Tengah hari tadi, saya telah meninggalkan sekolah lebih awal, iaitu kira-kira jam 12.30 tengah hari. Haluan saya ialah ke Bangunan Mirama yang terletak di Jalan Syed Putra. Tujuannya ialah untuk menghadiri satu mesyuarat salaku guru penasihat untuk Kelab Sejarah Dan Rukun Negara sekolah. Mengikut jadual yang tertera dalam surat panggilan, mesyuarat dijangka akan berlangsung di Japatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional. Berdasarkan jadual, mesyuarat akan bermula pada jam 2.00 petang. Hanya saya seorang sahaja yang ditugaskan untuk menghadiri mesyuarat tersebut dari sekolah saya.
Dari sekolah, saya telah menggunakan perkhidmatan teksi sahaja. Ini perkara biasa. Setelah teksi bergerak, saya pun memberitahu destinasi yang ingin saya tuju kepada pemandunya. Pemandu berkenaan memberitahu saya, beliau tidak begitu biasa dengan tempat tersebut. Oleh kerana saya sudah pun berada dalam teksinya dan teksi sudah pun meninggalkan perkarangan sekolah, lalu pemandu berkenaan mencadangkan agar saya turun sahaja di tempat yang mudah untuk mendapatkan teksi lain (menurut jangkaan beliau). Lalu pemandu teksi berkenaan pun membawa saya ke Setiawangsa. Di sini memang mudah untuk mendapatkan teksi. Namun begitu, tambangnya harus saya bayar juga iaitu RM 11.00.
Dengan bantuan orang awam, akhirnya saya dapat juga sebuah teksi lain. Setelah memberitahu destinasi yang ingin saya tuju, pemandunya bersetuju. Saya pun masuk dan duduk di kerusi di sebelah pemandunya. Saya bertanya lagi kepada pemandu teksi yang kedua ini mengenai destinasi yang ingin saya tuju, beliau dengan yakin memaklumkan yang dia memang tahu tempat berkenaan. Oleh kerana keyakinannya agak tinggi, maka saya pun tidak bertanya banyak. Kebetulan pemandu yang ini agak senyap orangnya.
Setelah beberapa ketika, akhirnya teksi yang saya naiki pun berhenti dan pemandunya pun memberitahu saya: “Sudah sampai encik”. Sebelum turun, saya pun membayar tambangnya RM 10. Setelah bayaran tambang dilunaskan teksi berkenaan pun terus meluncur laju. Oleh kerana pemandu teksi tadi yakin, maka saya pun yakin jugalah. Dengan sedikit kemahiran O&M yang saya miliki, akhirnya saya berjaya juga masuk ke dalam bangunan yang dikatakan Bangunan Mirama. Saya rasa agak pelik sedikit kerana suasananya macam suasana lobi sebuah hotel. Walau bagaimanapun, saya membuat kesipulan, agaknya Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional yang ingin saya tuju mungkin terletak dalam premis hotel sama macam Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur yang terletak dalam premis Hotel Grand Season. Begitulah agaknya.
Seorang wanita Cina menegur saya dalam bahasa Melayu yang cukup sopan: “Hendak ke mana, encik?” Saya menjawab: “Sya ingin menghadiri mesyuarat di Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional yang terletak di Bangunan Mirama.” Lalu wanita tadi memberitahu saya dengan berkata: “Maaf encik, ini bukan bangunan Mirama, ini Hotel Mirama. Jabatan yang encik beritahu pun tidak ada di sini.” Saya agak terkejut. Apatah lagi masa semakin suntuk.
Mungkin wanita tadi dapat mengesan riak kegelisahan pada wajah saya, lalu dia pun berkata lagi: “Tak apa, encik. Jangan risau. Saya akan bantu encik untuk dapatkan teksi lain.” Lalu beliau pun mengarahkan seorang kakitangan hotel berkenaan supaya membantu saya untuk mendapatkan teksi lain. Pesannya kepada kakitangan berkenaan wsupaya tunggu hingga saya naik teksi.
Setelah menanti seketika, akhirnya sebuah teksi berhenti. Setelah saya memberitahu pemandunya destinasi yang ingin saya tuju dengan jelas, pemandu berkenaan bersetuju untuk menghantar saya ke destinasi yang saya ingin tuju. Saya pun naik dan seperti biasa saya akan duduk di sebelah kiri pemandu. Pemandu yang ini rajin pula bercerita. Beliau merupakan pesara tentera. Beliau juga pernah berkhidmat di bahagian risikan tentera. Ada juga dua tiga pengalamannya yang diceritakan kepada saya. Sambil itu dia terus memandu teksinya. Setelah beberapa ketika, beliau pun memberhentikan teksinya dan memberitahu saya, sudah sampai. Setelah membayar RM 5.00, lalu saya pun turun. Saya memberitahu kepada seseorang yang kebetulan ada di situ bahawa saya ingin menghadiri satu mesyuarat di Bangunan Mirama. Orang tadi terus memberitahu saya, ini bukan Wisma Mirama, ini Wisma Pahlawan. Nasib saya agak baik kerana teksi yang saya naik tadi masih tidak berapa jauh. Orang tadi terus mengear teksi berkenaan, menahannya dan meminta pemandunya agar membawa saya ke destinasi yang betul. Saya rasa, mungkin pemandunya terlebih bercerita maka itulah saya masih gagal diberhentikan di destinasi yang betul.
Saya naik semula teksi tadi dan kali ini saya menunjukkan kepada pemandu berkenaan alamat destinasi yang ingin saya tuju sebagaimana yang tertera pada surat panggilan mesyuarat yang kebetulan ada bersama saya. Setelah melihat alamatnya, pemandu teksi tadi pun berkata, saya memang tahu temat ini. Maka saya pun berkata, silalah bawa saya ke tempat itu sekarang.
Kali ini pemandu teksi berkenaan kurang bercerita. Walaupun dia ingin membuka cerita baru, tapi kali ini saya tidak mahu melayannya. Saya Cuma bertanya, sudah sampai mana, encik? Setiap kali dia ingin bercerita lagi, saya ulangi lagi pertanyaan yang sama, sudah sampai mana, encik?
Akhirnya, sekitar jam 2.15 petang, barulah saya tiba di destinasi yang betul. Bila saya turun teksi, saya pun bertanya kepada seseorang yang ada di situ dan beliau mengesahkan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional di tingkat 1. Setelah sahih destinasinya barulah saya bayar tambangnya, RM 10.00.
Agak-agaknyalah, kalau dijumlahkan keseluruhannya, berapa jumlah tambang teksi yang telah saya bayar? Saya rasa, sekiranya teksi pertama tadi berupaya menghantar saya ke destinasi yang betul, kemungkinan besar saya tidak perlu membayar sebanyak itu. Saya juga tidak perlu berpindah ke teksi kedua dan ketiga. Saya juga dapat menjimatkan masa dan sekaligus akandapat tiba ke destinasi sebelum waktu bermesyuarat bermula. Apakan daya, sudah takdirnya begitu, saya akur sahalah.
Pengalaman sebegini adakalanya sudah menjadi lumrah. Kali ini saya lewat tiba di destinasi bukan sangat kerana kecacatan penglihatan saya, tapi ia lebih kepada kecuaian pemandu teksi yang saya naiki. Sesungguhnya pengalaman sebegini sudah menjadi asam garam kehidupan bagi mereka yang cacat penglihatan yang sering bergerak ke sana dan ke sini secara bersendirian. Bagi saya, jika kita menerima pengalaman sebegini secara positif, maka ia akan dapat menanam sifat sabar kepada diri kita.
Setelah mesyuarat tamat, Pn. Normalis, salah seorang pegawai yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)Keramat telah sudi dan bermurah hati menghantar saya hingga ke rumah. Kepada beliau, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan. Beliau pun tidak mengetahui bahawa saya terpaksa berteksi tiga kali sebelum sampai ke lokasi mesyuarat tadi.
Tujuan saya berkongsi pengalaman di atas bukanlah saya merasakan diri saya sudah bagus sangat. Mungkin orang lain ada cara tersendiri yang lebih baik jika hal serupa berlaku ke atas diri mereka. Jadi, apa yang baik itu kita sama-sama jadikan teladan. Apa yang kurang baik itu, kita sama-samalah membaikinya sehingga ia benar-benar baik.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment