Thursday, August 16, 2012

Sebelum Aidil Fitri


Sehari dua lagi, umat Islam sekali lagi akan merayakan aidil fitri. Namun begitu, kebiasaannya menjelangnya perayaan seperti ini, khasnya aidil fitri, kita di Malaysia tidak dapat lari daripada dihidangkan dengan dua isu yang seakan tiada kesudahannya. Kedua-dua isu yang saya maksudkan ialah kemalangan jalan raya dan juga kemalangan akibat bermain mercun. Pelbagai langkah telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan bagi membendug kedua-dua tragedi ini, tetapi setakat ini ia masih belum lagi menampakkan kejayan yang boleh dibanggakan.

Mengenai kemalanan akibat mercun, ia merupakan rutin tahunan khususnya bagi sesetenga mereka yang akan menyambut aidil fitri. Setiap bulan Ramadhan, kita pasti akan dihidangkan dengan kemalangan akibat bermain mercun. Seolah-olahnya kemalangan yang telah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya langsung tidak memberi kesan dan tidak mampu untuk dijadikan sebagai pengajaran dan teladan oleh mangsa berikutnya. Kerap kali juga kita mendengar penyesalan datang bila kemalangan sudah berlaku. Agaknya inilah yang dibidalkan oleh orang tua-tua dahulu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian sudah tidak berguna lagi. Kalau jari sudah putus atau mata sudah buta gara-gara bermain mercun, menangis keluar air mata darah sekali pun yang putus tak akan bersambung lagi, kebiasaannya yang buta sukar untuk celik semula. Maknanya di sini, yang patah tidak akan tumbuh dan yang hilang tidak akan berganti lagi. Kalau yang menjadi mangsa kemalangan mercun itu buta matanya dan usianya pun sudah di peringkat sekolah menengah, mungkin destinasi selanjut mangsa berkenaan ialah ke sekolah tempat saya bertugas. Manakala kalau usia mangsa mercun tadi sudah melebihi 20 tahun, mungkin destinasi selanjutnya ialah Pusat Latihan Gurney yang berada di bawah seliaan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Begitulah agaknya.

Namun begitu, apa yang memeningkan kepala para researchers dalam bidang ini ialah, mengapa kemalangan akibat bermain mercun akan berlaku pada setiap tahun? Di mana silapnya?pada mangsanya atau pada peraturan yang sedia ada? Mengapa para bakal mangsa selanjutnya tidak pernah mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku sebelumnya?

Ada juga kes yang sama di mana yang menjadi mangsa bukannya kecil anak, tetapi golongan dewasa yang sudah lama meninggalkan era kanak-kanak. Agaknya golongan semacam ini boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak dewasa. Walaupun suara golongan ini sudah garau dan parau, tetapi naluri mereka masih tersangkut pada tahap kanak-kanak lagi. Demikianlah agaknya.

Pihak berkuasa juga acap kali mengingatkan kepada para ibu bapa supaya mencegah anak-anak mereka daripada bermain mercun. Namun begitu ada juga segelintir kes di mana yang menjadi mangsa mercun ialah golongan berstatus bapa. Jarang saya mendengar golongan yang berstatus ibu yang menjadi mangsa mercun. Mungkin sibuk buat kuih di dapur agaknya, jadi tak ada masa untuk bermain mercun. Walau bagaimanapun, kecuaian para ibu bapa turut menjadi faktor dan penyebab mengapa saban tahun ada sahaja kanak-kanak yang menjadi mangsa mercun menjelang hari raya. Maklumlah para ibu bapa sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti membeli-belah, buat kuih-muih, serta lain-lain persediaan untuk menyambut hari raya. Sebab itulah, ada juga berlaku di mana orang dewasa sibuk membakar lemang, kanak-kanak pula sibuk membakar mercun.

Realitinya ialah, segala peraturan yang ada masa kini masih gagal mencegah golongan berkaitan daripada terus-terusan bermain mercun. Maka itulah pada tahun ini pun kita masih mendengar ada yang sudah menjadi mangsa gara-gara bermain mercun.

Justeru, semua pihak harus menggembeling tenaga setiap ketika untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak yang memang kanak-kanak dan juga kepada golongan kanak-kanak yang mana fizikalnya nampak dewasa. Kesedaran sebegini harus dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Pihak yang berkuasa boleh melaksanakannya menerusi media massa. Jangan asyik sibuk hendak berkempen politik sahaja menerusi media massa.

Manakala di sekolah pula, para guru harus berperanan lebih aktif dalam memberikan kesedaran kepada murid-murid mengenai bahaya bermain mercun. Pada musim perayaan sebeginilah tema pengajaran dan pembelajaran dalam bilik-bilik darjah boleh terarah kepada bahaya bermain mercun. Inilah yang diharapkan agar pendidikan itu sendiri dapat merentas kurikulum yang ada.

Bagi golongan yang dewasa pula, sesuatu yang bersesuaian harus dilakukan bila melihat ada pihak khasnya kanak-kanak bermain mercun. Dalam hal ini, bidalan yang berbunyi jangan jaga tepi kain orang harus diketepikan demi kebaikan semua. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan mencegah mana-mana pihak daripada terus bermain mercun. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Bahkan kalau mata sudah buta, acap kali juga ia tidak boleh lagi diubati. Begitukah yang diinginkan?

Masyarakat umum pula harus benar-benar memahami bahawa apabila ada orang lain yang melarang anak-anak kita daripada bermain mercun, ia bukan bermakna mereka ingin menjaga tepi kain kita. Sebaliknya ia bertujuan baik iaitu mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Hari ini, kalau ada kesedaran yang tinggi mengenai bahayanya bermain mercun, ditambah pula dengan peranan masyarakat yang berkesan, saya penuh yakin bahawa kemalangan akibat bermain mercun pasti dapat dielakkan. Selagi tiada kesedaran dan ditambah pula dengan kurangnya peranan daripada ahli masyarakat, maka jangan kita harap kemalangan bermain mercun akan dapat dicegah.

Kita sering dihukum kerana kegagalan kita untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.

No comments: