Wednesday, July 18, 2012

Diktator: Sekadar Pandangan

Dalam entry terbaru menerusi blog beliau, Tun Dr. Mahathir ada melontarkan persoalan seperti berikut:


Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang menjadi bukti bahawa saya adalah seorang diktator.


Saya penuh yakin, tanggapan “diktator” yang dikaitkan dengan Tun Dr. Mahathir bukanlah sesuatu yang baru. Bahkan sewaktu Tun Mahathir masih menjawat jawatan perdana menteri lagi gelaran berkenaan telah pun dikaitkan dengan beliau dan beliau memang amat menyedarinya.



Apa yang menghairankan saya, mengapa sekarang baru beliau ingin bertanya kepada orang ramai secara terbuka sebagaimana soalannya di atas? Bukankah lebih demokratik jika soalan sedemikian dilontarkan secara terbuka kepada orang ramai semasa beliau masih berkuasa penuh dan masih menjawat jawatan sebagai perdana menteri? Kalau 1Malaysia .... maaf salah istilah .... kalau pun seluruh Malaysia turut memberikan bukti kukuh tentang dakwaan bahawa beliau adalah seorang diktator, apa yang boleh beliau buat? Sebaliknya, sekiranya soalan sedemikian ditanya semasa beliau masih berkuasa penuh dan sekiranya ia bertujuan ikhlas, maka sudah tentu jawapan dan bukti yang diutarakan oleh orang ramai dapat memperbaiki corak pentadbirannya. Sekarang beliau sudah tiada kuasa lagi, yang ada Cuma suara sahaja. Jadi apa faedah dan manfaatnya kepada sistem pemerintahan negara ? Sesungguhnya sejarah kepimpinannya sudah tidak boleh diubah lagi.

Satu lagi, sekiranya pertanyaan beliau tidak mendapat reaksi, mungkin Tun Dr. Mahathir akan mendakwa pula bahawa sememangnya rakyat Malaysia tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa beliau sebagai diktator dan ia tidak lebih sebagai tuduhan dan fitnah semata-mata. Ini kaedah biasa dan ia tidak lebih daripada sekadar untuk bermain-main dengan minda orang ramai sahaja.

Satu lagi fakta yang telah dikemukakan dalam tulisan beliau ialah di mana kebanyakan pemimpin yang dianggap sebagai diktator telah digulingkan dalam bentuk pemberontakan dan rampasan kuasa. Maksud tersirat yang mungkin ingin beliau ketengahkan ialah, oleh kerana beliau (Tun Mahathir) bukan seorang diktator, maka sebab itulah beliau tidak digulingkan melalui kaedah pemberontakan dan rampasan kuasa. Sebaliknya beliau secara sukarela telah menyerahkan teraju dan tampuk pemerintahan kerajaan kepada penggantinya secara aman, tenteram, makmur dan teratur. Demikianlah.

Untuk memahami persoalan pada perenggan di atas, kita harus memahami sejarah sesuatu bangsa itu. Orang Melayu terutamanya, memang sudah terkenal sebagai satu bangsa yang lemah-lembut, mudah bertolak-ansur serta masih kuat berpegang kepada konsep daulat dan derhaka. Justeru, tidak hairanlah bilamana untuk menjadi Melayu amat mudah walaupun ibu atau bapanya (salah seorang) bukan Melayu. Jadi, adakah sifat yang serupa turut diwarisi atau diamalkan oleh bangsa atau negara lain?

Sejak dari dahulu lagi, sejarah telah memaklumkan kepada kita, walau sezalim atau sediktator mana sekalipun seseorang ketua itu, kebiasaannya orang Melayu tidak akan memberontak kerana kuatnya kepercayaan mereka terhadap konsep daulat dan derhaka tadi. Kerana itulah juga, orang yang telah menjadi perancang dan ketua kepada pemberontakan di istana Melaka sehingga tergulingnya Sultan Abu Shahid dan naiknya Sultan Muzaffar Shah bukan orang Melayu tulin, sebaliknya tokoh perancang dan ketua berkenaan masih kuat berdarah India (saya bukan resis, sekadar mengutarakan fakta sejarah sahaja).

Oleh itu, sepertimana yang saya telah katakan tadi, persoalan yang telah dikemukakan oleh Tun Mahathir sebagaimana di atas hanya sekadar untuk bermain-main dengan minda orang ramai sahaja. Apa yang sepatutnya berlaku masa kini ialah, mereka yang berjawatan perdana menteri, timbalan perdana menteri, para menteri serta para timbalannya, para pegawai tinggi, para presiden dan para YDP, seharusnya bertanyakan soalan yang serupa secara terbuka supaya boleh dijawab oleh orang ramai juga secara terbuka kerana golongan ini masih ada kuasa. Jika mereka ikhlas untuk mendengar pendapat dan pandangan daripada orang ramai, saya yakin apa-apa kelemahan yang ada dan yang diutarakan akan dapat diperbaiki. Janganlah bila sudah ketiadaan kuasa baru terhegeh-hegeh hendak bertanya soalan sedemikian kepada sekalian rakyat jelata. Jangan begitu ....

Satu pertanyaan yang boleh sama-sama kita fikir dan jawab dalam hati ialah, budaya mengampu dan membodek berkembang pesat di zaman siapa sebagai perdana menteri?

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, salam Ramadhan Al-Mubarak dan selamat berpuasa, Saudara Blogger sekeluarga dan rakan-rakan sekalian.

Maaf, agak terlewat mengikuti isu ini. Juga, syabas atas artikel yang penuh terus-terang sebegini.

Pada hemat saya pula, di samping faktor budaya bangsa, ia juga boleh jadi satu daripada apa yang boleh kita sebutkan sebagai "istidraj" yang terkadang terjadi kepada golongan penderhaka dan ahli maksiat. Bukanlah maksud saya hendak meramal atau menelah, apatah lagi, saya sendiri masih perlu mengaji lebih banyak lagi ... Tapi, terdapat beberapa ceramah dan kuliah tafsir yang pernah saya dengar, menyebutkan hal ini, di mana, antara hikmah terjadinya keadaan (istidraj) sebegitu, ialah untuk menguji individu itu sendiri, sama ada akan insaf atau tidak di atas dosa dan maksiatnya. Ia juga akan menjadi ujian terhadap masyarakat atau bangsa tersebut untuk membuktikan ketulenan iman mereka. Justeru, di sinila nanti terserlahnya kebijaksanaan pentadbiran-Nya, di mana yang berdosa akan terbukti, kalaupun tak di dunia, di sana, sudah pasti ... Manakala bagi yang istiqamah, akan diganjari sesuai dengan tahap iman dan amal mereka. Oleh itu, terkadang kita akan mendengar kata-kata seperti "Si anu tu, tak beramal (bahasa si pemerhati), tak jadi apa pun?"; "Kata, tikam nombor ekor haram, rasuah haram, kaya lagi senang-lenang; tuk imam kat masjid tu, miskin ... Adilkah?" Oleh itu, hanya mereka yang benar-benar faham hakikat iman, Islam dan ihsan sebagaimana terdapat pada Hadith Jibril itu yang akan benar-benar menghayati peristiwa sebegini, manakala mereka yang terus berdegil, dikhuatiri akan terus digelapkan hatinya. Dengan itu, marilah kita bersama memohon perlindungan-Nya daripada terjerumus ke lembah alpa lagi kufur ingkar.

Apapun, hanya Allah yang lebih mengetahui, dan terima kasih.