegawai daripada jabatan yang berkaitan pernah memberi jaminan kepada saya (waktu itu saya masih lagi selaku YDP Pusat) bahawa mereka sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi menganjurkan sebarang aktiviti yang bermanfaat kepada ahli-ahli PERTIS Negeri Sembilan.

Di samping itu, pada hemat saya, jika pertolongan dan bantuan mereka diperlukan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terutamanya menerusi FPQS juga tidak akan keberatan untuk menghulurkan sebarang bentuk kerjasama. Lagipun sememangnya sudah ada MOU kerjasama antara PERTIS Pusat dan USIM yang sepatutnya sudah lama dimanfaatkan oleh PERTIS Negeri Sembilan.

Berdasarkan sokongan daripada dua pihak di atas, sepatutnya PERTIS Negeri Sembilan tiada masalah untuk melaksanakan aktiviti yang bersesuaian dan bermanfaat terutamanya kepada ahli-ahli PERTIS Negeri Sembilan sendiri. PERTIS Negeri Sembilan sepatutnya sudah lama mengambil peluang untuk terus maju dan benar-benar berfungsi hasil jalinan hubungan yang rapat serta kerjasama erat daripada pihak-pihak berkenaan.

Seperkara lagi, sudah tentulah para ahli bawahan seperti saya akan tertanya-tanya, bagaimana PERTIS Negeri Sembilan harus dibubarkan sedangkan pada masa sama ada sebuah lagi cawangan badan bukan kerajaan lain yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan di Negeri Sembilan yang masih hidup dan tidak dibubarkan? Dari sudut tempoh masa pula, cawangan badan bukan kerajaan tersebut lebih awal ditubuhkan daripada PERTIS dan ia masih lagi berfungsi hingga sekarang. Adakah PERTIS Pusat sudah membuat sedikit kajian bagaimana cawangan badan bukan kerajaan yang berkenaan masih terus berfungsi biar pun mereka juga turut sama dilanda pelbagai masalah? Adakah keputusan membubarkan PERTIS Negeri Sembilan diambil bertujuan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang ada secara singkat dan mudah?

Besarlah harapan saya dan juga mungkin sebilangan besar ahli PERTIS yang lain supaya pembubaran yang telah berlaku merupakan pembubaran terakhir dalam PERTIS. Selepas ini amatlah diharapkan agar tiada lagi berlaku pembubaran mana-mana cawangan PERTIS yang masih ada. Kita juga sama-sama berdoa agar PERTIS Negeri Sembilan dapat dihidupkan semula dengan iltizam dan semangat baru yang lebih padu.


Monday, August 14, 2017

Kekecohan Dalam Program Nothing To Hide 2.0




Sebagaimana yang sedang tersebar luas menerusi pelbagai media sosial, program Nothing To Hide 2.0 akhirnya telah bertukar menjadi gelanggang kekecohan. Pelbagai tanggapan, ulasan serta dakwaan kemudiannya timbul ekoran daripada kekecohan yang berlaku.

Klik di sini untuk menonton sebahagian kekecohan yang berlaku

Dalam era ledakan teknologi masa kini, peristiwa yang berlaku seperti kekecohan dalam program Nothing To Hide 2.0 akan tersebar dengan begitu pantas dan meluas. Dengan secepat kilat, seluruh dunia dapat mengakses dan mengetahui peristiwa yang telah berlaku sama ada dalam bentuk tulisan, foto mahupun dalam bentuk video. Bagi saya, apa yang berlaku cukup memalukan rakyat dan negara ini.

Sebagai rumusan awal terhadap insiden semalam, politik di negara ini masih belum lagi mencapai tahap kematangan yang diharapkan. Insiden yang berlaku jelas memaparkan sikap pramatang sebilangan orang khususnya ketika berhadapan dengan saingan politik di gelanggang debat. Sepatutnya hujah hendaklah dibalas dengan hujah sahaja dan bukannya dengan balingan objek.

Ia juga menunjukkan politik kepartian masih cukup tebal. Benar atau batilnya sesuatu perkara bukan bergantung kepada fakta dan data atau analisis intelek yang berasas dan bernas, sebaliknya ia amat bergantung kepada ideologi parti politik mana yang sedang dianuti. Maknanya di sini, sokongan dan dokongan yang membabi buta akan diberikan kepada parti politik yang sedang menguasai emosi seseorang. Apa sahaja yang dilakukan oleh parti politik dokongannya dianggap benar dan betul tanpa sebarang pertimbangan lagi.

Walaupun mungkin parti politik dokongannya melakukan kesilapan atau kesalahan, ia tetap dianggap betul dan benar. Sebaliknya bila kumpulan lain yang menjadi saingan kepada parti politik dokongannya melakukan sesuatu yang boleh menggugat pengaruh parti politik dokongannya, maka ia akan cuba dihalang dengan apa cara sekalipun walaupun dengan cara ala samseng dan berunsurkan gangsterisme. Demikianlah adanya.

Klik di sini untuk membaca komen Khairy Jamaluddin tentang kekecohan dalam program Nothing To Hide 2.0


Ramai juga pihak yang telah mengecam pihak yang menjadi dalang kepada kekecohan tersebut. Namun demikian, setakat ini masih belum jelas siapa sebenarnya dalang di sebalik kekecohan tersebut. Walaupun ada pihak yang sudah membuat dakwaan tentang penglibatan pihak tertentu sebagai dalangnya, namun begitu kita harus tunggu siasatan oleh pihak berwajib mengenainya.

Semua orang amat mengalu-alukan siasatan yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa. Besar harapan semua pihak agar siasatan yang akan dilakukan hendaklah dilaksanakan secara adil tanpa memilih bulu dan warna politik.

Sesungguhnya politik ala samseng dan gangsterisme hanya sekadar memaparkan corak dan cara berfikir kita yang masih belum sempurna tamadunnya.

Sunday, August 13, 2017

Cahaya Mata Amat Dan Haida




Semalam (12 Ogos), saya dan keluarga berkesempatan untuk mengunjungi Amat dan keluarganya di Putrajaya. Tujuan saya sekeluarga ke rumah mereka ialah untuk menziarahi Amat dan Haida yang baru dikurniakan cahaya mata pertama mereka dan sekaligus menziarahi bayi comel mereka. Haida memberitahu, nama bayi comel mereka ialah Ainul Mardhiyah (maaflah kalau salah ejaan).

(Bayi comel Amat dan Haida)


Amat dan Haida begitu ceria sekali di sepanjang saya di rumahnya. Maklumlah sekarang sudah berstatus bapak dan ibu. Saya amat memahami keceriaan mereka berdua sekarang kerana saya pernah melaluinya 16 tahun yang lalu.

(Klik di sini untuk mendengar lagu Anak Pertama oleh Datuk M. Daud Kilau).

Selain Amat, Haida dan bayi comel mereka, ibu mertua Haida dan adik perempuan Haida juga turut ada bersama. Selain itu, Ahmad Qusairi juga turut ada untuk sama-sama menziarahi Amat dan keluarganya. Mungkin dalam diam, Qusairi juga menyimpan hasrat suatu hari nanti untuk merasai keceriaan yang sedang dirasai oleh Amat dan Haida kini.

(Ainul Mardhiyah sedang tidur)


Tatkala saya dan keluarga ingin meninggalkan rumah Amat, Rosmadi dan keluarganya pula tiba. Sebenarnya kami semua tumpang gembira dengan kelahiran bayi pertama Amat dan Haida.


(Rosmadi dan keluarganya)


Mudah-mudahan bayi ini akan menjadi wanita solihah dan penyejuk mata dan hati kedua-dua ibu bapanya, insha-Allah.


Saturday, August 12, 2017

Kedai Jahit Seri Mewah




Kedai jahit Seri Mewah terletak di Wangsa Maju, KL. Seingat saya, sudah 11 tahun saya berurusan dengan kedai ini. Walaupun saya bukan antara pelanggan yang kerap mengunjungi kedai jahit ini, tetapi bila saya memerlukan pakaian baru maka kedai inilah yang akan saya kunjungi untuk membuat tempahan atau membelinya.



Bagi saya, satu keistimewaan kedai ini ialah kualiti jahitan pakaiannya yang amat baik. Sebab itulah juga ada antara seluar kerja yang sering saya pakai ke sekolah sudah pun berusia 11 tahun tetapi masih kelihatan baik dan tidak dimakan masa.

(Cheam Ah Hock)


Pemilik kedai ini, En. Cheam Ah Hock, juga merupakan seorang yang peramah, mudah dirundingi dan mujamalah orangnya. Walaupun saya tidak datang ke kedainya dalam tempoh yang agak lama, beliau tetap melayani kedatangan saya dengan cukup baik dan mesra. Begitulah agaknya sifat seorang peniaga yang bijak.

(Saya dan Cheam Ah Hock)


Bagi saya, sesiapa yang mementingkan kualiti pakaian daripada harganya, maka kedai ini amat sesuai untuk memenuhi citarasa pelanggan sedemikian. Saya akui harganya setikit tinggi, tetapi cukup berbaloi dengan kualiti pakaiannya, bak kata pepatah Melayu, alah membeli menang memakai.

Saya sekadar berkongsi maklumat dan pengalaman semata-mata.