Monday, March 5, 2012

Cabaran Demi Cabaran

Kita sememangnya dilahirkan untuk diuji. Kehidupan ini sendiri merupakan satu ujian kepada kita. Bagaimana kita menghadapi ujian yang datang, ia sangat bergantung kepada persepsi dan penerimaan masing-masing terhadap ujian yang didatangkan untuk kita. Ada yang menganggapnya sebagai masalah. Ada yang menganggapnya sebagai cabaran. Ada yang bersahaja bila ditimpa ujian. Ada yang cepat gelabah dila dilanda dengan ujian. Ada yang boleh tahan diuji jika yang datang itu ujian kecil, tapi akan sakit mental bila ujian yang melanda besar dan bertali arus.

Jika seseorang itu kuat iman dan takwanya serta ditambah pula dengan sifat tawakkal yang tinggi, sudah tentu dia akan menghadapi setiap ujian yang datang dengan penuh kesabaran. Dia tahu, akhirnya kejayaan mutlak akan menyebelahinya juga kerana itulah janji dari-Nya kepada mereka yang bersabar.

Kalau hendak dibandingkan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan di negara ini, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) merupakan antara persatuan yang masih lagi berstatus ikan bilis sahaja. Hal ini saya dasarkan kepada kedudukan ekonomi dan aset persatuan serta jumlah keahlian dan bilangan cawangan yang dimiliki oleh PERTIS masih lagi tidak sebanyak dan tidak sehebat lain-lain NGO yang ada.

Namun demikian, walaupun PERTIS hanyalah sebuah persatuan yang kerdil, tetapi ia masih tidak sepi daripada dilanda ombak dan gelombang cabaran yang adakalanya bukan calang-calang besarnya. Agaknya inilah yang dibidalkan orang tua-tua kita dahulu, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak ditimpa gelombang.

Salah satu cabaran yang masih belum reda-reda dan masih tidak ada tanda ia akan reda buat masa ini ialah berkenaan kecurian soft copy Alquran Braille milik persatuan ini. Saya sudah banyak kali juga menulis mengenai hal ini menerusi blog ini. Oleh kerana sang pencuri berkenaan masih belum dapat membezakan antara dosa dan pahala, maka itulah dia masih aktif dan gah mencari nama dan mengumpul harta dengan menggunakan hasil pencuriannya. Biar pun sudah diwar-warkan terdapat sekurang-kurangnya 17 kesalahan pada naskah Alquran Braille yang dicetak melalui soft copy curiannya, tetapi oleh kerana dia ini dari jenis manusia yang lebih mengutamakan dunia daripada akhirat, maka dia tidak pernah peduli pada semuanya itu. Walau bagaimanapun, dalam ruang ini kali ini, saya tidaklah berhasrat untuk mengulasnya dengan lebih panjang lagi. Cukuplah ....

Baru-baru ini, pengerusi PERTIS Terengganu ada menelefon saya dan memberitahu kononnya berita sudah mula tersebar bahawa PERTIS Pusat telah membatalkan rancangannya untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya di bumi penyu itu. Sebenarnya, sehingga ke hari ini pun, masih belum ada keputusan muktamad dibuat di lokasi mana mesyuarat agung tahunan kali ini akan diadakan. Memang ada rancangan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan di Terengganu, tetapi ia masih lagi di peringkat cadangan. Adakah penyebaran berita sedemikian bertujuan untuk merosakkan atau melemahkan PERTIS?

Selanjutnya, ada pihak yang sudah merancang untuk memaki hamun saya dalam mesyuarat agung nanti ekoran tindakan yang bakal diambil ke atas salah seorang kakitangan persatuan ini. Sebenarnya ia merupakan soal dalaman yang sudah pun ada beberapa alternatif untuk menyelesaikannya. Hal ini telah terbawa ke luar daripada lingkungan yang sepatutnya mungkin disebabkan sikap pihak-pihak tertentu yang kurang amanah. Kalau iya pun hendak mencari pihak yang boleh membela, berpada-padalah.

Kepada pihak berkenaan pula, kalau iya pun ghairah hendak menunjuk hero dengan cara membela orang, pastikan dahulu apa yang hendak dibela itu berada di pihak yang benar. Itu baru adil namanya. Janganlah kerana terlalu bersemangat hendak membela hingga hilang pertimbangan antara haq dan batil. Itu membela membabi buta namanya. Takkan kerana gara-gara seorang wanita, semangat dan ghairah melonjak berganda-ganda hingga hilang pertimbangan antara yang benar dengan yang salah!

Rancangan pihak tertentu kononnya akan memaki hamun saya dalam mesyuarat agung nanti menunjukkan individu berkenaan mempunyai niat dan hasrat yang tidak baik ketika menghadiri mesyuarat. Sepatutnya antara tujuan kita menghadiri sesuatu mesyuarat adalah untuk berbincang bagi mendapatkan satu keputusan yang terbaik. Kalau datang ke mesyuarat sudah ada niat untuk memaki hamun orang lain, maknanya kedatangannya bukan untuk menyelesaikan masalah, tetapi bertujuan untuk menghuru-harakan mesyuarat. Begitukah yang diajarkan oleh agama kita? Kata pandai baca Quran, adakah setakat pandai baca sahaja tetapi terlupa untuk mendalami maknanya? Takkan hendak duduk sebaris pula dengan sang pencuri soft copy Alquran Braille?

Di samping itu, selaku ahli PERTIS, kita juga harus berhati-hati dengan individu tertentu yang akan merendah-rendahkan dan memburuk-burukkan persatuan ini bila ada peluang bercakap di khalayak ramai. Saya pun tidak pasti apakah dosa PERTIS pada beliau, tapi kalau dosa beliau pada PERTIS memang ada dan besar pula.

Bagi saya serta barisan kepimpinan PERTIS yang ada kini, dalam keadaan apa sekalipun, ahli-ahli dan persatuan wajib diutamakan. Jika ada mana-mana pihak, termasuklah kakitangan persatuan sendiri yang bertindak sehingga boleh menjejaskan dan mendatangkan kerugian kepada persatuan, maka tindakan yang wajar dan adil ke atas pihak yang berkenaan harus diambil. Jika tidak, maka kami selaku barisan kepimpinan PERTIS pula yang bertindak tidak adil kepada ahli-ahli dan persatuan.

Bagi saya, onak dan ranjau seperti ini yang harus ditempuhi memang merupakan fitrah dan lumrah. Bersama-samalah kita berdoa selalu semoga Allah sentiasa meletakkan kita di landasan yang benar. Sedangkan rasul dan nabi lagikan dilanda pelbagai cabaran, inikan pula kita selaku hamba biasa.

2 comments:

TINTA EMAS said...

Assalammualaikum...
Cikgu Zakaria,
Saya minta maaf sekiranya komen saya ini membuatkan cikgu kurang senang. Saya rasa, tentang hal kakitangan tersebut, adalah lebih baik jika dipanggil kakitangan tersebut untuk diberi peluang bercakap bagi pihak dirinya, dinasihati, diberi amaran dan diberi kaunseling. Saya rasa itu cara yang terbaiknya bagi seorang bos berhadapan dengan kakitangannya sekiranya kakitangan tersebut menimbulkan masalah. Malah cara tersebut akan membuatkan kakitangan lebih menghormati kredibiliti seorang bos. Jangan didengar khabar angin yang bertiup yang entah betul atau tidak. Soal memaki-hamun di khalayak ramai tu, kita tak tahu benar atau tidak. Jadi tak perlu dirisaukan sangat tentang hal itu. Saya yakin, dengan kebijaksanaan kepimpinan pada masa kini, hal tersebut pasti dapat dielakkan. Insya-Allah. Seandainya kakitangan itu bermasalah, saya rasa perhatian dan pemantauan yang lebih ketat perlu diambil bagi memastikan kerja-kerja yang diberi dilakukan secara efisyen. Tapi harus diinat, dalam kita melihat kesilapan beliau, kita juga perlu lihat pada kita, semak semula, sebagai seorang bos, apakah kita telah menjadi bos yang sempurna. Mungkin ada kesilapan sedikit daripada pihak kita mungkin dari segi ketegasan, kewajaran tindakan yang kita ambil, undang-undang, hak-hak kita sebagai bos, hak-hak kakitangan dan sebagainya.

Sekali lagi saya mohon jutaan kemaafan andainya komen ini membuatkan cikgu kurang senang. Bukan niat saya mahu mengajar orang yang berpengalaman seperti cikgu. Saya hanya sekadar berkongsi pendapat.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Pada kesempatan ini, saya turut ingin berkongsi sedikit pandangan dan idea yang saya rasa kita sebagai insan, tidak kira kedudukan dan warna kulit, perlu menginsafinya. Namun begitu, saya juga bukan bermaksud menunjuk ajar saudara yang jauh lebih "senior" serta lebih kaya ilmu dan pengalaman. Justeru, jutaan kemaafan saya pohon sedari awal ulasan ini kiranya idea ini dirasakan kurang menyenangkan; maklum, kami pengunjung turut ingin berkongsi idea dan pendapat berdasarkan coretan di awal blog ini yang berbunyi, "Katakan yang benar walaupun ia pahit untuk didengar."

Persoalan benar atau tidaknya tindakan staff pejabat yang akan melakukan tindakan sebegitu, elok rasanya disiasat. Malah, rasanya tak salah kalau saudara memberanikan diri menghubunginya atau berjumpa dengannya dan dengan penuh kemesraan menyiasat perkara itu. Kalau benar, di situlah terletaknya hemah dan kebijaksanaan kita sebagai seorang ketua pentadbir, sama ada akan terus menghukumnya atau memberi ruang dan peluang menjernihkan keadaan. Boleh jadi, tindakannya itu kerana rasa "stress" yang ditanggungnya ketika menerima arahan secara tiba-tiba, mungkin, sikap kepimpinan kita yang barangkali terlalu tegas seolah-olah tak sudi memahami masalahnya, atau mungkin terpengaruh dengan persekitaran semasa dan khabar angin kononnya saudara begitu dan begini ... Sebab itulah, elok saudara menyiasat sendiri akan puncanya, kemudian menyelesaikannya atas kapasiti "menang menang".

Ya, kita mungkin bolh berkata "Aku dah buat ang terbaik kat kau" ..., tetapi, mungkin di sana juga terdapat pelbagai kelemahan dan kealpaan yang tak disedari, lebih-lebih lagi dalam suasana pendidikan dan politik kita yang masih belum berteraskan Islam secara keseluruhannya sebagaimana yang dituntut Al-Quran dan Sunnah. Untuk ini, saya ingin sekali mencadangkan agar kita sebagai pemimpin perlulah sedaya-upaya bersikap lebih mesra dan ramah, khasnya kepada staff pejabat, tetapi pada masa yang sama, menjunjung prinsip serta bertegas pada ketika yang perlu. Maaf sekali lagi, sekadar peringatan, acapkali kita fikir apa yang kita buat itu betul, tetapi bila keluar hasil dan natijahnya, menunjukkan sebaliknya. Maklum aja, kan, kita ini bukan Allah Yang Maha Segala.

Menutup bicara, sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih di atas ruang yang saudara peruntukkan kepada saya untuk berkongsi pendapat selama ini. Juga, kiranya ulasan ini kurang atau tidak sesuai, tidaklah perlu disiarkan. Semoga kita sekalian beroleh manfaatnya, insha Allah.

Terima kasih.