Sunday, July 29, 2012

Perkembangan Politik Negara Masa Kini: Sekadar Pandangan

Beberapa perkembangan politik masa kini amat menguja saya untuk melontarkan pandangan. Apatah lagi dengan keluarnya dua tokoh politik penting di Sabah dari UMNO dan BN sehari yang lalu menambah lagi runtunan naluri saya untuk berkongsi apa yang membuak dalam minda saya. Suka saya nyatakan di sini, sewaktu saya menuntut di Universiti Malaya beberapa dekad lalu, salah satu kertas yang telah saya ambil ialah AE344, Perkembangan Politik Semenanjung. Manakala pensyarahnya pula ketika itu ialah Prof. Madya Mahadzir Mohd Khir yang kemudiannya pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Malaysia (1999-2004).



Sehari dua yang lalu, dua orang pemimpin politik terkemuka Sabah, Datuk Lajim Haji Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing telah mengisytiharkan keluar dari BN. Selain itu, mereka berdua turut mengepalai gerakan untuk membawa perubahan di Sabah. Sesungguhnya pengaruh dan kepentingan kedua-dua tokoh politik di atas khususnya di Sabah memang tidak disangkal lagi. Bahkan jika ditinjau sejarahnya, Datuk Lajim merupakan antara tokoh yang telah membuat pengisytiharan yang hampir serupa pada tahun 1994 yang keluar dari Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyertai UMNO. Barang diingat, pengistiharan Datuk Lajim telah memercepatkan lagi kehilangan kuasa politik PBS di Sabah ketika itu. Apakah peristiwa yang serupa di negeri yang sama juga akan berlaku tidak lama lagi?

Ura-ura kedua-dua pemimpin berkenaan akan beralih arah kiblat politik sudah heboh diperkatakan menerusi media alternatif sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Hanya media konvensional yang tebal warna birunya sahaja yang masih cuba menselindungkannya. Inilah padahnya kalau kita gagal berpijak di bumi nyata. Sesungguhnya perisytiharan yang telah dibuat oleh Datuk Lajim telah menjawab persoalan pendirian politik beliau yang telah dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO beberapa hari sebelumnya.

Dalam pilihanraya umum 2008, jumlah kerusi yang telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan parti tersebut daripada terus kecundang. Bahkan sewaktu memuncaknya ura-ura rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawan Putrajaya 2008 iaitu bersempena dengan Hari Malaysia, kerusi-kerusi parlimen dari Sabah dan Sarawak turut menjadi sasaran rancangan beliau. Rumusannya, kegagalan menawan Putrajaya oleh Datuk Seri Anwar ketika itu bolehlah dikatakan berpunca daripada ketidakupayaan beliau untuk mendapat sokongan jitu daripada para ahli parlimen daripada kedua-dua negeri berkenaan. Dengan kata lain, sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat (PR), kedua-dua pihak sama-sama bergantung dan mengharapkan sokongan daripada Sabah dan Sarawak dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita politik masing-masing.

Dengan keluarnya kedua-dua pemimpin berpengaruh Sabah daripada BN, maka Sabah kini tidak lagi merupakan zon selamat bagi politik UMNO/BN. Ia turut akan mempengaruhi individu dan pihak lain yang selama ini menyimpan hasrat yang sama untuk turut menyertai kedua-dua pemimpin berkenaan. Selain itu, tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan juga sedikit sebanyak turut akan memberi kesan kepada para pengundi Sabah khususnya dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Maklumlah kedua-dua pemimpin berkenaan bukan berseorangan. Di belakang mereka mungkin sudah ada entah berapa saf ramainya. Di samping itu, Sabah kini merupakan medan terbaru untuk pertembungan pengaruh politik antara BN dan PR. Kedua-dua pihak akan berusaha keras sama ada untuk mengekalkan pengaruh yang sedia ada ataupun untuk meluaskan lagi pengaruh yang sudah mula berbunga lebat di Sabah.



Di sebelah semenanjung pula, perkembangan yang hampir serupa turut berlaku. Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai golongan artis yang mula berjinak dengan politik. Setidak-tidaknya mereka semakin berani untuk menyatakan dan menyuarakan pendirian politik masing-masing.

Ada di antara golongan artis berkenaan yang sudah berani berceramah di pentas terbuka. Kalau dahulu mereka sekadar berjuang melalui seni, tetapi kini mereka mula berjuang atas landasan siasah pula. Manakala landasan siasah yang telah menjadi pilihan mereka pula sudah terang tak perlu disuluh lagi. Demikianlah.



Walau bagaimanapun, golongan artis yang beralih arah secara tiba-tiba seperti ini juga mempunyai sejarah lampaunya yang tersendiri. Saya tidaklah bermaksud golongan artis yang sekarang. Pada masa lalu, ada seorang artis yang juga telah beralih arah. Berceramah ke sana dan ke sini dengan penuh lantang dan bersemangat. Sambil berceramah beliau akan selitkan dengan nyanyian-nyanyian pula. Maklumlah beliau memang bersuara merdu. Kini artis berkenaan sudah tenggelam entah ke dasar lautan yang mana. Dahulu agak mudah kalau hendak dipanggil berceramah, tetapi sekarang bukan main lagi pandai main tarik harga pula.

Sebelumnya lagi, ada artis yang kononnya sudah mendapat hidayat. Pergi ke Makkah dan buat umrah. Kemudiannya boleh bercerita pula bertasbih sampai ke pagi dan kadangkala hingga tertidur atas sejadah. Sekarang apa sudah jadi?

Bukanlah tujuan saya untuk memperlekehkan mana-mana artis yang berpaling arah. Saya sekadar “membuka kitab usang” sahaja. Mungkin kumpulan artis yang berpaling arah masa kini tidak sama.

Di samping itu, ada juga beberapa orang bekas pegawai kerajaan yang sudah bersara turut sama menyertai parti pembangkang. Contoh yang mudah ialah penyertaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan jenayah PDRM ke dalam PAS beberapa bulan lalu. Selain itu, bekas pengarah Jabatan pelajaran sebuah negeri turut sama menyertai PAS. Ini tidak dikira lagi bekas pesara awam kelas menengah dan kelas bawah.

Persoalannya, mengapa fenomena sebegini berlaku? Bukankah setiap hari ada sahaja insentif yang diumumkan oleh kerajaan. Ia meliputi pelbagai golongan pula. Boleh dikatakan hampir semua kumpulan menerima habuan masing-masing. Nama insentif pula pelbagai selari dengan kepelbagaian kumpulan yang disasarkan. Ada yang mendapat RM500.00; ada yang mendapat RM480.00; ada yang mendapat RM300.00; ada juga yang mendapat RM100.00; pendek kata, semua “RM” belaka.

Dalam hal ini, saya teringat apa yang dipesan oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang antara lain katanya: “Hei, lihatlah Seri Maharaja! Anak harimau diajarnya makan daging. Kelak dia ditangkapnya.” (Sulalatus Salatin, Abdul Samad Ahmad (Ed), halaman 187).

Sesungguhnya wang bukan pencukup segala-galanya. Bahkan orang tidak akan pernah puas dengan wang. Kalau diberi seringgit, mereka akan meminta sepuluh ringgit pula. Bila diberi sepulh ringgit, mereka akan meminta seratus ringgit pula. Begitulah seterusnya. Bagi saya, nasihat “anak harimau jangan diajar makan daging” amat relevan dengan hal ini. Sama-samalah kita memikirkannya.

Saya bukan berpolitik, saya sekadar berkongsi pandangan mengenai hal yang ada kaitannya dengan politik sahaja.

Saturday, July 21, 2012

Salam Ramadhan 1433 Hijrah

Hari ini (21 Julai), seluruh umat Islam khasnya di Malaysia mula memasuki gerbang Ramadhan bagi tahun 1433 Hijrah. Sudah tentulah bila kita mula memasuki ambang Ramadhan perkara terawal yang kita lakukan ialah dengan marafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana masih meminjamkan nyawa kepada kita yang membolehkan kita bertemu lagi dengan Ramadhan untuk tahun ini. Kesyukuran yang kita raffakna ke hadhrat Allah tentunya lebih bermakna lagi bila kita renung-renungkan, terdapat sebilangan kerabat kita atau rakan-rakan kita yang tidak lagi berpeluang untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini.

Saya teringat sepotong hadith Rasulullah S.A.W. mengenai bulan Ramadhan yang antara lain mafhumnya, “Sekiranya kamu ketahui kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan, nescaya kamu akan memintanya (bulan Ramadhan) untuk sepanjang tahun”. Hadith ini menunjukkan bahawa betapa banyaknya kelebihan yang Allah kurniakan khusus untuk bulan Ramadhan. Mungkin kelebihan yang dapat kita senaraikan sedikit sahaja jika dibandingkan dengan apa yang sebenarnya. Demikianlah pengasih dan penyayangnya Allah terhadap para hamba-Nya.

Oleh itu, saya suka mengingatkan kepada diri saya sendiri serta kepada sesiapa sahaja yang gemar akan peringatan, marilah sama-sama kita memanfaatkan bulan Ramadhan ini semaksimumnya. Manalah tahu Ramadhan ini merupakan Ramadhan terakhir untuk kita!

Bersempena dengan kehadiran Ramadhan kali ini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam Ramadhan kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana jua berada. Ucapan yang sama juga saya tujukan kepada seluruh ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di seluruh negara. Saya juga tidak lupa menujukan ucapan ini kepada seluruh murid serta bekas murid saya di mana sahaja kalian berada.

Di samping itu, saya juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang telah mengirimkan ucapan selamat menyambut Ramadhan kepada saya khususnya menerusi SMS. Cikgu Gary dan En. K. K. Loh juga tidak ketinggalan mengirimkan ucapan masing-masing. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan.

Salam dari Kuantan.

Thursday, July 19, 2012

Ridwan Karim Kembali Ke Rahmatullah

Sekitar sejam yang lalu, saya menerima SMS daripada Mohd Rosmadi Ibrahim yang memaklumkan bahawa Saudara Ridwan Karim telah kembali ke Rahmatullah. Saya turut menerima SMS kedua yang menggunakan nombor Ridwan Karim sebagaimana yang ttersimpan dalam telefon bimbit saya yang turut memberi maklumat yang sama. Mungkin pihak yang menghantar SMS berkenaan ialah ahli keluarga Ridwan (Allahuyarham).

Menurut kandungan SMS kedua, Saudara Ridwan telah pun koma sejak subuh tadi. Beliau disahkan telah meninggal dunia pada jam 3.10 petang tadi. Beliau akan dikebumikan pada pagi esok. Kalau tidak silap saya, Ridwah telah menghembuskan nafas terakhirnya di negeri kelahirannya iaitu di Sabah.

Menurut maklumat yang saya terima, Saudara Ridwan telah diserang stroke yang mungkin berpunca daripada penyakit darah tingginya. Saya tidak pasti usia sebenarnya, tetapi beliau muda sedikit daripada saya.

Saya mula mengenali Saudara Ridwah Karim ketika kami sama-sama tinggal di asrama SMPK Setapak. Beliau merupakan murid di SMPK Setapak antara tahun 1985 hingga 1989. Selepas saya meninggalkan asrama SMPK Setapak pada tahun 1987, saya tidak lagi pernah bertemu dengan Saudara Ridwan hinggalah pada 8 Jun 2010 bilamana (Allahuyarham) menghubungi saya. Sejak itu kami akan berhubung walaupun secara sekali-sekala untuk update khabar. Kali akhir Saudara Ridwan menelefonsaya ialah sekitar 2 minggu yang lalu.

Seperkara yang tidak mungkin saya lupakan mengenai Ridwan ialah di mana beliau menjadi buta akibat satu letupan bom. Peristiwa tersebut berlaku ketika beliau masih kanak-kanak lagi. Dua rakan beliau yang turut bersamanya ketika itu meninggal dunia. Saudara Ridwah telah ditakdirkan untuk terus hidup tetapi tanpa penglihatan. Hari ini, beliau telah kembali semula kepada Penciptanya menyusuli dua rakannya yang telah pun mendahului beliau hampir 35 tahun yang lalu.

Saya berdoa semoga roh Saudara Ridwan akan sentiasa dalam rahmat dan peliharaan Allah hendaknya. Sebagaimana yang sering saya ucapkan, hari yang telah dijanjikan untuk Saudara Ridwan sudah pun tiba. Sesungguhnya hari yang sama yang telah dijanjikan untuk kita pula pasti akan tiba, hanya masanya sahaja yang menjadi rahsia. Masa yang telah dijanjikan itu pasti akan mendapatkan kita tanpa mengira sama ada kita sudah bersedia atau pun belum untuk menghadapinya.

Alfatihah ......

Wednesday, July 18, 2012

Diktator: Sekadar Pandangan

Dalam entry terbaru menerusi blog beliau, Tun Dr. Mahathir ada melontarkan persoalan seperti berikut:


Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang menjadi bukti bahawa saya adalah seorang diktator.


Saya penuh yakin, tanggapan “diktator” yang dikaitkan dengan Tun Dr. Mahathir bukanlah sesuatu yang baru. Bahkan sewaktu Tun Mahathir masih menjawat jawatan perdana menteri lagi gelaran berkenaan telah pun dikaitkan dengan beliau dan beliau memang amat menyedarinya.



Apa yang menghairankan saya, mengapa sekarang baru beliau ingin bertanya kepada orang ramai secara terbuka sebagaimana soalannya di atas? Bukankah lebih demokratik jika soalan sedemikian dilontarkan secara terbuka kepada orang ramai semasa beliau masih berkuasa penuh dan masih menjawat jawatan sebagai perdana menteri? Kalau 1Malaysia .... maaf salah istilah .... kalau pun seluruh Malaysia turut memberikan bukti kukuh tentang dakwaan bahawa beliau adalah seorang diktator, apa yang boleh beliau buat? Sebaliknya, sekiranya soalan sedemikian ditanya semasa beliau masih berkuasa penuh dan sekiranya ia bertujuan ikhlas, maka sudah tentu jawapan dan bukti yang diutarakan oleh orang ramai dapat memperbaiki corak pentadbirannya. Sekarang beliau sudah tiada kuasa lagi, yang ada Cuma suara sahaja. Jadi apa faedah dan manfaatnya kepada sistem pemerintahan negara ? Sesungguhnya sejarah kepimpinannya sudah tidak boleh diubah lagi.

Satu lagi, sekiranya pertanyaan beliau tidak mendapat reaksi, mungkin Tun Dr. Mahathir akan mendakwa pula bahawa sememangnya rakyat Malaysia tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa beliau sebagai diktator dan ia tidak lebih sebagai tuduhan dan fitnah semata-mata. Ini kaedah biasa dan ia tidak lebih daripada sekadar untuk bermain-main dengan minda orang ramai sahaja.

Satu lagi fakta yang telah dikemukakan dalam tulisan beliau ialah di mana kebanyakan pemimpin yang dianggap sebagai diktator telah digulingkan dalam bentuk pemberontakan dan rampasan kuasa. Maksud tersirat yang mungkin ingin beliau ketengahkan ialah, oleh kerana beliau (Tun Mahathir) bukan seorang diktator, maka sebab itulah beliau tidak digulingkan melalui kaedah pemberontakan dan rampasan kuasa. Sebaliknya beliau secara sukarela telah menyerahkan teraju dan tampuk pemerintahan kerajaan kepada penggantinya secara aman, tenteram, makmur dan teratur. Demikianlah.

Untuk memahami persoalan pada perenggan di atas, kita harus memahami sejarah sesuatu bangsa itu. Orang Melayu terutamanya, memang sudah terkenal sebagai satu bangsa yang lemah-lembut, mudah bertolak-ansur serta masih kuat berpegang kepada konsep daulat dan derhaka. Justeru, tidak hairanlah bilamana untuk menjadi Melayu amat mudah walaupun ibu atau bapanya (salah seorang) bukan Melayu. Jadi, adakah sifat yang serupa turut diwarisi atau diamalkan oleh bangsa atau negara lain?

Sejak dari dahulu lagi, sejarah telah memaklumkan kepada kita, walau sezalim atau sediktator mana sekalipun seseorang ketua itu, kebiasaannya orang Melayu tidak akan memberontak kerana kuatnya kepercayaan mereka terhadap konsep daulat dan derhaka tadi. Kerana itulah juga, orang yang telah menjadi perancang dan ketua kepada pemberontakan di istana Melaka sehingga tergulingnya Sultan Abu Shahid dan naiknya Sultan Muzaffar Shah bukan orang Melayu tulin, sebaliknya tokoh perancang dan ketua berkenaan masih kuat berdarah India (saya bukan resis, sekadar mengutarakan fakta sejarah sahaja).

Oleh itu, sepertimana yang saya telah katakan tadi, persoalan yang telah dikemukakan oleh Tun Mahathir sebagaimana di atas hanya sekadar untuk bermain-main dengan minda orang ramai sahaja. Apa yang sepatutnya berlaku masa kini ialah, mereka yang berjawatan perdana menteri, timbalan perdana menteri, para menteri serta para timbalannya, para pegawai tinggi, para presiden dan para YDP, seharusnya bertanyakan soalan yang serupa secara terbuka supaya boleh dijawab oleh orang ramai juga secara terbuka kerana golongan ini masih ada kuasa. Jika mereka ikhlas untuk mendengar pendapat dan pandangan daripada orang ramai, saya yakin apa-apa kelemahan yang ada dan yang diutarakan akan dapat diperbaiki. Janganlah bila sudah ketiadaan kuasa baru terhegeh-hegeh hendak bertanya soalan sedemikian kepada sekalian rakyat jelata. Jangan begitu ....

Satu pertanyaan yang boleh sama-sama kita fikir dan jawab dalam hati ialah, budaya mengampu dan membodek berkembang pesat di zaman siapa sebagai perdana menteri?

Saturday, July 14, 2012

Keluhan Seorang Rakan

Semalam (13 Julai), Ramalik Syah iaitu salah seorang rakan telah datang ke pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Kedatangan biasa saja. Namun begitu beliau telah berkongsi cerita yang mungkin agak mendukacitakan khususnya untuk diri dan keluarganya.

Antara punca mata pencarian utama beliau selama ini ialah membuat bakul rotan. Beliau memang berkeupayaan untuk membuat berbagai jenis bakul. Buatannya pula berkualiti dan memuaskan hati pelanggan.



Apa yang menjadi kerunsingan beliau kini ialah bekalan rotan yang merupakan bahan utama untuk membuat bakul semakin sukar untuk diperolehi. Katanya, selama ini pun harga rotan memang sudah semakin mahal. Kata Ramalik lagi, kilang di mana beliau memperolehi bekalan rotan sebelum ini yang terletak di Puchong juga bakal ditutup. Bekalan rotan yang ada di kilang tersebut hanya sekadar untuk menghabiskan stok sahaja.

Menurut Ramalik lagi, bermula Ramadhan ini, hampir pasti beliau akan kehilangan punca utama mata pencariannya. Bila saya tanya mengenai rancangan selanjutnya, beliau sendiri belum boleh memberikan kepastian. Apa yang mendukacitakan ialah ia berlaku tatkala umat Islam akan menyambut Ramadhan dan juga tidak lama lagi akan menyambut hari raya aidil fitri. Beliau mempunyai seorang isteri dan 6 orang anak. Anaknya yang sulung baru sahaja mendaftar untuk mengikuti kursus di sebuah institusi kemahiran di Melaka. Manakala anak-anaknya yang lain pula masih di bangku sekolah lagi. Kata Ramalik lagi, masalah yang sama iaitu kekurangan bekalan rotan juga turut dihadapi oleh sebuah pusat latihan di Pahang yang masih menganjurkan kursus untuk membuat bakul rotan kepada pelatih cacat penglihatan.

Gara-gara kekurangan bekalan rotan juga, salah seorang rakan saya yang selama ini turut mengusahakan bakul rotan di rumahnya di Pahang, mula bertukar profesion. Beliau kini mula menjadi seorang juruurut pula. Bila saya tanya sebab-musababnya, kata rakan berkenaan, selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan rotan, persaingan sengit dengan bakul yang diperbuat daripada bahan lain juga turut memberi kesan. Bakul rotan lebih mahal harganya jika dibandingkan dengan bakul buatan bahan lain. Ini kerana harga rotan mentah yang merupakan bahan utamanya sudah sememangnya mahal.

Pada masa lalu, aktiviti membuat bakul rotan memang sinonim dengan golongan cacat penglihatan. Bahkan di peringkat sekolah rendah khususnya di SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru, membuat bakul rotan merupakan salah satu kemahiran yang diajar kepada murid-muridnya. Saya sendiri pernah diajar kemahiran berkenaan.

Manakala Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) merupakan antara organisasi yang pernah menjadi pembekal bakul rotan yang terkenal terutamanya di sekitar lembah kelang. Antara pembuat bakul rotan yang pernah bertugas di MAB termasuklah Ramli, Yusuf, Ashari Abdullah (Allahuyarham) dan lain-lain lagi.

Di samping itu, ada juga pembuat bakul rotan yang mengusahakannya di rumah. Antara mereka termasuklah Samani Taib (kini usianya mungkin hampir 80 tahun) dan juga Ramalik Syah. Pihak MAB pula akan mengambil bakul-bakul yang telah mereka usahakan di ruah masing-masing untuk dipasarkan.

Itu cerita lama. Kini ia semakin suram dan malap. Apabila perusahaan membuat bakul rotan kian sukar, ini bermakna satu lagi pintu rezeki untuk golongan cacat penglihatan bakal tertutup.

Saturday, July 7, 2012

Sembang Malam

Hidup Penuh Pancaroba

Hidup ini memang penuh dengan pancaroba. Maka itulah agaknya golongan yang berpengalaman menyifatkan hidup ini bagai roda, kadang di atas dan kadang di bawah. Maknanya hidup kita tidak selalunya senang, ceria, mudah, riang, Gembira, senyum dan sebagainya. Adakalanya hidup kita akan melalui situasi dan suasana sedih, sukar, duka, murung, tertekan, dan pelbagai lagi. Rasanya sudah menjadi fitrah bagi yang hidup akan melalui kedua-dua situasi di atas dalam kehidupan masing-masing tanpa mengira sama ada seseorang itu kaya, miskin, orang atasan, orang bawahan, golongan bangsawan, golongan belasahan, bahkan sesiapa sahaja. Demikianlah.

Dalam hal ini, sekiranya setiap orang memunyai pegangan yang benar dan lurus serta berpegang padanya dengan kukuh, nescaya dia tidak akan sesat, tidak akan kecewa dan tidak akan berputus asa walau apa pun yang melanda. Orang yang mempunyai pegangan yang kuat dan kukuh pasti insaf bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan suatu hari ang dijanjikan kelak dia akan pasti berada di satu tempat lain yang dikenali sebagai akhirat. Apa yang dilakukannya hari ini pasti akan dihitung suatu hari nanti walaupun perlakuannya hanya sebesar zarrah. Kalau baik akan dibalas baik dan kalau buruk maka buruklah balasannya nanti. Justeru, orang yang ada pegangan, ada iman dan sentiasa maklum bahawa Tuhan itu sentiasa memerhatikannya, sama sekali tidak akan menggadaikan agamanya dan akidahnya semata-mata untuk meladeni kehidupan dunia yang ghurur ini.

Bila kita dilimpahi dengan pelbagai nikmat, rahmat, kesenangan atau kegembiraan, adakah kita benar-benar memanfaatkan kesempaan dan peluang yang ada untuk merafakkan syukur yang sebanyak-banyaknya kepada Dia yang telah memberikan segala-galanya kepada kita? Apa yang sering berlaku ialah tatkala kita sedang dilimpahi dengan pelbagai nikmat dan rahmat, waktu itulah kita menjadi insan yang paling pelupa sekali. Masa itulah kita lupa bahawa satu hari nanti segala nikmat yang sedang melimpahi kita boleh hilang dengan sekelip mata tanpa kita bersedia untuk menghadapinya. Kita lupa bahawa jika Allah boleh memberikan apa sahaja kepada kita dengan sekelip mata, maka Allah juga maha berupaya untuk menarik segala pemberian-Nya kepada kita juga dengan sekelip mata.

Kebiasaannya, apabila seseorang itu mula tenggelam dengan kemewahan yang sebenarnya bersifat sementara, dia mula melakukan perkara-perkara yang menjadi larangan Allah. Dia mula lupa pada kewajipan asasinya seperti solat lima waktu. Dia mula lupa kepada kewajipannya antara sesama manusia seperti kewajipannya kepada keluarganya sendiri. Dia mula hanyut dan tenggelam di bawa arus kesenangan yang semantara itu, seolah-olahnya dia akan hidup buat selama-lamanya. Bahkan lebih dahsyat lagi, dia mula menyimpan betina lain untuk dijadikan tempat dia melepaskan syahawatnya. Selain itu, orang yang sudah lupa daratan ini juga sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk menanggung kos sewa tempat kediaman serta makan minum betina simpanannya itu. Bukankah elok kalau wang tersebut digunakan untuk keperluan keluarganya sendiri? Bagi orang seperti ini, dia menganggap wang adalah segala-galanya. Maka itu, dia merasakan dengan wang semua boleh menjadi halal. Begitu ke?

Selain itu, ada juga segelintir insan yang sanggup menggadai akidahnya dan imannya demi untuk mencari kesenangan yang Cuma sementara. Bukankah pintu rezeki halal terbuka luas? Ada rakan memberitahu saya, jika usaha yang kuat dan bersungguh-sungguh dilakkan, kerja selaku juruurut juga boleh menjana pendapatan yang bukan sedikit jumlahnya pada setiap bulan. Maka itulah ada dalam kalangan rakan senasib lain yang benar-benar memanfaatkan kemahiran masing-masing dalam bidang urut sudah berjaya memperolei pendapatan jauh lebih tinggi daripada pendapatan bulanan sebilangan kakitangan yang makan gaji. Semuanya itu kerana mereka berusaha dengan kuat dan gigih tanpa jemu. Apa yang boleh kita contohi bagi orang seperti ini ialah mereka tidak tergerak hatinya untuk menyalahgunakan kemewahan yang dikurniakan kepada mereka ke jalan yang tidak diredhai Allah. Sedangkan mereka bukanlah petah sangat kalau bercakap fasal agama (saya tidak bermaksud mereka tidak mengetahui hal keagamaan).

Walau apa pun tekanan hidup yang sedang kita hadapi, jangan sekali-kali kita menggadaikan akidah dan iman kita. Kalau judi itu haram, ia sama sekali tidak menjadi halal dengan apa alasan sekali pun. Apatah lagi kalau kita menggunakan judi sebagai punca pendapatan kononnya untuk melunaskan hutang-putang kita. Amat menyedihkan kalau yang terjebak dengan hal sedemikian merupakan orang yang sedikit sebanyak tahu hukum-hakam dan petah bercakap kalau fasal ketuhanan dan juga mengenai kenabian. Kalau ditelek dan direnung, masalah yang dihadapi kini mungkin berpunca dari dalam dirinya sendiri. Nanti jangan sampai dikatakan orang, kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, habis semua terpalit.

Sesungguhnya antara yang halal dan yang haram itu sudah ada sempadannya yang amat nyata. Tiada keraguan padanya walau sedikit pun. Ingatlah, orang yang pekak ialah orang yang tidak suka mendengar nasihat yang baik, dan orang yang beku hatinya ialah orang yang tidak tergerak langsung untuk berubah ke arah kebaikan.

Saya bukanlah bagus sangat, bukan ustaz dan juga bukan orang alim. Saya sekadar berkongsi untuk tatapan dan renungan kita bersama semata-mata.

Thursday, July 5, 2012

Tiga Kali Berteksi

Tengah hari tadi, saya telah meninggalkan sekolah lebih awal, iaitu kira-kira jam 12.30 tengah hari. Haluan saya ialah ke Bangunan Mirama yang terletak di Jalan Syed Putra. Tujuannya ialah untuk menghadiri satu mesyuarat salaku guru penasihat untuk Kelab Sejarah Dan Rukun Negara sekolah. Mengikut jadual yang tertera dalam surat panggilan, mesyuarat dijangka akan berlangsung di Japatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional. Berdasarkan jadual, mesyuarat akan bermula pada jam 2.00 petang. Hanya saya seorang sahaja yang ditugaskan untuk menghadiri mesyuarat tersebut dari sekolah saya.

Dari sekolah, saya telah menggunakan perkhidmatan teksi sahaja. Ini perkara biasa. Setelah teksi bergerak, saya pun memberitahu destinasi yang ingin saya tuju kepada pemandunya. Pemandu berkenaan memberitahu saya, beliau tidak begitu biasa dengan tempat tersebut. Oleh kerana saya sudah pun berada dalam teksinya dan teksi sudah pun meninggalkan perkarangan sekolah, lalu pemandu berkenaan mencadangkan agar saya turun sahaja di tempat yang mudah untuk mendapatkan teksi lain (menurut jangkaan beliau). Lalu pemandu teksi berkenaan pun membawa saya ke Setiawangsa. Di sini memang mudah untuk mendapatkan teksi. Namun begitu, tambangnya harus saya bayar juga iaitu RM 11.00.

Dengan bantuan orang awam, akhirnya saya dapat juga sebuah teksi lain. Setelah memberitahu destinasi yang ingin saya tuju, pemandunya bersetuju. Saya pun masuk dan duduk di kerusi di sebelah pemandunya. Saya bertanya lagi kepada pemandu teksi yang kedua ini mengenai destinasi yang ingin saya tuju, beliau dengan yakin memaklumkan yang dia memang tahu tempat berkenaan. Oleh kerana keyakinannya agak tinggi, maka saya pun tidak bertanya banyak. Kebetulan pemandu yang ini agak senyap orangnya.

Setelah beberapa ketika, akhirnya teksi yang saya naiki pun berhenti dan pemandunya pun memberitahu saya: “Sudah sampai encik”. Sebelum turun, saya pun membayar tambangnya RM 10. Setelah bayaran tambang dilunaskan teksi berkenaan pun terus meluncur laju. Oleh kerana pemandu teksi tadi yakin, maka saya pun yakin jugalah. Dengan sedikit kemahiran O&M yang saya miliki, akhirnya saya berjaya juga masuk ke dalam bangunan yang dikatakan Bangunan Mirama. Saya rasa agak pelik sedikit kerana suasananya macam suasana lobi sebuah hotel. Walau bagaimanapun, saya membuat kesipulan, agaknya Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional yang ingin saya tuju mungkin terletak dalam premis hotel sama macam Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur yang terletak dalam premis Hotel Grand Season. Begitulah agaknya.

Seorang wanita Cina menegur saya dalam bahasa Melayu yang cukup sopan: “Hendak ke mana, encik?” Saya menjawab: “Sya ingin menghadiri mesyuarat di Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional yang terletak di Bangunan Mirama.” Lalu wanita tadi memberitahu saya dengan berkata: “Maaf encik, ini bukan bangunan Mirama, ini Hotel Mirama. Jabatan yang encik beritahu pun tidak ada di sini.” Saya agak terkejut. Apatah lagi masa semakin suntuk.

Mungkin wanita tadi dapat mengesan riak kegelisahan pada wajah saya, lalu dia pun berkata lagi: “Tak apa, encik. Jangan risau. Saya akan bantu encik untuk dapatkan teksi lain.” Lalu beliau pun mengarahkan seorang kakitangan hotel berkenaan supaya membantu saya untuk mendapatkan teksi lain. Pesannya kepada kakitangan berkenaan wsupaya tunggu hingga saya naik teksi.

Setelah menanti seketika, akhirnya sebuah teksi berhenti. Setelah saya memberitahu pemandunya destinasi yang ingin saya tuju dengan jelas, pemandu berkenaan bersetuju untuk menghantar saya ke destinasi yang saya ingin tuju. Saya pun naik dan seperti biasa saya akan duduk di sebelah kiri pemandu. Pemandu yang ini rajin pula bercerita. Beliau merupakan pesara tentera. Beliau juga pernah berkhidmat di bahagian risikan tentera. Ada juga dua tiga pengalamannya yang diceritakan kepada saya. Sambil itu dia terus memandu teksinya. Setelah beberapa ketika, beliau pun memberhentikan teksinya dan memberitahu saya, sudah sampai. Setelah membayar RM 5.00, lalu saya pun turun. Saya memberitahu kepada seseorang yang kebetulan ada di situ bahawa saya ingin menghadiri satu mesyuarat di Bangunan Mirama. Orang tadi terus memberitahu saya, ini bukan Wisma Mirama, ini Wisma Pahlawan. Nasib saya agak baik kerana teksi yang saya naik tadi masih tidak berapa jauh. Orang tadi terus mengear teksi berkenaan, menahannya dan meminta pemandunya agar membawa saya ke destinasi yang betul. Saya rasa, mungkin pemandunya terlebih bercerita maka itulah saya masih gagal diberhentikan di destinasi yang betul.

Saya naik semula teksi tadi dan kali ini saya menunjukkan kepada pemandu berkenaan alamat destinasi yang ingin saya tuju sebagaimana yang tertera pada surat panggilan mesyuarat yang kebetulan ada bersama saya. Setelah melihat alamatnya, pemandu teksi tadi pun berkata, saya memang tahu temat ini. Maka saya pun berkata, silalah bawa saya ke tempat itu sekarang.

Kali ini pemandu teksi berkenaan kurang bercerita. Walaupun dia ingin membuka cerita baru, tapi kali ini saya tidak mahu melayannya. Saya Cuma bertanya, sudah sampai mana, encik? Setiap kali dia ingin bercerita lagi, saya ulangi lagi pertanyaan yang sama, sudah sampai mana, encik?

Akhirnya, sekitar jam 2.15 petang, barulah saya tiba di destinasi yang betul. Bila saya turun teksi, saya pun bertanya kepada seseorang yang ada di situ dan beliau mengesahkan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional di tingkat 1. Setelah sahih destinasinya barulah saya bayar tambangnya, RM 10.00.

Agak-agaknyalah, kalau dijumlahkan keseluruhannya, berapa jumlah tambang teksi yang telah saya bayar? Saya rasa, sekiranya teksi pertama tadi berupaya menghantar saya ke destinasi yang betul, kemungkinan besar saya tidak perlu membayar sebanyak itu. Saya juga tidak perlu berpindah ke teksi kedua dan ketiga. Saya juga dapat menjimatkan masa dan sekaligus akandapat tiba ke destinasi sebelum waktu bermesyuarat bermula. Apakan daya, sudah takdirnya begitu, saya akur sahalah.

Pengalaman sebegini adakalanya sudah menjadi lumrah. Kali ini saya lewat tiba di destinasi bukan sangat kerana kecacatan penglihatan saya, tapi ia lebih kepada kecuaian pemandu teksi yang saya naiki. Sesungguhnya pengalaman sebegini sudah menjadi asam garam kehidupan bagi mereka yang cacat penglihatan yang sering bergerak ke sana dan ke sini secara bersendirian. Bagi saya, jika kita menerima pengalaman sebegini secara positif, maka ia akan dapat menanam sifat sabar kepada diri kita.

Setelah mesyuarat tamat, Pn. Normalis, salah seorang pegawai yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)Keramat telah sudi dan bermurah hati menghantar saya hingga ke rumah. Kepada beliau, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan. Beliau pun tidak mengetahui bahawa saya terpaksa berteksi tiga kali sebelum sampai ke lokasi mesyuarat tadi.

Tujuan saya berkongsi pengalaman di atas bukanlah saya merasakan diri saya sudah bagus sangat. Mungkin orang lain ada cara tersendiri yang lebih baik jika hal serupa berlaku ke atas diri mereka. Jadi, apa yang baik itu kita sama-sama jadikan teladan. Apa yang kurang baik itu, kita sama-samalah membaikinya sehingga ia benar-benar baik.

Tuesday, July 3, 2012

Sebaran Umum

PWD ACT 2008 : AN INSIGHT (Forum)

Dear Friends in Disability

Many among us have heard of or read the Persons With Disabilities Act 2008 (PWDA). But how many actually understand its role in protecting our rights, promoting and improving the quality of our lives and more importantly the responsibilities of the government, private sector and NGOs towards this end?

A few concerned lawyers from the Bar Council have kindly come forward to provide an in-depth explanation of the PWDA, and how it can be effectively utilised to improve the lives of PWDs in Malaysia at the following forum :

PERSONS WITH DISABILITIES ACT 2008 : AN INSIGHT

Date: 8th July 2012 (Sunday)
Venue : MAB Hall, Jalan Tebing, Off Jalan Tun Sambanthan 4 ,Brickfields, KL
Time: 10.00 a.m – 1.00 p.m

We are inviting two leaders from each organisation to attend this Forum. PWDs who do not belong to any organisation are also welcome to attend. All those who wish to attend please register by replying to whitebluelee@yahoo.com (Christine Lee), or mfcy76@gmail.com (Faizal ) or bathma23@gmail.com (Bathma) by 6th July.

As the capacity at the MAB Hall is limited, we encourage you to register early. We will also be carrying the Forum live over Internet Radio (IR) and Skype. The link for IR will be provided by Wednesday.

Thank you.

Bathmavathi Krishnan
(on behalf of the Organising Team: Peter Tan, Christine Lee, Mohammad Faizal Che Yusof)

Salam Sejahtera Warga OKU

Ramai antara kita pernah dengar atau membaca Akta OKU 2008 (AOKU). Namun, berapa ramai yang sebenarnya memahami peranan AOKU dalam melindungi hak OKU, menggalak serta meningkat kualiti hidup kita dan lebih-lebih lagi mengenai tanggungjawab kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan terhadap OKU?

Beberapa peguam yang prihatin dari Majlis Peguam telah menampil untuk memberi keterangan menyeluruh serta cara bagaimana AOKU boleh digunapakai secara efektif untuk mempertingkatkan kualiti hidup OKU Malaysia, di forum berikut :

MENYELAMI AKTA ORANG KURANG UPAYA 2008
Tarikh: 8hb Julai 2012 (Ahad)
Tempat : Dewan MAB, Jalan Tebing, Off Jln Tun Sambanthan 4, Brickfields, KL
Masa : 10.00 pagi – 1.00 tgh

Kami menjemput dua peserta dari setiap pertubuhan menghadiri Forum tersebut. OKU yang bukan ahli mana-mana pertubuhan juga dijemput sebagai individu. Semua yang ingin meyertai Forum diminta mendaftar melalui email, kepada whitebluelee@yahoo.com (Christine Lee), atau mfcy76@gmail.com (Faizal ) atau bathma23@gmail.com (Bathma) sebelum 6hb Julai.

Memandangkan kapasiti terhad di Dewan MAB, peserta diminta mendaftar awal. Kami juga akan menyiarkan Forum ini secara langsung melalui Internet Radio (IR) dan Skype. Pautan bagi IR akan diberi sebelum hari Rabu nanti.

Terima kasih.

Bathmavathi Krishnan
(Bagi pihak Pasukan Penganjur : Peter Tan, Christine Lee, Mohammad Faizal Che Yusof)

Monday, July 2, 2012

SBM: Masih Suam-suam Kuku

Semasa saya menyemak email tengah hari tadi, maka terjumpalah saya dengan satu email yang dikirimkan oleh mungkin salah seorang pengunjung blog ini. Menrut pengirim email berkenaan, beliau mengirimkan email berkenaan kerana maklum bahawa saya masih belum ada facebook. Maklumlah, hendak kendalikan blog yang tak seberapa ini pun saya terpaksa mencuri masa. Maka itulah sehingga ini saya masih belum membuka akaun facebook lagi.

Kepada pengirim email berkenaan, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Mudah-mudahan perkongsian ini akan membawa faedah dan manfaat untuk kita bersama.

Setelah meneliti kandungan email yang dipetik daripada facebook salah seorang rakan kita juga, maka saya terpanggil untuk memberikan ulasan. Bukannya apa, biar kita dapat pertimbangkan sesuatu perkara itu dengan lebih adil dengan melihat kedua-dua belah pihak. Saya sama sekali tidak berhasrat untuk menghangatkan semula suasana yang sedang kendur dan mungkin sudah pun sampai ke tahap “suam-suam kuku” sebagaimana kata penulis asal ulasan berkenaan.

Di bawah ini, saya sisipkan semula petikan sebahagian daripada email berkenaan yang telah diambil daripada kandungan facebook individu yang berkenaan untuk sama-sama kita tatap dan nilai:



Dua penganalisis yang turut berkongsi idea dan buah
fikiran mereka ialah Saudara Tai Khai Eong (TKE) dan Cikgu Zakaria Yahya
(CZY). Pandailah hang Khai Eong! Hand-break la, gear la, macam hang besa
bawak kereta! Tapi perkongsian hang menarik khususnya apa yang berlaku
semasa BGM itu berlangsung.

Kalau TKE agak santai dalam tulisannya, CZY pula
mengajak kita berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya. Cikgu yang
tulis la katakan! But, reading between the lines, saya percaya kalian dapat
mengesan siapa individu yang disasarkannya itu. Penerbitan Al-Quran Braille
pun turut jadi bahan dalam analisisnya.

Seperti kata CZY, ada ahli yang hanya mengundi
separuh jalan hari itu. Saya adalah antara ahli-ahli tersebut. Kalau nak
diikutkan, kami memang bercadang nak tunggu sampai habis sebab kami bukan
dating nak sokong calon Presiden saja! Tiap-tiap jawatan ada calon yang kami
nak beri undi. Tapi apakan daya! Kami ni pakej tak rasmi. Pakej swasta. Kami
terpaksa bergegas ke Sekolah PES kerana lunch telah disediakan untuk kami di
sana. Lagipun, kami perlu pulang awal ke KL disebabkan bas kami itu akan
digunakan oleh pihak lain pada sebelah malamnya.

Cuma CZY, dalam keghairahannya membuat analisis
mengenai BGM tempoh hari, tidak pula menyentuh tentang apa yang berlaku
waktu undian berlangsung hari itu. Maka izinkan saya pula membuat sedikit
analisis mengenai suasana pemilihan itu. Maaflah agak lewat sedikit.tapi
masih suam-suam kuku lagi kot! hehehe…

Selepas Roll Call tamat, Mesyuarat dimaklumkan
bahawa terdapat seramai 419 orang ahli yang layak mengundi kali ini. Maka
undian untuk jawatan Presiden pun dijalankan. Keputusannya: Tuan hj Mohd.
Nazari mendapat 288 undi; Saudara Jaafar mendapat 17 undi dan Dato’ Mah
Hassan mendapat 113 undi. Bila dijumlahkan keseluruhan undi para ahli itu,
jumlahnya =418 undi. Mana pergi 1 undi lagi tu ek? Undi rosak atau dia tak
buang undi?

Jawatan Bendahari lagi menarik. Puan Jasmine
mendapat 282 undi dan Tuan hj Shaharudin mendapat 126 undi. Kali ini ada
undi rosak =11. bila dijumlahkan, bilangan ahli yang mengundi =419 orang.
Fine. Bererti semua ahli yang hadir telah membuang undi mereka. Pada masa
yang sama, sebilangan kami sudahpun meninggalkan dewan mesyuarat ketika itu.
Kebanyakan kami hanya sempat mengundi semasa jawatan Setiausaha Agung.
-kurangnya 15 orang sudahpun keluar dari dewan mesyuarat semasa
undian dijalankan untuk jawatan Bendahari itu. Persoalannya, siapa yang
membuang undi bagi pihak kami ek? Atau mungkin saya yang dapat salah
maklumat?

Menghadiri mesyuarat agung SBM itu menghimbau
kembali ingatan saya sewaktu melibatkan diri dengan Persatuan Lepasan St.
Nicholas (PLSN) dalam tahun-tahun 80-an dulu. Pemilihan barisan kepimpinan
dijalankan tiap-tiap tahun. Kalah menang perkara biasa dalam pertandingan
merebut jawatan. Selepas pemilihan, yang kalah dan yang menang boleh
bergurau senda macam tak ada apa-apa berlaku. Mungkin kerana kami sudah
mengenali masing-masing sejak di bangku sekolah lagi. Tidak kedengaran
jeritan “pembelit” bila nama calon yang tidak popular diumumkan. Tidak
terdengar sorakan “boo” bila seseorang calon tewas. Sayangnya, Persatuan itu
kini ibarat hidup segan mati tak mahu.



Ulasan

Pertama, bagi saya adalah tidak mendatangkan sebarang kemusykilan sekiranya jumlah ndi yang dibuang itu kurang daripada jumlah ahli yang layak mengundi. Sebagai contoh, jumlah yang layak mengundi ialah seramai 419 orang, tetapi jumlah keseluruhan yang membuang undi adalah 418 orang. 1 ndi itu boleh dikaegorikan sebagai undi rosak atau undi yang tidak dibuang. Saya rasa tiada masalah dengan jumlah 418 undi itu. Masalah akan timbul jika, yang layak mengundi ialah seramai 419 orang tetapi jumlah keseluruhan undi yang dibuang melebihi 419, contohnya 420. Maka jika ini berlaku, barulah masalah timbul di mana akan wujud unsur keraguan pada pengundian berkenaan.

Kedua, mengenai pengundian untuk jawatan bendahari. Untuk maklumat bersama, keputusan pengundian ialah 282 undi berpihak kepada Pn. Jasmin dan 126 undi berpihak kepada Tuan Haji Syahruddin Sidek. Bila dijumlahkan, seramai 408 ahli telah membuang undi. Ini bermakna terdapat 11 undi yang boleh dikategorikan sebagai undi rosak atau undi yang tidak dibuang.

Saya menyifatkan1 undi (untun pengundian jawatan presiden) dan 11 undi (untuk pengundian jawatan bendahari) lebih kepada undi yang tidak dibuang daripada undi rosak kerana pengerusi mesyuarat ketika itu (kalau tidak silap pendengaran saya) tidak pun mengumumkan apa yang terjadi pada 1 undi dan 11 undi berkenaan. Jika beliau mengumumkan “ada 1 undi rosak” atau “ada 11 undi rosak”, maka tahulah kita bahawa baki undi berkenaan juga turut dibuang oleh ahli tetapi ia dikategorikan sebagai undi rosak atas sebab-ebab tertentu. Oleh kerana pengerusi mesyuarat pada hari berkenaan tidak pun mengumumkan apa yang terjadi pada baki undi berkenaan, maka di sini saya menyifatkannya sebagai undi yang tidak dibuang.

Pengulas asal sisipan di atas juga mengakui bahawa beliau merupakan antara pengundi sekerat jalan sebagaimana yang saya kategorikan dalam tulisan saya sebelum ini. Memang benar, beliau dan rakan-rakannya telah meninggalkan dewan selepas pengundian untuk jawatan setiausaha agung. Sepatutnya beliau tidak merasa hairan bagaimana boleh terjadi hanya 11 undi sahaja yang dianggap sebagai undi rosak atau undi yang tidak dibuang, sedangkan, menurut beliau, sekitar 15 orang telah pun meninggalkan dewan mesyuarat. Beliau tentu masih ingat apa yang berlaku sebelum beliau dan rakan-rakannya meninggalkan dewan mesyuarat ketika itu. Di sini saya tidak berhasrat mengulas lebih panjang kerana kisah yang sudah mula menjadi suam-suam kuku ini akan menjadi panas semula dan akan berpanjangan entah sampai bila. Jadi, cukuplah kalau kita sahaja yang sama-sama tahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Maklumlah pada ketika itu kita sama-sama duduk dan ditempatkan dalam zon yang sama.

Saya rasa, penulis asal sisipan di atas tiada masalah dengan ulasan saya sebegini. Lagipun saya tiada masalah dengan apa yang telah beliau ulas. Kita sama-sama meluahkan apa yang kita sama-sama rasa menerusi tulisan.