Saturday, March 10, 2012

Sembang Petang

Masih Tiada Kesedaran Sivik

Beberapa minggu lalu, Syarikat Alam Flora telah membahagi-bahagikan tong sampah secara percuma kepada penduduk di taman perumahan tempat tinggal saya. Terima kasih banyak-banyak diucapkan kepada Syarikat Alam Flora. Khabarnya seluruh KL telah dan akan mendapat tong sampah percuma tersebut. Baguslah begitu. Setidak-tidaknya syarikat berkenaan telah melaksanakan tanggungjawab kemasyarakatannya khususnya kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur.



Sudah tentulah tujuan tunggal pengedaran tong sampah tersebut ialah supaya penduduk sekitar KL akan menggunakan tong sampah percuma berkenaan dengan sebaik mungkin. Selepas ini tidak sepatutnya lagi sampah berselerakan di hadapan rumah masing-masing. Jika penggunaan tong sampah dilakukan dengan betul, sudah tentulah tahap kebersihan akan dapat dipertingkatkan. Begitulah harapan semua pihak.



Malangnya, masih ada penduduk yang tidak tahu menggunakan tong sampah dengan kaedah yang betul walaupun ia telah diedarkan secara percuma. Mereka bukan membuang sampah di dalam tong sampah, sebaliknya di luar tong sampah. Kadangkala sampah dibiarkan berlonggokan di tepi tong sampah. Sedangkan tong sampah yang ada dibiarkan kosong tak berisi.

Timbul juga rasa pelik dalam hati saya. Mereka yang tak pandai menggunakan tong sampah dengan betul bukan berusia seperti Luqman. Mereka juga bukannya tidak ada penglihatan macam anak-anak murid saya di SMPK Setapak. Mereka adalah manusia yang sempurna fizikalnya. Agaknya mereka ini ada sedikit gangguan otak. Sebab itu tak tahu tempat yang betul untuk buang sampah.



Tahap kebersihan semakin gawat bilamana sampah yang dilonggokan di tepi tong sampah mula diganggu pula oleh haiwan liar seperti anjing atau kucing tanpa tuan. Sampah mula berselerakan dan adakalanya ia melampaui sempadan rumah jiran. Kawasan hadapan rumah saya merupakan antara mangsa seperti ini. Kalau kena jiran yang tak tahan sabar, boleh jadi gaduh besar dibuatnya.

Nasib baik juga yang berperangai tak senonoh begini bukan kerja sebagai guru. Kalau tidak, saya pun tumpang malu dibuatnya.

Kakitangan Alam Flora pun satu hal juga. Acapkali juga mereka tidak kutip sampah yang telah dikumpulkan dalam tong sampah yang telah diedarkan sendiri oleh Alam Flora. Bila kakitangan berkenaan datang pada pagi tertentu, mereka masih lagi menyelongkar sampah di tempat lama. Memanglah ia kosong kerana sampah telah dikumpulkan dalam tong sampah baru. Perlukah saya tulis dengan huruf sebesar tapak tangan yang berbunyi: ”sila kutip sampah di sini” pada tong sampah berkenaan?

Mungkin bagi sesetengah orang, hal tak pandai membuang sampah di tempat yang betul seperti ini bukan masalah besar. Ia tidak bagi saya. Tahap kebersihan pasti dapat dipertingkatkan jika semua pihak mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi. Bagaimana kita akan mendidik anak-anak kita sedangkan yang sudah berstatus bapa pun masih tak punya kesedaran sivik yang sepatutnya?

No comments: