Saturday, August 4, 2012

Majlis Iftar Ramadhan Di SMPK Setapak

Petang tadi, saya sekeluarga berkesempatan untuk menghadiri majlis iftar (beruka puasa) bersempena bulan Ramadhan di SMPK Setapak. Majlis telah diadakan di dalam kawasan sekolah. Apa yang istimewanya, majlis ini telah ditaja oleh Koperasi Celcom Bhd. Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Koperasi Celcom Bhd menaja majlis iftar Ramadhan di SMPK Setapak.



Majlis ini turut melibatkan seluruh murid SMPK Setapak. Selain itu, warga sekolah yang lain seperti para guru serta kakitangan sokongan dan ahli keluarga masing-masing turut sama memeriahkan majlis berkenaan. Tuan Pengetua, En. Jalaluddin Yusof juga tidak ketinggalan hadir sama dalam majlis tersebut.



Sementara itu, En. Mohd Mudasir Abdullah selaku Pengerusi Koperasi Celcom Bhd, ahli lembaga pengarah koperasi serta beberapa orang kakitangan koperasi turut sama hadir bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan.





Antara pengisian majlis termasuklah ceramah bersempena Ramadhan yang berlangsung sebelum waktu berbuka, solat maghrib, solat isya serta solat sunat tarawih secara berjemaah. Jamuan berbuka dan moreh turut disediakan oleh pihak penaja.



Secara keseluruhannya, jumlah kehadiran cukup memberangsangkan. Pada hemat saya, penganjuran majlis berbuka puasa pada tahun ini lebih baik jika dibandingkan pada tahun lepas. Ini diakui sendiri oleh En. Mohd Mudasir, Pengerusi Koperasi Celcom Bhd.



Kepada pihak Koperasi Celcom Bhd, saya secara peribadi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana sudi menaja majlis seumpama ini untuk kali kedua berturut-turut. Menurut En. Mudasir, jika segalanya berjalan baik, insha-Allah pada tahun hadapan aktiviti yang baik sebegini akan diteruskan. Selain itu, saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn Junaida, salah seorang kakitangan Koperasi Celcom Bhd yang berusaha keras bagi memastian majlis iftar hari ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Selain itu, saya juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada En. Kamri Kamaruddin kerana beliau sebenarnya orang yang telah membuka jalan untuk Koperasi Celcom menaja majlis iftar hari ini. Hal yang serupa juga telah beliau lakukan pada tahun lepas. Namun demikian, sepertimana pada tahun lepas, dalam majlis iftar tadi En. Kamri tidak hadir.



Kepada seluruh warga Koperasi Celcom Bhd dan tidak ketinggalan En. Kamri, kami sentiasa berdoa semoga kebaikan yang kalian lakukan akan mendapat balasan yang sebaiknya daripada Allah dunia dan akhirat, aamiin.

No comments: