Dilema Penjaja Tisu Cacat Penglihatan
(Tulisan ini telah dikemas kini pada jam 6 pagi, 4 Ogos).
Sejak sehari dua ini, isu mengenai penjaja tisu cacat penglihatan kena tangkap oleh pihak berkuasa nampaknya sedikit hangat. Di Kota Bharu, sepasang suami isteri cacat penglihatan telah diberkas oleh pihak berkuasa kerana dikatakan terlibat dengan aktiviti menjaja tisu yang turut dikategorikan sebagai kegiatan mengemis. Hal yang serupa juga berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan ia berlaku pada masa yang hampir sama. Agaknya ini yang dikatakan sebagai tindakan bersepadu? Apa yang menariknya, pihak yang berkenaan sempat juga melihat akaun pasangan yang sempat diberkas di Kota Bharu. Sebab itu jumlah simpanan pasangan tersebut tersebar ke seantero alam. Ramai yang tahu berapa simpanan si pengemis buta berkenaan. Walau bagaimanapun, gaji sebulan orang kabinet jauh lebih tinggi daripada jumlah simpanan tersebut?
Dalam isu penjaja tisu buta ini, saya sering tertanya sendirian. Mengapa golongan penjaja tisu buta ini sering dianggap sebagai pengemis? Mengapa penjual CD haram juga tidak dikategorikan sebagai pegemis juga? Adakah kerana CD lebih mahal harganya daripada tisu maka kegiatannya tidak dikategorikan sebagai pengemis? Adakah kerana yang terlibat dengan penjajaan tisu ini buta matanya maka mereka dengan mudah dikategorikan sebagai pengemis? Adakah kerana penjual CD haram ini celik matanya maka mereka tidak boleh dikategorikan sebagai pengemis? Pihak-pihak yang berkenaan tahu ke apa itu CD haram? Antara persamaan penjaja tisu dengan penjual CD haram ini ialah kedua-duanya akan beroperasi di tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, warung atau restoran. Setakat yang saya tahu, tidak ada istilah tisu haram. Maknanya tisu yang dijual itu halal. Jadi, mengapa yang haram itu terlepas tetapi yang halal itu diberkas?
Satu hal lagi, ada rakan-rakan memberitahu saya, adapun penjual tisu halal ini sering kena tangkap kerana mereka tak dapat lari ke mana pun bila diberkas oleh pihak yang berkuasa. Maklumlah buta, mana nak lari, apatah lagi kalau dia berada di persekitaran yang dia kurang biasa. Makin senanglah tugas pihak berkenaan. Manakala golongan penjual CD haram ini pula oleh kerana celik matanya maka mereka dengan mudah boleh lari bila cuba diberkas oleh pihak yang berkuasa. Makanya, hendak senang kerja, tangkap saja yang tak boleh lari, begitu ke? Lepas ni naiklah KPI???
Jadi, kepada para penjual tisu halal, lepas ini jangan jual tisu lagi. Jual pula CD haram??? Sebab penjual CD haram tidak dikategorikan sebagai pengemis. Anda tetap dikategorikan sebagai pengemis walaupun tisu yang anda jaja itu halal.
Kalau ditanya sendiri kepada golongan yang terlibat sebagai penjaja tisu yang cacat penglihatan, rata-rata mereka tidak mahu terlibat sebagai penjaja tisu. Apakan daya, kerana desakan hidup mereka terpaksa melakukannya. Setahu saya, golongan penjaja tisu ini bukannya mencuri tisu daripada mana-mana pasar raya untuk ijaja. Mereka juga tidak pernah memaksa orang lain untuk memberi wang kepada mereka. Semuanya atas sifat suka dan rela semata-mata.
Kalaulah seandainya golongan penjaja tisu ini bersetuju untuk memberhentikan kegiatan menjaja tisu, apakah alternatif dan jaminan untuk mereka hidup yang boleh diketengahkan buat mereka? Cukupkah RM 300.00 untuk mereka terus menyambung hidup selanjutnya? Sedangkan seorang rakan saya yang sudah hampir tertutup mata pencariannya sebagai pembuat bakul pun masih belum ada alternatif lain untukmenyambung hidup setakat ini. Apa akan terjadi jika operasi penjaja tisu ini dibanteras sepenuhnya? Memang benar, tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Pada masa yang sama, ia tidaklah sampai membawa maksud bahawa tangan yang menerima itu jatuh haram hukumnya???
Saya bukanlah bermaksud menggalakkan kegiatan pengemis, apatah lagi dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Namun begitu, dengan menangkap golongan penjaja tisu ini, adakah masalah berkenaan akan selesai?
Kepada rakan-rakan senasib, kita harus faham, memang sudah menjadi tabiat sebahagian orang Malaysia bahawa apa sahaja yang kita buat atau kita dapat, semuanya atas dasar simpati belaka. Semasa saya menuntut dahulu, bila ada penuntut cacat penglihatan dapat markah tinggi, mereka kata itu kerana simpati daripada para pensyarah. Bagaimana pula dengan penuntut cacat penglihatan yang pernah gagal dan ada yang sampai kena keluar dari universiti tanpa sebarang ijazah gara-gara tidak lulus? Mereka tahu ke semua itu? Bahkan saya turut pernah dengar ada orang yang berpenglihatan mengatakan, kalau tidak kerana simpati, orang buta pun tidak boleh jadi guru. Demikianlah sinisnya persepsi mereka terhadap kita.
Oleh itu, seeloknya kita janganlah mudah termakan dengan pelbagai istilah manis yang sering dikaitkan dengan orang seperti kita. Antar istilah manis yang saya maksudkan ialah golongan istimewalah, hati teranglah, .... Pegi dah. Itu semua istilah beracun!!!
Saya bukan emosional, sekadar menyembang sahaja.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment