Pada tahun ini, tibalah giliran kami sekeluarga berhari raya di kampung halaman saya di Melaka. Beginilah saya dan isteri akan membuat giliran setiap tahun untuk menyambut hari raya pertama. Setiap pasangan suami isteri tentunya ada formula dan kaedah tersendiri di mana dan bagaimana untuk menyambut perayaan aidil fitri terutamanya pada hari raya yang pertama. Bagi pasangan yang berasal dari kampung atau daerah yang sama mungkin ia bukanlah satu masalah yang besar. Walau bagaimanapun, bagi pasangan suami isteri yang berasal dari daerah atau negeri yang berbeza, formula dan kaedah yang adil dan sesuai amat dituntut agar tiada mana-mana pihak tidak merasa puas hati, berkecil hati, sugul dan sebagainya. Maklumlah hari raya merupakan hari untuk kita bergembira bukan untuk hari kita terasa hati antara sesama kita. Demikianlah.
Bagi kebanyakan orang, hari terakhir berpuasa merupakan antara hari yang paling sibuk. Pada hari tersebutlah beberapa ahli keluarga saya yang jauh akan tiba di kampung untuk berhari raya. Kebetulan saya sekeluarga telah pun tiba di kampung sehari sebelumnya, iaitu pada Jumaat 17 Ogos.
Kelazimannya, rumah kedua ibu bapa saya di kampung akan menjadi tumpuan seluruh sanak saudara untuk berhimpun pada hari raya sebegini kerana kebetulan ibu saya merupakan saudara yang paling tua yang masih ada setelah kedua datuk dan nenek kami kembali ke rahmatullah. Oleh yang demikian, ibu-ibu saudara saya dari sebelah ibu saya yang masi ada akan kembali ke rumah ibu saya untuk berhari raya. Kesemua bapa saudara saya di sebelah ibu saya telah pun kembali ke rahmatullah.
Apabila ibu-ibu saudara saya sudah bermenantu dan bercucu dan bila menjelangnya hari raya seperti ini, anak, menantu dan cucu-cucu mereka juga turut kembali ke rumah ibu bapa saya di kampung. Maka makin meriah dan makin gamatlah persekitaran rumah dibuatnya. Maklumlah masing-masing dengan kelakuan dan telatah masing-masing.
Selain daripada menerima kehadiran sanak keluarga, hari terakhir berpuasa juga merupakan hari yang paling sibuk untuk menyediakan pelbagai juadah untuk menyambut hari raya keesokan harinya. Ketupat dan rendang merupakan antara juadah yang tidak boleh ditinggalkan. Selain itu, sup daging juga tidak ketinggalan. Ia irebus sendiri oleh ayah saya. Itulah keistimewaan ayah saya. Walau pun usianya sudah mencecah 80 tahun, dia masih mampu untuk merebus sup tulang yang sungguh istimewa dan berperisa.
Untuk perayaan kali ini, kami sekeluarga telah menyediakan sekitar 15 kg daging, 35 kg ayam serta ketupat melebihi 100 biji. Itu tidak dikira dengan sup tulang 3 peha, laksa buah tangan salah seorang ibu saudara saya serta lemang beberapa batang. Setakat yang saya maklum, tiada pembaziran kerana ia cukup untuk menampung kami sekeluarga besar dan ditambah pula dengan persediaan untuk para tetamu yang datang berkunjung.
Menjelang berbuka puasa pada akhir terakhir berpuasa, kami sekeluarga telah mengadakan tahlil. Ia merupakan acara tahunan kami sekeluarga. Selain untuk manfaat pada yang hidup, ia juga tanda ingat kami kepada ahli keluarga yang telah lebih dahulu menyahut seruan Ilahi.
Pada sebelah malam hari raya, tradisi bertakbir dari rumah ke rumah berlangsung. Ini merupakan satu lagi tradisi yang masih hidup di kampung saya. Oleh kerana banyak rumah yang meminta supaya diadakan takbir di umah masing-masing, maka kumpulan takbir terpaksa dibahagi dua. Jika tidak, entah jam berapa pula ia akan dapat ditamatkan. Saya sendiri tidak menyertai kumpulan takbir berkenaan. Sekadar tinggal di rumah sahaja menanti kumpulan takbir tiba.
Pada pagi hari raya pertama, setelah semuanya bersiap dengan pakaian baru dan selepas menjamah sedikit makanan, kami sekeluarga pun bergerak ke masjid yang letaknya sekitar 1.6 km dari rumah kami. Tujuannya ialah untuk mengerjakan solat sunat aidil fitri bersama-sama jemaah yang lain. Isi khutbahnya ialah tentunya mengenai hari raya aidil fitri. Ia termasuklah adab ketika menyambut hari raya, perkara-perkara yang dilarang dilakukan ketika berhari raya dan sebagainya.
Setelah kembali dari masjid, ada antara ahli keluarga yang terus ke kawasan perkuburan. Ini termasuklah ibu serta beberapa orang adik saya. Tujuannya ialah untuk menziarahi pusara ahli keluarga yang tersayang tanda ingat kami kepada yang telah tiada. Saya pula terus kembali ke rumah sahaja.
Selepas semuanya kembali ke rumah semula, kami pun mula bersalam-salaman antara sesama ahli keluarga. Yang muda mendapatkan yang tua, tangan dan pipi mereka dicium sambil mengucapkan selamat hari raya serta maaf zahir dan batin sambil memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang dilakukan sama ada sengaja ataupun tidak dalam tempoh setahun lalu. Manakala yang kanak-kanak pula setia menanti ang pau hijau daripada yang sudah berpendapatan.
Pada masa dahulu, wang raya diberi begitu sahaja tanpa diletakkan dalam sampul. Namun demikian, dengan adanya pertukaran budaya, kita mula mengikut cara orang Cina memberi wang raya iaitu dalam bentuk ang pau. Hanya warna sampulnya sahaja yang berbeza. Kalau ang pau orang cina sewaktu tahun baru Cina berwarna merah (kalau saya tidak silap), tetapi sewaktu hari raya aidil fitri warna sampulnya pula pelbagai, kebiasaannya ia berwarna hijau. Demikianlah.
Setelah itu, kami pun bergerak meninggalkan rumah untuk menziarahi keluarga terdekat. Kalau tak silap saya, sekitar 5 – 6 buah kenderaan berkonvoi. Kesemuanya ahli keluarga saya belaka. Destinasi kami ang pertama ialah kawasan perkuburan yang letaknya sekitar 25 km dari rumah saya. Di sinilah terhimpunnya kebanyakan pusara ahli keluarga dari sebelah ibu saya. Ini termasuklah pusara arwah kedua datuk dan nenek kami dari sebelah ibu saya. Kawasan perkuburan ini letaknya hanya beberapa km sahaja dari bandar Jasin.
Setelah itu kami pun bergerak pula ke rumah tinggalan kedua datuk dan nenek saya dari sebelah ibu. Rumah ini kini dihuni oleh salah seorang ibu saudara saya bersama keluarganya.
Kami turut menziarahi beberapa rumah lagi. Salah sebuah rumah yang sempat kami ziarah ialah rumah satu-satunya nenek saudara kami yang masih ada. Sudah tentulah saya merupakan antara cucu tuanya yang paling beliau ingat. Maklumlah saya adalah cucunya yang lain dari yang lain.
Bagi golongan berusia seperti saya, setiap rumah yang kami kunjungi yang lebih penting ialah bertanya khabar serta bertukar-tukar berita dan cerita selain bermaafan ntara satu sama lain. Manakala bagi golongan kanak-kanak pula tentulah juadah dan ang pau menjadi keutamaan. Begitulah agaknya.
Sekitar jam 5.30 petang, saya sudah kembali semula ke rumah. Oleh kerana badan keletihan, maka di sebelah malamnya saya hanya di rumah sahaja. Ada juga antara adik-beradik saya yang lain yang meneruskan kunjung ziarah mereka ke rumah sanak saudara pada sebelah malamnya, tetapi saya sekadar di rumah sahaja. Oleh kerana agak keletihan, email pun tak sempat ditinjau.
Pada hari raya kedua pula, saya dan kebanyakan ahli keluarga yang lain sekadar di rumah sahaja. Kali ini giliran kami ula yang menanti kehadiran tetamu. Ternyata kunjungan sanak saudara ke rumah kami tak kunjung putus, bermula dari pagi sehingga sekitar jam 10.00 malam.
Sesungguhnya pertemuan tempoh hari amat bermanfaat khasnya untuk saya sendiri. Ada di antara saudara-mara saya yang jarang-jarang sekali bertemu. Kalau bukan kerana adanya majlis perayaan seperti ini mungkin kami tiada kesempatan langsung untuk bertemu.
Mudah-mudahan coretan yang tidak seberapa ini akan jadi buah tangan khususnya kepada murid-murid saya untuk menghasilkan karangan yang serupa jika tajuk karangannya sama. Jangan meniru sudahlah.
Salam dari Kuantan.
No comments:
Post a Comment