Semalam (18 Februari), saya telah berkesempatan menghadiri seminar Keluarga Sakinah anjuran bersama di antara Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Seminar telah berlangsung di Dewan Dr. Ismail Salleh, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.
Seminar berkenaan telah dirasmikan oleh Ustaz Abdul Rahman Yusuf, iaitu salah seorang Ketua Penolong Pengarah (KPP) di JAWI. Manakala saya pula, selaku Yang Di-Pertua (YDP) PERTIS, telah menyampaikan ucapan alu-aluan.
Seminar telah diserikan dengan pembentangan dua kertas kerja oleh dua pembentang yang berwibawa. Pembentang pertama ialah Ustaz Abdul Halim Zakaria. Manakala pembentang kertas kerja kedua pula ialah Ustaz Zakaria Muhammad.
Ustaz Abdul Halim membentangkan kertas kerja yang bertajuk ”Tibs Mendidik Anak”. Menurut Ustaz Halim, Tibs yang paling penting dalam mendidik anak ialah memilih pasangan hidup yang baik. Katanya, Rasulullah S.A.W. telah menggariskan 4 kriteria utama dalam memilih calon isteri, iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Rasulullah telah mengakhiri hadith tersebut dengan sabdanya, di antara 4 perkara tersebut, maka pilihlah wanita yang baik agamanya.
Selanjutnya, Ustaz Halim turut mengingatkan para peserta seminar agar sentiasa ingat akan pesan Luqman kepada anaknya sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah dalam Alquran. Pesanan sedemikian harus menjadi garis panduan dan teladan kepada para ibu bapa untuk mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
Selain itu, Ustaz Halim juga berpesan agar kita semua tidak melakukan syirik kepada Allah sama ada syirik kecil apatah lagi syirik besar. Katanya lagi, para ibu bapa juga harus mendidik anak-anak supaya tidak melakukan syirik kepada Allah.
Antara tibs lain yang telah diutarakan oleh Ustaz Halim dalam aspek pendidikan kepada anak-anak adalah seperti berikut:
1. Sentiasa berdoa untuk kebaikan anak;
2. Sentiasa bersyukur dengan anak-anak yang telah Allah kurniakan;
3. Pantau kegiatan anak-anak sama ada dalam rumah mahupun di luar rumah;
4. Sentiasa mendidik anak agar selalu taat akan Allah, Rasulullah serta kedua-dua ibu bapa;
5. Jangan didik anak terlalu keras kerana ditakuti anak itu akan ada perasaan dendam;
6. Tidak sekali-kali memanggil anak-anak dengan nama yang buruk atau dengan panggilan yang tidak disukai oleh anak-anak;
7. Selalu memeluk dan mengusap anak;
8. Selalu laksanakan solat berjemaah dengan anak dan ahli keluarga;
9. Selalu beri peringatan yang baik-baik kepada anak-anak;
10. Jangan membiarkan anak-anak melakukan perkara-perkara maksiat;
11. Jangan merasa takut untuk memberi teguran yang baik kepada anak-anak.
Pembentang kertas kerja kedua pula ialah Ustaz Zakaria Muhammad. Tajuk yang beliau kupas ialah ”Kepincangan Dalam Rumah Tangga”.
Menurut Ustaz Zakaria, kes-kes yang melibatkan penceraian dalam kalangan orang Islam di negara kita sering naik. Katanya lagi, sehingga kini, tidak kurang daripada 35062 kes penceraian telah diluluskan. Katanya lagi, adalah dianggarkan setiap 17 minit akan lahir satu anak zina. Maklumat ini mengejutkan saya sendiri.
Antara faktor-faktor berlakunya perpecahan dalam keluarga termasuklah:
1. Pasangan suami isteri jahil dalam agama;
2. Tiada persediaan rapi untuk sesetengah pasangan mendirikan rumah tangga;
3. Pasangan yang berkahwin tidak mengetahui dengan jelas mengapa mereka berkahwin;
4. Suami atau isteri tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami atau isteri sebagaimana sepatutnya;
5. Unsur-unsur luar yang boleh menjejaskan hubungan antara suami dan isteri.
Menurut Ustaz Zakaria lagi, kerapuhan dalam hubungan kekeluargaan boleh meninggalkan kesan yang tidak baik, antaranya termasuklah:
1. anak-anak terabai;
2. Akhlak anak-anak semakin rendah;
3. Berlakunya kes sumbang mahram;
4. Masyarakat menjadi kucar-kacir;
5. Kes perceraian semakin meningkat;
Ustaz Zakaria seterusnya menyarankan agar sebelum mana-mana pasangan berkahwin, maka persediaan tertentu perlu dilakukan. Mereka harus mempunyai matlamat yang jelas mengapa mereka harus berkahwin. Pasangan berkenaan juga harus mempunyai ilmu agama yang baik supaya mereka menjadi suami dan isteri yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
Sebagai YDP PERTIS, saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dan berusaha keras untuk menjayakan majlis ilmu di atas. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada pihak JAWI yang sedia menjadi penaja utama kepada seminar berkenaan. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada khususnya para peserta seminar yang telah memberikan sokongan dan dokongan padu ke arah menjayakan majlis bercorak keilmuan di atas. Segala ketidaksempurnaan, jika ada, adalah di luar jangkaan penganjur dan insha-Allah akan diperbaiki dalam majlis yang akan datang.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger (merangkap YDP PERTIS) dan rakan-rakan sekalian.
Alhamdulillah! Syabas! Teruskan kiriman artikel sebegini, juga majlis serta kuliah keilmuan buat kami. Malah, rasanya tidaklah keterlaluan boleh saya simpulkan, PERTIS merupakan NGO cacat penglihatan kita yang paling aktif setakat ini menganjurkan majlis sebegini. Mungkin ada pihak akan berkata, "Ala, PERTIS badan Islam, bolehlah ...", tapi, pada saya, itu bukan alasan murahan yang sepatutnya timbul. Paling penting, setiap pertubuhan/persatuan kita wajar menggalakkan pertemuan mesra sebegini, walaupun bukan semestinya tertumpu kepada suasana keilmuan sahaja sepertimana yang dianjurkan PKB baru-baru ini. Semoga dengannya, kita turut menjadi masyarakat celik maklumat, insha Allah, seterusnya turut menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.
Bagi saya, sememangnya para penceramah yang diundang memang para ilmuan berwibawa. Justeru, teruskanlah lagi penganjuran aktiviti sebegini, dan, izinkan saya untuk mencadangkan, agar PERTIS turut mengadakan majlis diskusi aspek kehidupan nan pelbagai, selaras Islam satu cara hidup, seperti ceramah mengenai perubatan Islam, yang disusuli nanti kursus yang berkaitan dengannya. Sekaligus, melonjakkan lagi imej PERTIS dalam kalangan rakan-rakan OKU penglihatan kita ini, insha Allah. Namun begitu, saya faham akan faktor masa dan kesibukan kalian dengan tugasan masing-masing, justeru, buatlah yang terbaik dan sedaya upaya kalian.
Terima kasih.
Post a Comment