Sedar tak sedar, sekali lagi kita sudah berada di penghujung Ramadhan untuk ke sekian kalinya. Sebagaimana biasa juga, di penghujung Ramadhan kali ini, ia tidak pernah berjanji untuk bertemu lagi dengan kita pada tahun berikutnya. Demikianlah apa yang berlaku acap kali bila kita berpisah dengan Ramadhan setiap tahun. Dengan itu, berbahagialah orang yang benar-benar telah memanfaatkan kehadiran Ramadhan kali ini. Orang yang paling beruntung ialah mereka yang telah beroleh malam alqadar, iaitu satu malam dalam bulan Ramadhan yang mana ia adalah lebih baik daripada seribu bulan jika melaksanakan amal ibadat pada malam berkenaan. Demikianlah apa yang telah dijanjikan olehAllah di dalam kitab-Nya.
Saya suka mengingatkan pada diri saya dan juga kepada mereka yang suka akan peringatan agar sebolehnya marilah sama-sama kita teruskan apa yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan. Antaranya seperti membaca Alquran pada setiap hari, solat sunat pada hujung malam, bersedekah dan sebagainya. Marilah kita sama-sama melaksanakannya secara istiqamah (berterusan). Mudah-mudahan sedikit sebanyak kita akan berada dalam keredhaann Ilahi hendaknya.
Kata Luqman (anak tunggal kesayangan kami), dalam proses Ramadhan meninggalkan kita, ada tiga proses yang akan berlaku, iaitu:
1. Hari kedua terakhir Ramadhan di mana bulan berkenaan bersiap-siap untuk meninggalkan kita;
2. Pada hari terakhir Ramadhan di mana bulan tersebut secara perlahan-lahan meninggalkan kita;
3. Pada hari pertama Syawal di mana Ramadhan sudah pun tiada.
Mungkin dia belajar di sekolahnya agaknya.
Apa yang termampu kita lakukan ialah dengan hanya berdoa, memohon, meminta dan merayu kepada Allah agar Dia memberikan kesempatan lagi kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan yang berikutnya. Jika ada ihsan dan kasihan belas daripada Allah, maka akan makbullah permintaan kita itu. Jika tidak, maka ketahuilah bahawa inilah Ramadhan terakhir buat kita. Saya bukan bertujuan untuk menakutkan tetapi sekadar mengingatkan kepada diri sendiri dan juga kepada mereka yang gemar akan peringatan. Demikianlah.
Salam dari Jasin.
No comments:
Post a Comment