Semalam (8 Mac), YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mengumumkan pemansuhan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Dengan pengumuman tersebut, pelbagai reaksi timbul daripada pelbagai pihak. Mereka yang bukan daripada kakitangan sektor awam pun turut memberikan reaksi masing-masing. Para politikus turut tidak ketinggalan dalam mengutarakan reaksi masing-masing terhadap pengumuman pemansuhan sBPA.
Banyak juga pihak yang merasa hairan apabila pihak kerajaan kali ini berkesudian untuk memansuhkan SBPA yang sekaligus menunjukkan seolah-olah kali ini kerajaan kena tunduk pula dengan kemahuan CUEPACS yang merupakan badan gabungan perwakilan kakitangan awam yang terbesar di negara kita. Biasanya apa-apa dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan akan dilaksanakan dengan apa cara sekalipun. Paling tidak pun kakitangan awam akan diingatkan supaya taat kepada arahan kerajaan. Ini bermakna, suka tidak suka, mahu atau tidak, arahan tetap kena ikut. Jika tidak, mungkin boleh dianggap ingkar perintah. Kalau jatuh hukum, naya juga dibuatnya.
Namun demikian, kali ini lain pula jadinya. Apa sebenarnya sudah jadi? Adakah ini sekadar tunduk untuk menanduk? Sebenarnya keputusan untuk memansuhkan SBPA bukan mudah untuk dibuat. Pelbagai faktor harus dipertimbangkan. Akhirnya, mungkin sudah tiada opsyen lain, pihak kerajaan terpaksa juga memutuskan agar SBPA dimansuhkan, walaupun keputusan sedemikian amat pahit untuk ditelan.
Dari satu segi, antara penyebab kegagalan pelaksanaan SBPA ialah kerana ia hendak dilaksanakan secara tergesa-gesa. Sepatutnya kakitangan awam harus diberikan peluang yang secukupnya untuk mengkaji dan meneliti syarat-syarat serta kandungan lain yang terdapat dalam cadangan SBPA. Maklumlah ia amat berkait rapat dengan periuk nasi kakitangan awam itu sendiri. Namun demikian, kakitangan awam pada hujung tahun lalu telah diberi hanya dua minggu sahaja untuk meneliti dan seterusnya menandatangani borang opsyen yang dikemukakan. Dengan erti kata lain, kakitangan seolah-olahnya dipaksa supaya menandatangani borang opsyen tersebut. Masa dua minggu sememangnya tidak mencukupi. Ini ditambah lagi dengan maklumat dan bahan-bahan SBPA secara terperinci tidak mencukupi dan juga tidak lengkap. Bagi kakitangan awam macam saya, jauh panggang dari api untuk akses kepada maklumat terperinci mengenai SBPA. Jadi, apa yang telah saya tandatangani hanyalah sekadar SYMP sahaja.
Bagi CUEPACS pula, pemansuhan SBPA yang diumumkan semalam mungkin boleh dianggap satu kejayaan, khususnya buat Datuk Omar Osman sendiri. Ia seolah-olahnya membuktikan bahawa CUEPACS masih mempunyai kewibawaan untuk berunding dengan pihak kerajaan bagi mewakili hampir 1.4 juta kakitangan sektor awam. Ia juga menunjukkan bahawa CUEPACS berkeupayaan untuk mengendalikan kehendak sebahagian besar ahlinya, terutamanya daripada kakitangan golongan bawah. Keunggulan dan ketokohan Datuk Omar selaku pemimpin nombor wahid dalam CUEPACS kian melonjak naik.
Namun begitu, bagi saya sendiri, pemansuhan SBPA semalam amat berkait rapat dengan tarikh pilihanraya umum yang semakin hampir. Maknanya, kesilapan pihak kerajaan ialah melaksanakan SBPA ketika hampir dengan pilihanraya umum. Keadaan ini membolehkan golongan kakitangan awam terutamanya CUEPACS berada dalam keadaan terbaik sebagai kumpulan pendesak. Manakala kuasa mendesak bagi pihak kerajaan pula berada pada tahap yang semakin lemah. Sekiranya pelaksanaan SBPA dilakukan sejurus selepas pilihanraya umum (jika BN yang menang), maka sudah tentulah kuasa mendesak pihak kerajaan berada pada tahap terbaik manakala kuasa mendesak CUEPACS pula akan berada pada tahap yang lemah. Sepatutnya sebelum melaksanakan SBPA, kena tanya dengan nujum Pak Belalang dahulu!
Dari segi yang lain pula, pembatalan SBPA bolehlah dianggap sebagai satu pembaziran. Ini kerana, pada hujung tahun lepas, boleh dikatakan semua kakitangan awam kena menandatangani borang opsyen SBPA. Borang untuk seorang kakitangan awam saja mengandungi dua atau tiga helai kertas. Bayangkan jumlah kertas yang telah digunakan untuk borang opsyen bagi 1.4 juta kakitangan awam? Tidakkah ia satu pembaziran? Ia tidak dikira lagi masa dan tenaga yang harus dibazirkan untuk sesi penerangan mengenai SBPA dalam kalangan kakitangan awam sendiri. Setelah semua usaha dibuat, akhirnya semalam pengumuman dibuat SBPA dimansuhkan. Siapa yang rugi dan siapa pula yang telah melakukan pembaziran?
Bagi para politikus pula, pelbagai reaksi juga timbul ekoran daripada pemansuhan SBPA semalam. Reaksi mereka pula berbeza-beza mengikut kiblat politik masing-masing.
Bagi politikus kerajaan, pemansuhan SBPA menunjukkan pihak yang berkuasa mendengar rintihan rakyat, terutamanya daripada golongan marhaen. Untuk kebaikan rakyat, kerajaan akan melakukan apa sahaja. Justeru, mereka mengatakan, pemansuhan SBPA bukan satu kegagalan. Sebaliknya ia satu bukti keprihatinan kerajaan kepada kepentingan kakitangannya. Benar ke begitu?
Manakala bagi politikus pembangkang pula, pemansuhan SBPA merupakan satu kegagalan. Bagi mereka, kerajaan yang ada kini gagal untuk melaksanakan sesuatu untuk kebaikan dan kepentingan kakitangan awam di negara ini. Justeru, bagi mereka, kerajaan terpaksa tunduk kepada desakan CUEPACS.
Dari aspek yang lain pula, pemansuhan SBPA menyebabkan pihak pembangkang kehilangan satu isu yang boleh digunakan sebagai modal dalam kempen pilihanraya umum yang akan datang. Sebaliknya, pihak kerajaan pula yang boleh mendakwa bahawa mereka prihatin dengan kehendak dan suara rakyat, maka itulah SBPA telah dimansuhkan.
Sebenarnya bukan semua kakitangan awam gembira dengan pemansuhan SBPA. Bagi kakitangan yang dijangka gaji mereka akan naik berbelas dan berpuluh ribu, pengumuman pemansuhan SBPA merupakan seakan satu musibah. Maklumlah mereka sudah berangan-angan untuk melihat berkepuk wang gaji masuk ke dalam akaun mereka beberapa bulan lagi, tiba-tiba ia dibatalkan di saat-saat akhir. Hati siapa yang tidak bengkak dibuatnya?
Konon khabarnya, adalah manusia tertentu yang tergolong akan mendapat kenaikan gaji bulan berbelas ribu sebulan bila SBPA dilaksanakan nanti sudah pun menempah itu dan ini. Tempahan mereka bukan seribu dua harganya, khabarnya sampai berbelas ribu juga. Tiba-tiba semalam pengumuman dibuat SBPA dimansuhkan. Apa hendak dikatakan lagi, tempahan sudah pun dibuat. Agaknya barang yang ditempah pun ada yang sudah siap. Jadi bayar tetap kena bayar juga. Pengumuman pembatalan SBPA semalam menyebabkan ada dalam kalangan mereka ini yang menangis tak berlagu. Apakah mereka lupa dengan bidalan orang tua-tua, bila mendengar guruh di langit, air tempayan jangan dicurahkan, atau burung masih terbang mengapa sudah pipihkan lada. Harap jawatan saja yang tinggi tapi masih bodoh juga.
Saya rasa, sebahagian besar kakitangan awam amat berharap agar keputusan pemansuhan SBPA yang telah diumumkan semalam bukanlah bersifat sementara. Nanti kalau ditakdirkan menang besar dalam pilihanraya umum yang akan datang, cerita mengenai SBPA akan disambung semula. Begitu ke? Jika perlu, lakukanlah perubahan tetapi biarlah dalam situasi menang menang kepada semua pihak dari awal. Janganlah bila sudah nyata terpaksa mengalah baru hendak wujudkan situasi menang menang. Itu tidak ikhlas namanya.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
No comments:
Post a Comment