Beberapa perkembangan politik masa kini amat menguja saya untuk melontarkan pandangan. Apatah lagi dengan keluarnya dua tokoh politik penting di Sabah dari UMNO dan BN sehari yang lalu menambah lagi runtunan naluri saya untuk berkongsi apa yang membuak dalam minda saya. Suka saya nyatakan di sini, sewaktu saya menuntut di Universiti Malaya beberapa dekad lalu, salah satu kertas yang telah saya ambil ialah AE344, Perkembangan Politik Semenanjung. Manakala pensyarahnya pula ketika itu ialah Prof. Madya Mahadzir Mohd Khir yang kemudiannya pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Malaysia (1999-2004).
Sehari dua yang lalu, dua orang pemimpin politik terkemuka Sabah, Datuk Lajim Haji Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing telah mengisytiharkan keluar dari BN. Selain itu, mereka berdua turut mengepalai gerakan untuk membawa perubahan di Sabah. Sesungguhnya pengaruh dan kepentingan kedua-dua tokoh politik di atas khususnya di Sabah memang tidak disangkal lagi. Bahkan jika ditinjau sejarahnya, Datuk Lajim merupakan antara tokoh yang telah membuat pengisytiharan yang hampir serupa pada tahun 1994 yang keluar dari Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyertai UMNO. Barang diingat, pengistiharan Datuk Lajim telah memercepatkan lagi kehilangan kuasa politik PBS di Sabah ketika itu. Apakah peristiwa yang serupa di negeri yang sama juga akan berlaku tidak lama lagi?
Ura-ura kedua-dua pemimpin berkenaan akan beralih arah kiblat politik sudah heboh diperkatakan menerusi media alternatif sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Hanya media konvensional yang tebal warna birunya sahaja yang masih cuba menselindungkannya. Inilah padahnya kalau kita gagal berpijak di bumi nyata. Sesungguhnya perisytiharan yang telah dibuat oleh Datuk Lajim telah menjawab persoalan pendirian politik beliau yang telah dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO beberapa hari sebelumnya.
Dalam pilihanraya umum 2008, jumlah kerusi yang telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan parti tersebut daripada terus kecundang. Bahkan sewaktu memuncaknya ura-ura rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawan Putrajaya 2008 iaitu bersempena dengan Hari Malaysia, kerusi-kerusi parlimen dari Sabah dan Sarawak turut menjadi sasaran rancangan beliau. Rumusannya, kegagalan menawan Putrajaya oleh Datuk Seri Anwar ketika itu bolehlah dikatakan berpunca daripada ketidakupayaan beliau untuk mendapat sokongan jitu daripada para ahli parlimen daripada kedua-dua negeri berkenaan. Dengan kata lain, sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat (PR), kedua-dua pihak sama-sama bergantung dan mengharapkan sokongan daripada Sabah dan Sarawak dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita politik masing-masing.
Dengan keluarnya kedua-dua pemimpin berpengaruh Sabah daripada BN, maka Sabah kini tidak lagi merupakan zon selamat bagi politik UMNO/BN. Ia turut akan mempengaruhi individu dan pihak lain yang selama ini menyimpan hasrat yang sama untuk turut menyertai kedua-dua pemimpin berkenaan. Selain itu, tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan juga sedikit sebanyak turut akan memberi kesan kepada para pengundi Sabah khususnya dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Maklumlah kedua-dua pemimpin berkenaan bukan berseorangan. Di belakang mereka mungkin sudah ada entah berapa saf ramainya. Di samping itu, Sabah kini merupakan medan terbaru untuk pertembungan pengaruh politik antara BN dan PR. Kedua-dua pihak akan berusaha keras sama ada untuk mengekalkan pengaruh yang sedia ada ataupun untuk meluaskan lagi pengaruh yang sudah mula berbunga lebat di Sabah.
Di sebelah semenanjung pula, perkembangan yang hampir serupa turut berlaku. Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai golongan artis yang mula berjinak dengan politik. Setidak-tidaknya mereka semakin berani untuk menyatakan dan menyuarakan pendirian politik masing-masing.
Ada di antara golongan artis berkenaan yang sudah berani berceramah di pentas terbuka. Kalau dahulu mereka sekadar berjuang melalui seni, tetapi kini mereka mula berjuang atas landasan siasah pula. Manakala landasan siasah yang telah menjadi pilihan mereka pula sudah terang tak perlu disuluh lagi. Demikianlah.
Walau bagaimanapun, golongan artis yang beralih arah secara tiba-tiba seperti ini juga mempunyai sejarah lampaunya yang tersendiri. Saya tidaklah bermaksud golongan artis yang sekarang. Pada masa lalu, ada seorang artis yang juga telah beralih arah. Berceramah ke sana dan ke sini dengan penuh lantang dan bersemangat. Sambil berceramah beliau akan selitkan dengan nyanyian-nyanyian pula. Maklumlah beliau memang bersuara merdu. Kini artis berkenaan sudah tenggelam entah ke dasar lautan yang mana. Dahulu agak mudah kalau hendak dipanggil berceramah, tetapi sekarang bukan main lagi pandai main tarik harga pula.
Sebelumnya lagi, ada artis yang kononnya sudah mendapat hidayat. Pergi ke Makkah dan buat umrah. Kemudiannya boleh bercerita pula bertasbih sampai ke pagi dan kadangkala hingga tertidur atas sejadah. Sekarang apa sudah jadi?
Bukanlah tujuan saya untuk memperlekehkan mana-mana artis yang berpaling arah. Saya sekadar “membuka kitab usang” sahaja. Mungkin kumpulan artis yang berpaling arah masa kini tidak sama.
Di samping itu, ada juga beberapa orang bekas pegawai kerajaan yang sudah bersara turut sama menyertai parti pembangkang. Contoh yang mudah ialah penyertaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan jenayah PDRM ke dalam PAS beberapa bulan lalu. Selain itu, bekas pengarah Jabatan pelajaran sebuah negeri turut sama menyertai PAS. Ini tidak dikira lagi bekas pesara awam kelas menengah dan kelas bawah.
Persoalannya, mengapa fenomena sebegini berlaku? Bukankah setiap hari ada sahaja insentif yang diumumkan oleh kerajaan. Ia meliputi pelbagai golongan pula. Boleh dikatakan hampir semua kumpulan menerima habuan masing-masing. Nama insentif pula pelbagai selari dengan kepelbagaian kumpulan yang disasarkan. Ada yang mendapat RM500.00; ada yang mendapat RM480.00; ada yang mendapat RM300.00; ada juga yang mendapat RM100.00; pendek kata, semua “RM” belaka.
Dalam hal ini, saya teringat apa yang dipesan oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang antara lain katanya: “Hei, lihatlah Seri Maharaja! Anak harimau diajarnya makan daging. Kelak dia ditangkapnya.” (Sulalatus Salatin, Abdul Samad Ahmad (Ed), halaman 187).
Sesungguhnya wang bukan pencukup segala-galanya. Bahkan orang tidak akan pernah puas dengan wang. Kalau diberi seringgit, mereka akan meminta sepuluh ringgit pula. Bila diberi sepulh ringgit, mereka akan meminta seratus ringgit pula. Begitulah seterusnya. Bagi saya, nasihat “anak harimau jangan diajar makan daging” amat relevan dengan hal ini. Sama-samalah kita memikirkannya.
Saya bukan berpolitik, saya sekadar berkongsi pandangan mengenai hal yang ada kaitannya dengan politik sahaja.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment