Hari ini (21 Julai), seluruh umat Islam khasnya di Malaysia mula memasuki gerbang Ramadhan bagi tahun 1433 Hijrah. Sudah tentulah bila kita mula memasuki ambang Ramadhan perkara terawal yang kita lakukan ialah dengan marafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana masih meminjamkan nyawa kepada kita yang membolehkan kita bertemu lagi dengan Ramadhan untuk tahun ini. Kesyukuran yang kita raffakna ke hadhrat Allah tentunya lebih bermakna lagi bila kita renung-renungkan, terdapat sebilangan kerabat kita atau rakan-rakan kita yang tidak lagi berpeluang untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini.
Saya teringat sepotong hadith Rasulullah S.A.W. mengenai bulan Ramadhan yang antara lain mafhumnya, “Sekiranya kamu ketahui kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan, nescaya kamu akan memintanya (bulan Ramadhan) untuk sepanjang tahun”. Hadith ini menunjukkan bahawa betapa banyaknya kelebihan yang Allah kurniakan khusus untuk bulan Ramadhan. Mungkin kelebihan yang dapat kita senaraikan sedikit sahaja jika dibandingkan dengan apa yang sebenarnya. Demikianlah pengasih dan penyayangnya Allah terhadap para hamba-Nya.
Oleh itu, saya suka mengingatkan kepada diri saya sendiri serta kepada sesiapa sahaja yang gemar akan peringatan, marilah sama-sama kita memanfaatkan bulan Ramadhan ini semaksimumnya. Manalah tahu Ramadhan ini merupakan Ramadhan terakhir untuk kita!
Bersempena dengan kehadiran Ramadhan kali ini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam Ramadhan kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana jua berada. Ucapan yang sama juga saya tujukan kepada seluruh ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di seluruh negara. Saya juga tidak lupa menujukan ucapan ini kepada seluruh murid serta bekas murid saya di mana sahaja kalian berada.
Di samping itu, saya juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang telah mengirimkan ucapan selamat menyambut Ramadhan kepada saya khususnya menerusi SMS. Cikgu Gary dan En. K. K. Loh juga tidak ketinggalan mengirimkan ucapan masing-masing. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan.
Salam dari Kuantan.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment