Hari ini, tarikh sebenar bila pilihanraya umum ke-13 akan diadakan semakin menjadi teka-teki. Kalau berdasarkan peraturan yang sedia ada, kerajaan yang ada hari ini masih berkuasa sehinggalah 8 Mac tahun hadapan. Sekiranya pada tarikh tersebut parlimen masih tidak dibubarkan, maka masa selama 60 hari masih lagi ada. Agaknya ini yang dikatakan sebagai masa kecederaan. Selepas 60 hari, maka parlimen akan terbubar dengan sendirinya. Demikianlah sedikit maklumat yang ada dalam pengetahuan saya. Wallahu aalam.
Hari ini juga, walaupun tarikh bila pilihanraya umum ke-13 masih belum diumumkan, tetapi tanda-tanda semakin jelas bahawa ia akan diadakan dalam masa yang hampir. Antara tanda-tanda pilihanraya umum ke-13 kian menghampir ialah bilamana para pembesar negara sibuk turun padang bertemu dengan sekalian rakyat jelata. Saya tidaklah sampai mengatakan sebelum ini para pembesar berkenaan tidak turun padang langsung, tetapi sejak akhir-akhir ini aktiviti turun padang semakin kerap dan kian galak.
Satu lagi tanda besar tentang kemunculan PRU ke-13 kian hampir ialah bilamana pelbagai skim bantuan diperkenalkan. Sekali lagi, saya tidaklah sampai mendakwa bahawa selama ini pihak yang berkuasa tidak beri bantuan langsung. Bezanya sejak akhir tahun lalu ia semakin hebat. Murid sekolah, golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM 3,000, para penuntut di institusi pengajian tinggi, semuanya mendapat habuan masing-masing. Ini tidak termasuk peruntukan segera yang diumumkan apabila para pembesar tertentu turun padang di kawasan terpilih. Kadang kala jumlahnya mencecah ratusan ribu sekali umum. Banyak tu!
Tanda kemunculan PRU ke-13 kian dekat ialah apabila kempen menerusi pelbagai media semakin hebat. Seperti biasa, pihak yang berkuasa akan menggunakan saluran media di bawah kekuasaannya untuk menyalurkan kempennya. Seperti biasa juga, pihak berkaitan akan mendakwa apa yang diutarakan adalah benar belaka. Tiada yang tidak benar melainkan benar belaka. Walaupun kempen menerusi media konvensional ini sudah tidak berapa laku lagi, namun ia masih galak diteruskan kerana sedikit sebanyak ia tetap memberi kesan kepada penduduk di kawasan luar bandar.
Di samping itu, pihak pembangkang juga semakin kerap membuat pendedahan itu dan ini. Ini pun satu lagi tanda bahawa PRU ke-13 kian menjelang. Ada juga pendedahan yang dibuat mempunyai kesan yang besar hingga sang menteri terpaksa melepaskan jawatannya. Maklumlah kalau jawatan tidak dilepaskan silap hari bulan tampuk kekuasaan pula yang terlepas dari genggaman. Jadi terpaksalah sang menteri berkenaan dikorbankan.
Satu lagi tanda kemunculan PRU ke-13 semakin hampir ialah apabila pihak yang berkuasa sudi untuk melayan tuntutan kakitangan awam khususnya yang berkaitan dengan SBPA. Sebenarnya ia merupakan sesuatu yang di luar jangkaan banyak pihak. Apatah lagi bilamana tarikh pelaksanaannya sudah pun diumumkan. Walaupun tarikh pelaksanaannya kemudian telah ditunda, tetapi kesudian pihak yang berkuasa untuk backdated tarikh pelaksanaannya juga sesuatu yang di luar jangkaan. Bahkan pemansuhan pelaksanaannya oleh pihak yang berkuasa merupakan sesuatu yang tidak diduga langsung. Maklumlah amat jarang sekali pihak yang berkuasa, terutamanya golongan pelaksananya untuk berundur ke belakang setelah sesuatu dasar itu ditetapkan.
Satu lagi perkara yang semakin kerap didengar terutamanya oleh golongan rakyat marhaen seperti saya ialah konon khabarnya golongan bukan warganegara pun sudah didaftarkan sebagai pengundi. Saya sangat berharap semoga perkara sebegini tidak berlaku.
Konon khabarnya sudah ramai bukan warganegara yang mendapat kad pengenalan. Bila sudah ada kad pengenalan bermakna mereka adalah rakyat sah negara ini dan taraf serta hak mereka sama dengan rakyat negara ini. Ini termasuklah hak untuk mengundi. Kalau hal sebegini benar-benar berlaku, maka negara kita akan ditimpa musibah tidak lama lagi. Mudah-mudahan apa yang saya dengar ini hanya merupakan khabar angin sahaja.
Walau bagaimanapun, peribahasa Melayu ada mengatakan, kalau tidak ditiup angin, takkan pokok boleh bergoyang. Dakwaan sebegini bukan rahsia lagi. Beberapa pihak sudah pun menyuarakan tentang adanya mereka yang bukan warganegara diberikan kewarganegaraan hanya semata-mata untuk membolehkan golongan ini mengundi parti siasah tertentu. Kalau betul hal sebegini berlaku, maka pihak yang telah mengizinkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang asing sebenarnya mereka yang sedang menjual tanah air ini kepada orang luar. Janganlah hanya kerana inginkan kuasa, sanggup melakukan apa sahaja termasuklah yang haram termasuk menjual negara. Saya sentiasa berdoa dan berharap semoga cerita sebegini hanya palsu semata-mata. Mudah-mudahan begitulah hendaknya.
Kalaulah tergadai tanah air ini maka yang akan rugi dan menangis tak berlagu ialah orang Melayu juga kerana tanah ini Tanah Melayu. Semua pihak tahu dan sedar bahawa orang Melayu kian lemah dan daif dan terpaksa bergantung dengan orang lain untuk mendapatkan kuasa. Justeru tidak menghairankan menjelang PRU ke-13 ini tiada satu pun kumpulan siasah Melayu yang benar-benar dominan.
Benar ke, Teori Rahman akan menjadi realiti?
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
No comments:
Post a Comment