Sunday, December 4, 2011

Luluskan Sahaja Undang-undang Mengenai Antilompat Parti

Sejak dua tiga hari lepas, orang ramai, khususnya para ahli UMNO, mula memperkatakan semula tentang baiah, aku janji serta ikrar taat setia kepada parti politik. Ini semua hasil tempias daripada perhimpunan agung tahunan UMNO yang berakhir semalam. Menurut satu berita daripada sebuah akhbar online, Datuk Mukhriz Tun Mahathir turut mencadangkan supaya ahli-ahli UMNO membuat aku janji bagi menjamin taat setia mereka kepada parti.

Seperkara yang menarik perhatian saya ialah, mengapa kini UMNO pun sudah mula bercakap tentang baiah dan aku janji? Rasanya masih belum luput dari ingatan kita, tak berapa lama dahulu isu baiah pernah diperbesarkan ke seluruh negara oleh media kerajaan. Parti PAS yang dikatakan telah melaksanakan baiah dikecam begitu dan begini. Kini, tiba-tiba UMNO pula mula bercakap mengenai baiah. Apa sudah jadi? Siapa yang telah memperbesarkan isu ini tak lama dahulu? Mengapa orang politik tertentu bercakap semula mengenai baiah dan aku janji, sesuatu yang pernah dikecamnya tak lama dahulu? Udang apakah yang sedang bersembunyi di sebalik batu?

Secara umumnya, tujuan diadakan baiah dan aku janji (khususnya dalam politik semasa) ialah untuk menjamin taat setia yang tidak berbelah bagi oleh ahli-ahli kumpulan siasah kepada parti siasah yang didokongnya. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan sebarang pengkhianatan oleh ahli-ahli kumpulan siasah berkenaan kepada parti siasahnya. Maklumlah perbuatan menikam dari belakang bukan sahaja keji dan jijik, bahkan ia amat memeritkan terutamanya bagi mereka yang berpengalaman pernah merasainya.

Mengapa mesti ada baiah dan aku janji?

Dalam konteks politik masa kini, baiah dan aku janji diwujudkan bilamana ketaatan dan kesetiaan ahli-ahli kepada kumpulan siasah terhadap pergerakan siasah yang disertainya mula diragui, mula goyah dan juga wujud saling tidak percaya mempercayai di antara sesama mereka. Justeru bagi mengikat semula kerapuhan kepercayaan yang mula memvirus, maka diperkenalkanlah konsep baiah dan juga aku janji. Hakikatnya, sekiranya taat setia ahli-ahli kumpulan siasah kepada pergerakaan siasah yang disertainya tidak goyah, tiada keraguan dan sikap percaya mempercayai masih menebal dan mendalam, tidak akan timbul apa yang dikatakan sebagai baiah atau aku janji.

Dari aspek sejarah khususnya dalam konteks politik negara kita, cubaan untuk mengikat tali kepercayaan dalam kalangan sesama ahli satu-satu kumpulan siasah memang ada asasnya. Beberapa buah kerajaan negeri pernah kecundang gara-gara sikap tidak setia dalam kalangan ahli-ahli yang berhormat daripada kumpulan siasah yang berkenaan. Pada tahun 1961, kerajaan PAS Terengganu tumbang bila beberapa orang ADUN yang merupakan penyokong kepada kerajaan PAS Terengganu ketika itu berpaling tadah. Hal yang serupa juga berlaku kepada PBS yang menerajui kerajaan negeri Sabah pada tahun 1994. Ekoran pembelotan beberapa orang ADUNNY, akhirnya kerajaan Sabah di bawah PBS ditumbangkan bukan menerusi pilihanraya negeri. Pada tahun 2009 pula, kerajaan Perak yang ketika itu diterajui oleh Pakatan Rakyat turut kecundang bilamana 3 ADUNNYA telah berpaling tadah dan melompat belot.

Salah satu usaha yang pernah dilakukan bagi mengatasi pembelotan golongan ahli politik yang tidak berprinsip ini ialah menerusi undang-undang yang menghalang daripada melompat parti. Kalau tak silap saya, dua buah negeri yang pernah cuba melaksanakan undang-undang sedemikian ialah Sabah dan Kelantan. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya telah terhalang kerana ia dikatakan bercanggah dengan prinsip dan hak kebebasan asasi seseorang. Bahkan ia turut dikatakan bercanggah dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa itu juga, UMNO dan Barisan Nasional merupakan kumpulan siasah yang paling lantang menolak undang-undang yang menghalang lompat parti. Mengapa? Kerana pada masa yang sama UMNO dan BN beroleh laba besar ekoran perbuatan melompat parti yang berkebetulan pula banyak dilakukan oleh ahli-ahli politik daripada parti-parti pembangkang. Manakan tidak, dek kerana dua tiga orang ADUN yang melompat parti, sebuah kerajaan negeri berjaya dikuasai oleh UMNO dan BN tanpa melalui pilihanraya. Tidakkah ini laba politik namanya?

Hari ini, bila orang UMNO sendiri sudah mula bercakap mengenai baiah dan aku janji, sekaligus ia memberi petunjuk bahawa para pemimpin UMNO sendiri sudah mula hilang keyakinan mereka terhadap kesetiaan ahli-ahli UMNO yang lain. Dengan erti kata lain, UMNO juga sudah mula terdedah dengan pembelotan dan pengkhianatan oleh ahli-ahlinya sendiri pada bila-bila masa. Maka itulah para pemimpin UMNO sudah mula bercakap mengenai baiah dan aku janji.

Sebagaimana yang telah saya katakan, salah satu kaedah untuk menghalang ahli-ahli politik terutamanya yang sudah pun berada dalam dewan mengkhianati parti politik masing-masing ialah dengan cara meluluskan undang-undang yang menghalang perbuatan sedemikian. Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mewar-warkan kononnya ada sekitar 30 ahli parlimen yang sedia untuk melompat ke pihak beliau dua tiga tahun yang lalu, kerajaan UMNO/BN mula merasa goyah. Kenyataan Datuk Seri Anwar (jika ia benar-benar terjadi) tak ubah umpama retak menanti belah. Ini kerana selepas PRU ke-12 tahun 2008, UMNO/BN telah hilang majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Sekiranya kenyataan Datuk Seri Anwar benar-benar berlaku, ia bakal meranapkan kerajaan UMNO/BN di peringkat Persekutuan tanpa melalui pilihanraya. Dalam keadaan yang dianggap genting inilah maka mula terdengar suara-suara daripada kumpulan siasah yang prokerajaan agar undang-undang yang menghalang seseorang ahli yang berhormat daripada melompat parti diperkenalkan.

Bagi saya dan Menurut amalan yang sedia ada, baiah atau aku janji tidaklah sekuat mana. Ia boleh dimungkiri pada bila-bila masa dan ketika mengikut kehendak dan keperluan semasa. Kalau seseorang ahli mana-mana parti siasah memungkiri janjinya pada parti, sebarang tindakan tidak boleh diambil ke atas ahli parti yang berkenaan. Hal ini pernah dirasai sendiri oleh parti-parti pembangkang. Sebab itulah bila berlaku melompat parti oleh ahli-ahli yang berhormat tertentu khasnya daripada parti pembangkang, parti berkenaan hanya mampu berputih mata melihatnya. Sebarang tindakan lain tidak mampu dilakukan. Demikianlah yang pernah terjadi.

Bukankah mungkir janji itu dianggap masih tidak salah selagi ia tidak sabit dengan mana-mana kesalahan dalam undang-undang negara? Bahkan agaknya mungkin menjadi satu kesalahan pula bila diadakan baiah dan aku janji kerana ia mungkin bercanggah pula dengan Perkara 10 (1) (c) sebagaimana yang telah diwar-warkan sebelum ini kerana menghalang prinsip kebebasan dan hak asasi?

Justeru, oleh kerana pada masa ini kedua-dua pihak, sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang mula merasai bahang durja daripada aktiviti melompat parti ini, maka inilah masa yang sesuai untuk mencadang dan seterusnya meluluskan satu undang-undang guna membanteras perbuatan melompat parti. Rasanya kalau hendak bergantung semata-mata kepada baiah dan aku janji sahaja ia tidak memadai untuk mengikat taat setia orang politik. Lagi pun orang politik tentunya lebih maklum betapa mudah dan murahnya harga sebuah janji dari kaca mata orang politik sendiri.

Saya sekadar penganalisis tepi gelanggang sahaja.

No comments: