Sunday, May 9, 2010

Suara Abang Amin Memang Merdu

Suara Abang Amin Memang Merdu

Terlebih dahulu, saya mohon berbanyak kemaafan kepada pengunjung blog ini kerana tiada foto yang disertakan bersama-sama posting ini. Sebenarnya beberapa keping foto di dewan utama Kompleks MAB telah saya ambil dengan bantuan seorang petugas yang belum saya kenali. Entah di mana silapnya, foto yang telah diambil itu tidak menjadi. Walau bagaimanapun, bantuan daripada petugas berkenaan tetap saya harga dan saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Semalam (8 Mei), saya bersama-sama beberapa orang guru serta 43 murid daripada sekolah saya telah ke kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Tujuan kami ialah untuk melaksanakan aktiviti perkampungan bahasa yang mendapat tajaan sepenuhnya daripada MAB. Seharian kami di sana.

Selepas kudapan, sekitar jam 1045 pagi, saya sempat masuk ke dewan utama MAB selama 15 minit. Di sini ada aktiviti anjuran Elderly Blind Club (EBC). Sewaktu saya masuk ke dewan, Abang Amin (Mohd Amin bin Md Nor) sedang mendendangkan sebuah lagu Inggeris yang berjudul You Mean Everything To Me. Saya terpegun dengan kemerduan suara Abang Amin. Walaupun saya sudah mengenali dan akrab dengan beliau sejak hampir 2 dekad, tetapi ini kali pertama saya mendengar beliau menyanyi. Memang saya tak pernah menyangka Abang Amin boleh menyanyi dan suara beliau semerdu ini. Antara rakan-rakan lain yang kedengaran suara mereka ialah Abang Taslim, En. Godfrey Ooi, Cik Ng Lai dan beberapa orang lagi. Saya tidak pun memanggil/menegur mereka kerana keadaan yang tidak kondusif untuk saya berbuat demikian.

Tatkala saya sedang asyik menikmati kemerduan suara Abang Amin, sekonyong-konyong, saya terus teringatkan sebilangan rakan saya yang juga punya bakat besar dalam seni suara dan juga seni muzik. Saya kira, Abang Amin masih bernasib baik kerana beliau seorang yang berkerjaya. Beliau merupakan seorang kakitangan awam yang sedang berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan. Abang Amin tidak bergantung hidup dan rezekinya kepada bakat seni suara yang ada padanya.

Realitinya, tidak semua orang cacat penglihatan yang punya bakat besar dalam seni suara dan seni muzik bernasib baik sebagaimana Abang Amin. Ramai juga di antara mereka yang memang bergantung hidup sepenuhnya dengan bakat seni suara atau seni muzik yang ada pada mereka. Setakat dalam pengetahuan saya, sehingga kini, bilangan mereka yang cacat penglihatan yang mampu menjadikan bakat seni suara dan seni muzik sebagai mata pencarian hidup yang benar-benar dapat menjamin masa depan mereka masih boleh dihitung dengan jari sebelah tangan. Selebihnya harus menjadi pemuzik dan penyanyi jalanan. Walaupun ada di antara mereka yang punya suara yang sangat merdu dan berbakat besar dalam bidang muzik, tetapi amat jarang sekali mereka berpeluang untuk terlibat dalam konsert yang besar di hotel yang berbintang-bintang.

Oleh itu, golongan cacat penglihatan yang dikategorikan sebagai pemuzik dan penyanyi jalanan tadi tiada pilihan lain. Demi sesuap nasi dan seteguk air, mereka harus berkonsert di hadapan pusat-pusat membeli-belah, di pasar-pasar malam, di pasar-pasar tani atau di tempat-tempat tumpuan umum yang lain. Manakala persepsi sebahagian besar masyarakat kita pula, golongan seperti ini lebih dipandang sebagai pengemis daripada penghibur.

Setakat ini, saya tidak nampak situasi sebegini akan berubah dalam masa singkat. Kalau ditanya pada bakal majikan, mengapa golongan cacat penglihatan yang berbakat besar dalam bidang seni muzik tidak diambil bekerja dengan mereka? Jawapan yang diberi mudah sahaja, kerana mereka tidak ada sijil dalam bidang muzik. Jadi, di manakah golongan pemuzik tadi boleh mendapatkan sijil mereka?

Hakikatnya, sijil yang mereka perlukan tidak ada di pusat-pusat membeli-belah, tidak ada di pasar-pasar malam, tidak ada di pasar tani atau di pejabat buruh. Jadi, pihak manakah yang seharusnya memberikan tempat, ruang dan peluang kepada mereka yang punya bakat besar dalam seni muzik ini untuk memperoleh sijil? Jawapannya tentulah institusi pendidikan yang berkenaan. Persoalannya, sudah adakah mana-mana institusi pendidikan di negara ini yang benar-benar telah menyediakan landasan yang betul untuk mengasah dan menggilap anak-anak yang berbakat dalam bidang seni muzik ini supaya ia boleh dijadikan kerjaya yang dapat menjamin masa depan mereka? Tepuk dada, tanyalah selera. Hendak seribu daya, tak mahu seribu alasan. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya masih menyediakan golongan pelapis untuk mewarisi kerjaya sebagai pemuzik jalanan pada masa hadapan.

Adakalanya, kita lebih dituntut untuk menjaga hati orang lain daripada memperkatakan nasib golongan yang senasib.

1 comment:

Mohd Jais said...

Sayang seribu kali sayang, hanya segelintir orang cacat penglihatan sahaja yang boleh melanutkan pelajaran dalam bidang muzik tanpa ada mata pelajaran Pendidikan Muzik di peringkat SPM. Mereka yang dimaksudkan ialah anak golongan elit dan golongan yang berpendapatan tinggi. Ibu bapa nereka juga mengambil berat tentang masa depan anak-anak mereka. Antara mereka yang boleh dijadikan contoh ialah David Lee yang sedang menuntut di Australia dalam bidang muzik dan Colin Ng yang telah mendapat Diploma dalam bidang muzik di Kolej Sedaya.