Thursday, August 9, 2012

Hampir Terkena Lagi

Sejak tengah hari tadi, saya telah menerima panggilan telefon daripada salah seorang pegawai yang bertugas di pejabat orang besar negara di Putrajaya. Pegawai berkenaan memaklumkan bahawa saya selaku Yang Di-Pertua dan beberapa orang ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia dijemput untuk menghadiri majlis khatam Alquran dan berbuka puasa di rumah besar orang besar di Putrajaya. Pada dasarnya saya bersetuju untuk menerima jemputan berkenaan. Maklumlah Walaupun PERTIS hanyalah sebuah organisasi yang masih berstatus ikan bilis, ia sudah mula dikenali oleh orang besar yang bermastautin di Putrajaya. Kalau pun bukan tuan badan orang besar berkenaan yang betul-betul kenal dengan PERTIS, cukuplah setakat ini bila PERTIS sudah mula dikenali oleh para pegawai orang besar berkenaan.

Walau bagaimanapun, kemysykilan di hati saya mula timbul bilamana saya dimaklumkan bahawa antara acara dalam majlis itu nanti ialah penyerahan naskah Alquran Braille kepada PERTIS. Buat apa mereka hendak serahkan Alquran Braille kepada PERTIS, sedangkan PERTIS sendiri adalah pengeluar dan pencetak Alquran Braille? Persoalan yang lebih besar ialah, dari mana pihak-pihak yang berkenaan memperoleh Alquran Braille berkenaan yang seterusnya akan diserahkan kepada ahli-ahli PERTIS? Saya juga turut difahamkan bahawa pihak-pihak yang berkenaan ada lebih kurang 120 naskah Alquran Braille yang akan diserahkan untuk kegunaan ahli-ahliPERTIS. Banyaknya! Dari mana Alquran Braille itu mereka perolehi?

Bertitik tolak daripada pelbagai kemusykilan di atas, maka saya telah menghubungi semula pegawai khas berkenaan. Setelah mendapat penerangan terperinci, barulah saya faham. Rupa-rupanya naskah-naskah Alquran Braille berkenaan telah mereka perolehi daripada ******************** iaitu pihak yang telah mencuri soft copy Alquran Braille daripada simpanan PERTIS suatu ketika dahulu.

Pegawai khas berkenaan memberitahu saya bahawa kesalahan yang terdapat dalam Alquran Braille berkenaan telah pun dibaiki. Betul ke begitu? Pihak yang berkenaan benar-benar pasti ke di mana salahnya, apa kesalahannya dan berapa jumlah keseluruhan kesalahannya? Saya dengan tegas memberitahu kepada pegawai khas berkenaan bahawa PERTIS dan para ahlinya tidak memerlukan jenis Alquran Braille yang sedemikian. Seterusnya saya juga tegaskan, sekiranya jenis Alquran Braille yang berkenaan terlibat, maka saya dan PERTIS sama sekali tidak akan menghadirinya.

Sudah tentulah sikap tegas saya ini menimbulkan peertanyaan dan kemusykilan kepada pegawai khas tadi. Manakan tidak, orang hendak beri bantuan tetapi saya menolaknya. Walau bagaimanapun, bukanlah menjadi tabiat saya untuk “menelanjangkan” mana-mana individu, apatah bersempena dengan bulan Ramadhan ini. Saya sekadar memberitahu pegawai khas berkenaan, jika naskah Alquran Braille berkenaan yang akan disumbangkan, pastilah saya dan PERTIS tidak akan menghadirinya.

Walau bagaimanapun, sehingga jam 6.21petang, pegawai khas berkenaan masih menghubungi saya dan bersungguh-sungguh benar nampaknya dia memujuk saya supaya hadir juga ke majlis berkenaan dan seterusnya terlibat dengan acara penyampaian bantuan naskah Alquran Braille berkenaan. Pada masa yang sama, saya tetap bertegas, selagi naskah Aquran Braille yang itu yang akan disumbangkan, demi Allah saya tidak akan menghadirinya. Sudah tentulah peristiwa yang berlaku pada 14 April 2012 (Sabtu) di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, masih segar dalam ingatan dan kenangan pahit saya. Apakah saya ingin pisang berbuah untuk kali keduanya?

Pada masa yang sama juga, saya tidak mahu mengecilkan hati mana-mana pihak yang tidak terlibat dan masih tidak tahu apa-apa lagi mengenai hal ini. Pegawai khas berkenaan berjanji akan mencari formla terbaik supaya saya dan jemputan daripada PERTIS akan dapat hadir juga ke majlis berkenaan yang dijangka akan diadakan pada petang Ahad ini.

Sama-samalah kita tunggu esok.

No comments: