Monday, August 13, 2012

Majlis Khatam Alquran Dan Iftar Ramadhan Di SMV Setapak



Petang tadi, saya berkesempatan untuk menghadiri iftar Ramadhan di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Setapak. Bagi murid atau bekas murid SMPK Setapak, mereka tentu tahu lokasi sekolah berkenaan. Jaraknya hanya sepelaung sahaja dari SMPK Setapak.



Majlis ini dihadiri oleh warga sekolah sama ada para gurunya, murid serta AJK PIBG. Manakala saya pula sekadar menumpang kapasiti selaku suami kepada salah seorang warganya sahaja.



Majlis ini telah dimulakan dengan solat asar secara berjemaah. Ia diteruskan lagi dengan khatam Alquran secara beramai-ramai. Untuk ini, seorang peserta akan ditugaskan untuk membaca satu juzuk Alquran. Kalau tak silap saya, seramai 60 peserta yang terlibat dengan khatam Alquran ini. Ini bermakna secara serentaknya, khatam Alquran kali ini telah dapat dilaksanakan sebanyak dua kali.

Bagus dan menarik juga cara ini. Mungkin PERTIS boleh memikirkan untuk melaksanakannya pada masa-masa yang akan datang. Ini untungnya kalau dapat peluang menghadiri majlis orang lain. Idea dan pengalaman bermanfaat seumpama ini yang dapat dikutip untuk dipraktikkan di tempat lain pula.



Majlis khatam Alquran telah berlangsung di surau sekolah. Suraunya besar juga. Saya dimaklumkan ia boleh memuatkan hampir 500 jemaah pada satu-satu masa. Manakala Ustaz Abdul Rani, salah seorang guru di SMV Setapak, pula telah memimpin majlis khatam Alquran berkenaan.





Setelah selesai majlis khatam Alquran, kami bergerak pula di dewan makan sekolah. Di sini majlis iftar (berbuka puasa) ula diadakan. Tetamu kehormat dalam majlis ini ialah Tuan Haji Zakaria Mohd Nor, salah seorang timbalan pengarah diBahagian Pendidikan Teknik Dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pelajaran Malaysia.



Antara pengisian lain majlis kali ini termasuklah solat maghrib dan isya berjemaah serta solat sunat tarawih.

Kalau beberapa hari sebelum ini isteri saya menyertai saya untuk majlis iftar di SMPK Setapak, kini tiba pula giliran saya untuk menyertai beliau pula dalam majlis yang sama di tempat beliau bertugas.












Semoga majlis ini diberkati Allah hendaknya.

No comments: