Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada beberapa orang rakan yang sentiasa membantu saya untuk mengemas kini pengetahuan serta maklumat mengenai perkembangan yang sedang melanda Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) masa kini. Mereka yang sentiasa memberikan malumat berkaitan memang tahu bahawa saya masih belum mempunyai akaun facebook. Mereka juga tahu saya masih lagi belum menjadi ahli Cyber Club MAB. Sedangkan menerusi saluran kedua-duanya, kita akan dapat mengikuti perkembangan lebih terkini lagi. Namun begitu, ada rakan-rakan yang sudi untuk forward maklumat dan perkembangan terkini yang disebarkan menerusi kedua-dua saluran tadi kepada saya.
Selain itu, ada juga kakitangan MAB sendiri yang telah menghubungi saya dan bercerita serta sedikit apa yang sedang berlaku. Saya amat faham, anda semua sudi untuk bekerjasama dengan saya kerana kita mempunyai satu hasrat dan niat, iaitu ingin melihat martabat golongan cacat penglihatan sentiasa diangkat secara bertanggungjawab. Kita tidak mahu melihat ada pihak-pihak tertentu yang kononnya ingin mengangkat martabat golongan cacat penglihatan, tetapi apa yang dilakukan sebenarnya adalah sebaliknya. Kepada rakan-rakan berkenaan, sekali lagi setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan dan apa yang kalian lakukan amat saya hargai.
Sejak tulisan saya yang bertajuk “MAB: Keluhan Yang Mula Kedengaran” dipaparkan menerusi blog ini, saya telah menerima beberapa info terkini mengenai perkara-perkara yang telah menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan terhadap MAB. Antara dokumen penting yang telah diberikan kepada saya termasuklah surat yang bertajuk “Letter Of Demand” yang ditujukan kepada Presiden MAB oleh sekumpulan orang cacat penglihatan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Voice Of The Blind. Setelah meneliti kandungan surat berkenaan, maka saya kini semakin memahami perkara-perkara yang telah menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan terhadap MAB.
Namun demikian dan buat masa ini, saya masih belum berhasrat untuk mengenengahkan menerusi blog ini perkara-perkara yang telah menimbulkan rasa kurang puas hati tersebut. Walau bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan dalam masa yang terdekat perkara-perkara tersebut akan diketengahkan juga menerusi blog ini. Ia amat bergantung kepada perkembangan mutakhir mengenai isu-isu yang sedang berbangkit.
Apa yang ingin saya tegaskan dalam tulisan kali ini ialah, beberapa isu yang sedang melanda MAB hari ini bukan bermula semalam atau minggu lepas. Ia mungkin telah pun bermula sejak beberapa bulan yang lalu. Bahkan seorang kakitangan MAB memberitahu saya ada antara isu tersebut telah pun mula menjadi hangat sejak tahun lepas lagi. Namun demikian, isu yang sepatutnya dapat diselesaikan secara anak-beranak gagal diselesaikan secara demikian kerana pihak pengurusan tertinggi MAB tidak mahu mendengar pendapat dan pandangan golongan cacat penglihatan. Jatuhkah martabat si celik yang terdiri ahli Council MAB jika mereka mendengar keluhan golongan buta?
Dalam hal ini, pihak pengurusan tertinggi MAB harus sedar, walaupun sebahagian besar orang buta di Malaysia bukan ahli MAB dan mereka sekadar pengguna perkhidmatan yang disediakan oleh MAB, tetapi keluhan, pandangan, pendapat serta saranan golongan berkenaan sama sekali tidak boleh diketepikan dengan begitu sahaja. Lagi pun, pihak MAB juga harus sedar, selama ini MAB mengutip derma dengan pelbagai kaedah serta mendapat geran itu dan geran ini adalah atas nama masyarakat orang buta. Saya yakin, kalaulah tidak kerana ada nama masyarakat orang buta, masyarakat umum tidak akan menyumbang kepada MAB. MAB harus belajar mendengar keluhan orang buta!
Sebagai salah seorang yang cacat penglihatan, saya juga tidak boleh menerima alasan kononnya pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan meletak kenderaan MAB adalah dengan tujuan untuk mencantikkan pemandangan. Saya bukan menolak usaha ke arah itu, tetapi wang yang begitu besar tidak perlu dibelanjakan hanya semata-mata untuk tujuan tersebut. Bila pemandangan di kawasan berkenaan sudah cantik nanti, siapakah yang akan mendapat manfaatnya, si buta macam saya atau Pengarah Eksekutif dan para ahli Council MAB yang celik matanya?
Alasan yang mengatakan bahawa bila pemandangan di kawasan berkenaan sudah dicantikkan maka ia akan mendapat perhatian dan pujian daripada orang luar juga sama sekali tidak boleh diterima. Siapa orang luar tersebut, si butakah? Selama ini MAB kutip derma untuk menjaga kebajikan dan untuk memberi perkhidmatan kepada orang buta atau kepada orang luar? Susah sangat ke untuk mendengar keluhan orang buta?
Di samping itu, beberapa perubahan dalaman yang mula dilaksanakan juga kurang memberi manfaat kepada masyarakat buta di negara kita. Patutkah, sebagai contoh, kakitangan yang sudah sekitar 30 tahun bertugas di bahagian yang mengkhusus untuk mencari pekerjaan kepada orang buta, tiba-tiba ditukarkan ke bahagian perpustakaan? Perubahan sebegini bukan sahaja akan menyebabkan kemungkinan prestasi kakitangan berkenaan akan terjejas, bahkan tugas dan tanggungjawabnya selama ini juga akan tergugat. Tidakkah pihak pengurusan tertinggi MAB sedar bahawa tugas untuk meyakinkan bakal majikan terhadap kemampuan serta kebolehan orang buta dalam pekerjaan satu tugas yang amat sulit dan sangat rumit? Bukan semua orang boleh melaksanakannya dengan baik dan berkesan. Hanya kakitangan yang cukup pengetahuan dan berpengalaman luas sahaja yang boleh melaksanakan tugas tersebut dengan cekap. Ini baru satu contoh yang saya ketengahkan.
Saya juga turut merasa hairan, apabila berlaku kekosongan untuk jawatan Pengarah Eksekutif, mengapa jawatan berkenaan tidak diisi oleh kakitangan MAB sendiri? Mengapa jawatan tersebut diberikan kepada orang luar yang mana pada hemat saya pengetahuan dan pengalamannya mengenai orang buta masih lagi di tahap
zero? Sedangkan pada telekan saya, MAB tidak kurang mempunyai kakitangan yang penuh pengalaman dan pengetahuan mengenai orang buta dan mereka sebenarnya cukup berkelayakan untuk mengisi jawatan pengarah eksekutif. Pada hemat saya, terdapat sebahagian kakitangan di MAB yang sudah pun berkhidmat berpuluh tahun lamanya. Kalau pun pihak pengurusan tertinggi MAB tidak sudi memberi peluang kepada kaitangan MAB yang buta menjawat jawatan pengarah eksekutif, tak mengapalah, berikanlah jawatan tersebut kepada yang celik asalkan berkelayakan. Walaupun mereka ini celik matanya, tetapi mereka sudah cukup masak dengan keperluan, kehendak serta naluri orang buta. Adakah dalam kalangan mereka ini tidak ada seorang pun yang dirasakan layak untuk mengisi jawatan pengarah eksekutif ketika jawatan tersebut kosong sedikit masa lalu? Saya penuh yakin, walaupun tiada seorang pun kakitangan yang sedang berkhidmat di MAB kini yang menyandang gelaran itu dan gelaran ini, ia tidak bermakna mereka tidak cukup kelayakan untuk mengisi jawatan sebagai pengarah eksekutif. Dalam hal ini, adakah pihak pengurusan tertinggi MAB mengamalkan sikap
kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kelaparan?
Untuk maklumat bersama, antara pengasas penting MAB pada tahun 1951 ialah D.R. Bridges. Beliau merupakan seorang yang cacat penglihatannya. Itu cerita 61 tahun lalu. Hari ini, setelah 61 tahun kemudian, rasanya untuk orang buta menjawat jawatan pengarah eksekutif di MAB masih lagi tak ubah umpama jauh panggang dari api. Demikianlah jauh bezanya persepsi terhadap orang buta antara Eropah dengan Malaysia yang tercinta ini!
Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini, MAB sama sekali tidak boleh lari daripada fungsi asalnya iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan serta kebajikan masyarakat cacat penglihatan di negara ini. Justeru, MAB sama sekali tidak boleh ditadbir sebagaimana kita mentadbir sebuah entiti korporat. Bila usaha mencantikkan kawasan dan perkarangan MAB dilakukan secara berlebih-lebihan, maknanya MAB sudah ada banyak wang. Bila MAB sudah ada banyak duit, buat apa hendak minta derma lagi kepada orang ramai? Untuk apa lagi orang ramai dan pihak berkuasa memberi derma dan geran kepada MAB?
Saya hairan dengan sikap pengurusan tertinggi MAB kerana setelah usia MAB hampir menjangkau 61 tahun, mereka masih gagal memahami keperluan, kehendak serta naluri golongan cacat penglihatan di negara kita. Kita tidak menghalang sebarang perubahan yang hendak dilaksanakan asalkan ia bermanfaat kepada orang buta. Walau bagaimanapun, tidak semua perubahan atau pembangunan yang ingin dilaksanakan itu sesuai untuk masyarakat yang cacat penglihatannya. Dengan erti kata lain, walaupun sesuatu perubahan atau pembangunan itu nampak cantik kepada mereka yang berpenglihatan, ia tidak semestinya molek dan baik kepada golongan berkenaan. Perkara inilah yang gagal difahami oleh mereka yang berpenglihatan di negara kita.
Salam dari Jasin.
No comments:
Post a Comment