Sekitar dua jam yang lalu, saya mendapat maklumat kononnya pada hari Rabu ini (29 Ogos 2012), satu pertemuan di antara pihak pengurusan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) dengan komuniti cacat penglihatan akan diadakan. Menurut maklumat berkenaan, peertemuan berkenaan akan berlangsung di Dewan Datuk Dr. Ismail Salleh, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Menurut maklumat itu lagi, pertemuan berkenaan akan berlangsung pada jam 11.00 pagi.
Setelah mendapat maklumat berkenaan, saya cuba hubungi talian maklumat MAB di nombor 03-22722687 dan menekan butang yang perlu sebagaimana arahan bersuara yang dapat didengar. Namun demikian, saya agak kecewa kerana tarikh info sama ada yang berbahasa Melayu mahupun yang berbahasa Inggeris hanya bertarikh 17 Ogos 2012. Ini bermakna, tiada info terkini lagi. Ia juga bermakna, maklumat yang baru saya perolehi tadi tidak dapat disemak kesahihannya menerusi talian info MAB.
Berdasarkan maklumat yang saya perolehi petang tadi, antara tujuan pertemuan itu nanti ialah untuk memberikan penerangan kepada komuniti cacat penglihatan mengenai beberapa isu yang sedang berbangkit masa kini khususnya yang melibatkan MAB. Menurut sumber itu lagi, mereka yang hadir boleh mengemukakan apa sahaja soalan dan ia akan diberikan penjelasan oleh pihak pengurusan MAB.
Kebetulan pula, pada masa kini MAB dikatakan sedang dilanda beberapa isu yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan. Konon khabarnya perkara-perkara yang terkandung dalam surat yang telah dikemukakan oleh sekumpulan orang cacat penglihatan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Voice Of The Blind merupakan sebahagian daripada permasalahan yang dimaksudkan. Ada ke lagi masalah yang lain?
Benarkah pertemuan sebagaimana di atas akan dilangsungkan di tempat dan pada tarikh sebagaimana yang dinyatakan? Jika benar, mengapa pertemuan yang penting ini diadakan pada masa yang kurang sesuai? Mengapa tarikh dan waktu pertemuan tidak dibuat pada waktu yang lebih sesuai supaya lebih ramai komuniti cacat penglihatan boleh hadir? Seperkara lagi, jika benar pertemuan di atas akan diadakan pada tarikh dan masa sebagaimana yang tersebut, mengapa notis pemberitahuan mengenainya dihebahkan terlalu singkat? Mengapa notis pemberitahuan mengenainya tidak dikemas kini menerusi talian info MAB sendiri? Dengan erti kata lain, mengapa notis pemberitahuan mengenai pertemuan berkenaan tidak dihebahkan dengan seluas-luasnya? Sejak bila pengurusan MAB mula pandai main sorok-sorok seperti ini?
Biar apa pun berita dan ceritanya, saya amat berharap agar berita di atas masih lagi bersifat tidak sahih. Saya amat berharap agar berita di atas hanya sekadar khabar angin yang telah bertiup secara tidak sengaja semata-mata. Sekiranya berita berkenaan sahih sifatnya, ia pasti akan mengecewakan ramai orang yang cacat penglihatannya. Sebaliknya jika berita berkenaan tidak sahih, ia pasti akan melegakan ramai orang.
Fungsi badan-badan seperti MAB adalah untuk memberi perkhidmatan dan menjaga kebajikan masyarakat orang buta di negara ini dan bukannya menggunakan nama orang buta hanya untuk mengumpul wang hingga berjuta-juta.
2 comments:
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Terlebih dahulu, saya ucapkan selamat Aidil Fitri, maaf zahir dan batin kepada saudara sekeluarga. Semoga kalian terus sejahtera di bawah naungan rahmat dan kasih-Nya, insha Allah.
Sedikit perkongsian mengenai TeleInfo MAB ini: Sepanjang pengalaman saya, pengemaskinian maklumatnya memang tak "constant" waktunya; malah, terkadang, walaupun jarang berlaku, maklumat yang disalurkan di antara setiap bahasa juga tidak selari tarikhnya. Gejala ini pernah saya alami ketika menghubungi talian itu beberapa bulan yang lalu.
Ya, benar sekali akan artikel-artikel saudara ini. Sekadar perkongsian pandangan, rasanya, daripada mereka sibuk dengan projek mega sebegitu, bukankah lebih baik mereka menumpukan tumpuan ke arah peningkatan kualiti perkhidmatan kepada kita sebagai pengguna? Bayangkan, kalau kompleks persatuan nan mega sebegitu, boleh timbul masalah bekalan air pada waktu puncak, sesetengah infrastruktur bangunannya yang juga bagaikan tidak terurus (seperti kedha'ifan pada bangunan surau), kualiti percetakan dan rakaman yang tidak memuaskan dan kecuaian menanangi permasalahan meletak kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya seperti di atas "track" menyebabkan kita mungkin terlanggar dan sebagainya, masih tergamakkah lagi mereka memperjudi nasib kita demi "survival" kocek sendiri? Justeru, bersamalah kita warga OKU penglihatan ini bersatu menyokong kebaikan dan menentang segala macam keburukan. Tentu sekali kita tidak menghalang apa juga kemajuan yang mereka rancang, tetapi, biarlah kita turut bersama beroleh manfaatnya, kan?
Terima kasih.
Assalam,
Download rakaman dialog yang telah diadakan di Kompleks MAB semalam di http://www.sendspace.com/file/1yrqh1
Dengarlah rintihan mereka. Bantuan & sokongan kita mungkin dapat mengurangkan beban zahir & batin mereka, insya allah.
Post a Comment