Sekitar jam 9.21 malam sebentar tadi, saya menerima email daripada salah seorang rakan sejawat. Antara lain, kandungan email beliau ialah memaklumkan perkembangan terkini mengenai berita kononnya pertemuan yang bakal diadakan di antara pihak pengurusan tertinggi Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) dengan komuniti cacat penglihatan pada 29 Ogos (Rabu). Mengikut maklumat berkenaan, pertemuan berkenaan adalah sahih dan ia berdasarkan sumber daripada presiden MAB sendiri. Walau bagaimanapun, pertemuan berkenaan telah ditunda ke tarikh lain. Tarikh yang dicadangkan untuk perjumpaan berkenaan ialah pada 29 September 2012 (Sabtu) nanti. Namun demikian, tarikh yang dicadangkan itu masih lagi dalam perbincangan dan buat masa ini ia masih belum disahkan lagi oleh mana-mana pihak. Demikianlah antara maklumat yang saya perolehi setakat ini. Kepada rakan berkenaan, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.
Di sini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih juga khususnya kepada pihak pengurusan tertinggi MAB kerana bersedia untuk menunda tarikh pertemuan berkenaan. Kesediaan untuk menunda tarikh pertemuan berkenaan ke satu masa yang lebih sesuai sedikit sebanyak menunjukkan bahawa pihak pengurusan tertinggi MAB bukanlah berhati keras sebagaimana kerasnya tembok dan tiang bahagian hadapan kompleks MAB itu sendiri. Mereka (pihak pengurusan tertinggi MAB) masih boleh dibawa berunding walaupun hasilnya masih belum lagi pasti.
Oleh kerana tarikh pertemuan itu masih dalam perbincangan, maka besarlah harapan semua warga cacat penglihatan supaya tarikh dan masa pertemuan yang akan ditentukan nanti merupakan tarikh dan masa yang benar-benar sesuai untuk semua orang hadir. Janganlah lagi pilih tarikh dan masa yang sememangnya sukar untuk orang ramai datang. Itu tidak ikhlas namanya. Ia lebih kepada sekadar bagai melepaskan batuk di tangga semata-mata. Satu lagi, oleh kerana apa yang sedang berlaku ini mempunyai kepentingan majoriti masyarakat cacat penglihatan, maka notis pemberitahuan juga hendaklah dihebahkan dalam jangka waktu yang munasabah. Adalah tidak masuk akal notis pemberitahuan pertemuan itu dimaklumkan dua hari sebelum tarikh pertemuan akan diadakan. Itu juga tidak ikhlas namanya. Seperkara lagi, kaedah pemberitahuan juga hendaklah dipelbagaikan agar maklumatnya sampai kepada seramai mungkin golongan sasar. Itu baru ikhlas namanya.
Dalam menentukan sama ada isu-isu yang sedang melanda MAB sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan komuniti cacat penglihatan dapat diselesaikan secara adil dan saksama, ia amat bergantung kepada ketinggian sifat ikhlas pihak MAB itu sendiri untuk menyelesaikan masalah yang ada. Dalam konteks ini, persepsi umum pihak pengurusan tertinggi MAB khususnya ahli-ahli Majlis (Council) terhadap masyarakat cacat penglihatan mempunyai peranan dan pengaruh yang cukup besar dalam menentukan corak penyelesaian yang akan dicapai nanti.
Sekiranya dari kaca mata pihak pengurusan tertinggi MAB, orang buta hanya sekadar penerima bantuan, pengguna perkhidmatan yang disediakan, golongan yang hanya layak untuk diberi simpati sahaja, hanya berstatus pengemis dan peminta sedekah atau golongan kuli dan pecacai semata-mata, maka percayalah, sampai bila pun penyelesaian yang benar-benar adil tidak mungkin akan dapat dicapai. Jika demikianlah persepsi mereka terhadap masyarakat buta, selama-lamanya mereka hanya mahu bahkan jika perlu akan memaksa masyarakat buta agar terima apa sahaja yang mereka laksanakan.
Sebaliknya, jika pihak pengurusan tertinggi MAB sedar diri dan insaf bahawa selama ini MAB dapat banyak wang, dapat geran itu dan dapat geran ini kerana adanya nama orang buta, maka saya penuh yakin mereka akan mendengar dengan kedua-dua belah telinga mereka keresahan dan rungutan tidak puas hati daripada masyarakat cacat penglihatan dengan penuh teliti dan berhati-hati. Tidak akan terlintas dalam hati mereka (pihak pengurusan tertinggi MAB) untuk membazirkan wang dengan begitu sahaja, apatah lagi jika ia tidak bermanfaat langsung kepada orang buta itu sendiri. Jika satu-satu latihan atau kursus itu berupaya dilaksanakan dalam kawasan kompleks MAB, mengapa ia harus dilaksanakan di luar kompleks MAB pula? Tidakkah itu pembaziran namanya? Siapa pula yang mendapat untung daripada pembaziran tersebut? Wang siapakah yang dibazirkan itu? Atas nama siapa pula selama ini wang berkenaan dicari dan dikutip?
Jika pihak pengurusan tertinggi MAB ikhlas dan sentiasa mementingkan orang buta, maka dari awal-awal lagi mereka akan mendengar pandangan orang buta bahawa fountain yang dibina itu tiada manfaat langsung kepada masyarakat buta. Adakah itu yang telah dilakukan oleh mereka? Khabarnya fountain sudah siap dan sedang diuji. Manfaatnya lebih kepada mata sicelik atau telinga sibuta?
Bagi saya, adalah tidak kena caranya kalau kita mengambil contoh secara semberono pembangunan yang dilaksanakan di RNIB (Royal National Institute For The Blind di England) dan kemudian ia hendak dilaksanakan pula di MAB tanpa mengambil kira kesesuaiannya terlebih dahulu. Saya amat yakin apa jua pembangunan yang telah atau sedang dilaksanakan di RNIB akan mengambil kira pandangan, kesesuaian serta manfaatnya kepada masyarakat cacat penglihatan di sana terlebih dahulu. Ini bersesuaian dengan budaya masyarakat Eropah yang amat mementingkan bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D). Sedarkah kita bahawa persepsi masyarakat berpenglihatan di Eropah terhadap golongan cacat penglihatan amat jauh bezanya dengan persepsi masyarakat Malaysia terhadap golongan yang sama dan ia tak ubah bagai langit dan bumi?
Untuk ke sekian kalinya, saya tetap dengan pendapat iaitu MAB adalah sebuah badan kebajikan yang sepatutnya menjaga kepentingan orang buta di Malaysia. Justeru, badan seperti MAB tidak seharusnya ditadbir sebagaimana kita mentadbir sebuah entiti korporat. Adalah satu kesilapan jika MAB mengambil tokoh korporat dengan tujuan untuk mengkorporatkan MAB. MAB juga tidak boleh dibenarkan untuk digunakan sebagai batu loncatan oleh mana-mana pihak untuk membuncitkan poket sendiri. MAB bukan badan yang boleh digunakan untuk membazirkan wang kepada kroni tertentu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Apalah gahnya MAB kalau pun berjaya dikorporatkan kerana masalah penjaja tisu dalam kalangan orang cacat penglihatan pun masih gagal untuk diselesaikan.
MAB ialah Malaysian Association For The Blind dan bukannya Malim Abdullah Baginda.
No comments:
Post a Comment