Selepas solat Jumaat tadi, saya dengan ditemani isteri serta Luqman telah ke cawangan salah sebuah bank di Taman Melawati. Tujuan saya ialah untuk menggantikan kad ATM saya. Beberapa hari lalu, semasa saya ingin membuat pengeluaran di mesin ATM bank berkenaan, tiba-tiba tertera pada skrin mesin berkenaan mesej yang meminta saya menukar kad ATM berkenaan. Oleh kerana selepas solat Jumaat tadi saya agak berkelapangan masa sedikit, maka itulah saya ke cawangan bank berkenaan untuk menyelesaikan urusan menukar kad tersebut.
Sewaktu kami berurusan di meja pertanyaan lagi hati saya sudah merasa tidak sedap bila telinga saya sendiri mendengar salah seorang kakitangan perempuan bank berkenaan mengatakan OKU sepatutnya tidak boleh guna kad. Rasa tak sedap di hati kian membuak bila seorang lagi kakitangan bertanya, “Ini untuk bantuan baitul mal ke?” Saya hanya menjawab sepatah: “Tidak.”
Setelah menunggu sebentar, kemudian nama saya dipanggil. Setelah saya duduk, kakitangan berkenaan memberitahu saya bahawa OKU tidak boleh menggunakan kad ATM. Beliau selanjutnya mencadangkan supaya saya membuka sahaja akaun bersama. Katanya, ini untuk keselamatan saya juga. Beliau meneruskan, jika berlaku apa-apa, orang kedua boleh tolong uruskan. Dalam hati saya sudah bertekad: “Ini akaun saya, jadi saya punya sukalah.”
Mungkin setelah memeriksa rekod akaun saya, kakitangan berkenaan kemudian berkata, ini mesti buka akaun di cawangan lain sebab itulah boleh lepas kad ATM. Kalau di cawangan ini memang kami tak beri OKU guna kad ATM. Lalu saya bertanya pula, adakah polisi di bank ini yang tidak membenarkan OKU macam saya guna kad ATM? Kakitangan berkenaan diam sahaja. Maka saya yakin ia bukannya polisi bank berkenaan, bahkan ia lebih merupakan memandai-mandai kakitangan/pihak cawangan bank berkenaan sahaja.
Kakitangan berkenan cuba menerangkan kepada saya mengapa beliau dan cawangan bank berkenaan tidak benarkan OKU seperti saya gunakan kad ATM. Saya terus memotong cakapnya. Sebenarnya saya sudah bosan dengan situasi seperti ini. Lagi pun, ini bukan kali pertama saya berhadapan dengan keadaan seperti ini. Hanya manusia yang tidak cerdik seperti beliau sahaja yang berbeza dan bertukar ganti. Saya dengan suara yang sedikit tinggi, memberitahu kakitangan berkenaan, setelah menggunakan kad ATM untuk sekian tahun, saya tiada masalah langsung. Jadi, mengapa ia menjadi masalah pula kepada orang seperti beliau? Saya bertanya lagi untuk kali keduanya, adakah ia merupakan polisi bank berkenaan yang tidak membenarkan OKU menggunakan kad ATM? Beliau diam juga.
Kakitangan berkenaan cuba untuk menerangkan pandangannya kepada isteri saya pula, sekali lagi saya memotong cakapnya. Saya katakan, terangkan kepada saya sudah memadai kerana saya bukannya cacat pendengaran.
Akhirnya, setelah melihat saya lebih keras daripada yang mungkin beliau sangka, kakitangan berkenaan pun memberitahu, sekiranya saya ingin terus menggunakan kad ATM seperti biasa beliau tidak menghalangnya. Katanya lagi, kalau apa-apa berlaku, beliau tidak mahu bertanggungjawab. Tertanya juga dalam hati saya, apakah kalau saya akur cadangan awal beliau supaya saya membuka akaun bersama maka beliau dan pihak bank berkenaan akan bertanggungjawab? Sebab itulah saya berpendapat, beliau dan orang seperti beliau tidak cerdik. Punya rasa kasihan dan simpati yang tidak kena pada tempatnya. Bahkan rasa simpati yang tidak tentu hala dan membabi buta seperti ini hanya akan menyusahkan golongan seperti saya sahaja.
Untuk maklumat bersama, saya telah pun membuka akaun dengan bank berkenaan sejak 2 Disember 1999 lagi. Selama ini, saya tiada masalah langsung. Sejak mula-mula lagi saya berhasrat untuk menjadi pelanggan bank berkenaan kerana ada perkataan “Islam” pada namanya. Jadi, kalau tak banyak, sikit-sikit ada barakahnya juga. Tak sangka juga di institusi yang ada perkataan “Islam” pada namanya masih ada golongan yang berotak singkat seperti kakitangan tadi. Walaupun selama ini saya menggunakan kad ATM, tetapi setakat ini alhamdulillah tiada sebarang masalah yang timbul. Kali ini baru masalah timbul, itu pun ditimbulkan oleh kakitangan berotak singkat dan berpandangan sempit seperti beliau.
Bagi saya, keselamatan atau kecuaian dalam penjagaan kad ATM amat bergantung kepada sikap individu pengguna berkenaan. Kalau pengguna OKU macam saya yang sedar dan insaf dengan kecacatan yang ada, sudah tentulah keselamatan penjagaannya lebih ketat dan rapi lagi. Sebab itulah juga, nombor pin kad saya tidak tercatat di mana-mana (bukan untuk riak). Sekiranya kad atau beg duit saya tercicir atau hilang, keselamatan wang saya masih terjamin, insha-Allah.
Selaku OKU, kita mesti berani dan tegas dalam mempertahankan hak asasi kita.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.
Alhamdulillah! Tahniah di atas ketegasan saudara mempertahankan hak, simbol keberanian demi kebenaran tanpa batasan. Sememangnya benar, soal kemalangan, kehilangan/kecurian, hatta mati, pasti tiada siapa yang boleh dipikulkan tanggungjawab itu 100 % ke atas bahu orang lain, hatta pemegang amanah itu di kalangan Nabi dan Rasul yang bersifat ma'sum. Justeru, memang tak wajar sama sekali pegawai bank berkenaan kononnya cuba berlagak hero dengan memandai-mandai menghalang kita (saudara) memanfaatkan teknologi itu untuk kemudahan serta keselesaan. Ya, saya bersetuju benar dengan pendedahan ini, malah, di sini, elok rasanya kita mengajukan soalan kepada pegawai seperti ini: "Bukankah setiap jiwa insani itu sempurna dijadikan punya akal dan nafsu dan telah diilhamkan dengan kebaikan dan keburukan? Tak kanlah kami ni jahil/cuai benar untuk membiarkan Kad ATM kami ini jatuh semberono ke tangan yang tak berhak?"
Saya juga pernah dinyatakan dengan perkara sebegitu oleh pegawai bank lain, tetapi gaya penyampaiannya agak lembut da menasabah. Malah, setahun sebelum berkhidmat dengan PERTIS, ketika saya diambil berkhidmat dengan sebuah institusi pendidikan, saya juga dicadangkan oleh bank yang menyimpan gaji saya agar saya tidak menggunakan ATM, juga dengan alasan yang sama. Ketika itu, saya telah cuba mempertahankan hak dan alasan saya, namun dengan sokongan Mr X (nama samaran), kakitangan dalaman berprofil tinggi, institusi tersebut juga akhirnya "menafikan" hak saya secara sistematik. Dan, setelah sekian lama mnerima EPC di BSN, baru setengah tahun lepas saya berjaya memperoleh kebenaran untuk mengeluarkan wang menggunakan ATM.
Justeru, kesimpulan saya, elok rasanya kita sebagai antara NGO OKU penglihatan negara (PERTIS) turun padang berperanan sebagai penyedar kesamarataan seperti melancarkan kempen penyebaran info kepada institusi kewangan akan keupayaan kita dalam memanfaatkan teknologi sebegini, sekaligus, di pihak ahli dan rakan-rakan pula, kempen kesedaran penjagaan dan penyelenggaraan. Semoga dengan ini, sekalian kita (pemberi khidmat dan pelanggan) benar-benar saling memanfaatkan kerjasama ini antara satu sama lain untuk kebaikan bersama, insha Allah.
Terima kasih.
Post a Comment