Tuesday, August 14, 2012

MAB: Keluhan Yang Mula Kedengaran



Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan paling awal telah ditubuhkan di negara kita. Ia telah ditubuhkan seawal tahun 1951 lagi. Sumbangan MAB kepada golongan cacat penglihatan khususnya di negara kita bukan calang-calang besarnya sejak dari dahulu lagi. Yang Berbahagia Datin Ann Majeed merupakan antara orang yang masih bersama kita hari ini yang telah menyaksikan peristiwa penubuhan MAB ketika itu. Generasi sekarang masih ingat dan masih kenal lagi ke pada beliau?



Hari ini, MAB merupakan badan bukan kerajaan paling unggul dan paling establish jika hendak dibandingkan dengan lain-lain badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan yang terdapat di negara kita. Hal ini lebih nyata kalau kita ukur dengan dana dan aset yang dimiliki oleh MAB. Lihat sahajalah kompleks MAB yang tersergam begitu indah (kata orang) yang terletak di lokasi yang saya kira memang strategik di Brickfields, Kuala Lumpur. Tiada badan bukan kerajaan lain yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan yang mempunyai bangunan sendiri yang tersergam kukuh dan indah sebagaimana yang sedang dimiliki oleh MAB. Demikianlah.

Di samping itu, MAB juga turut menyediakan pelbagai perkhidmatan khusus untuk golongan yang cacat penglihatan. Antaranya termasuklah pelbagai kursus dan latihan yang dilaksanakan di bawah Pusat Latihan Gurney (GTC), perkhidmatan perpustakaan Braille dan audio, latihan dalam bidang berkaitan ICT, latihan yang berkaitan dengan aktiviti pertanian, pusat pencari pekerjaan untuk golongan cacat penglihatan,klinik kesihatan dan sebagainya. Selain itu, MAB juga turut mengadakan penjualan pelbagai barangan untuk kegunaan golongan cacat penglihatan seperti pelbagai jenis tongkat, pelbagai kategori kertas Braille, jam Braille dan jam bersuara serta pelbagai jenis barangan lain lagi.

Untuk maklumat bersama, MAB ialah pertubuhan bukan kerajaan yang memberikan pelbagai perkhidmatan kepada golongan cacat penglihatan. Rata-ratanya MAB ditadbir oleh mereka yang berpenglihatan. Penglibatan dan fungsi golongan yang tidak berpenglihatan khususnya sebagai pihak pembuat keputusan dan pembuat dasar di MAB sangat kecil dan amat sedikit. Perlu dinyatakan di sini bahawa tokoh yang telah mengasaskan MAB ialah orang yang cacat penglihatannya iaitu D.R. Bridges.



Pendek kata, fungsi, tugas serta tanggungjawab MAB terhadap golongan yang cacat penglihatan di negara ini memang tiada tersangkal lagi. Justeru, apa yang berlaku di MAB akan mempunyai kesang langsung kepada golongan cacat penglihatan. Setiap individu cacat penglihatan akan sentiasa memerhati MAB pada setiap masa dan ketika. Hal ini sedemikian kerana mereka ingin memastikan agar kepentingan mereka tidak tergugat dan akan sentiasa dijaga dengan baik sebagaimana objektif asal penubuhan badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan yang tertua di negara kita ini.

Seperkara yang mungkin tidak ramai yang tahu ialah sebahagian besar golongan cacat penglihatan di negara kita bukan ahli MAB .Sebaliknya mereka merupakan pengguna dan penerima perkhidmatan MAB semata-mata. Ini bermakna, golongan cacat penglihatan tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam proses membuat keputusan oleh MAB.

Masyarakat umum sering tersalah tanggap mengenai fungsi MAB. Untuk pengetahuan bersama, MAB bukan rumah kebajikan untuk golongan yang cacat penglihatan. MAB juga tiada menyediakan tempat kediaman kepada mana-mana golongan cacat penglihatan yang tidak mempunyai rumah kediaman. MAB juga tidak ada menyediakan perkhidmatan memberi makanan dan minuman percuma kepada golongan cacat penglihatan yang tidak berkemampuan. Sebaliknya mana-mana badan bukan kerajaan lain yang ingin menggunakan premis MAB untuk menjalankan aktiviti masing-masing akan dikenakan bayaran tertentu.

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai rungutan, keluhan serta rasa tidak puas hati khasnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan terhadap MAB mula kedengaran. Pada masa yang sama, golongan berkenaan tidak boleh berbuat apa-apa di peringkat dalaman atau di peringkat pengurusan kerana mereka bukan berada di peringkat untuk membuat keputusan di MAB. Bahkan sejak beberapa hari kebelakangan ini, SMS mula tersebar khususnya dalam kalangan golongan yang cacat penglihatan yang meminta mereka agar menyalurkan apa yang mereka tidak puas hati terhadap MAB ke satu lelaman facebook. Mengapa hal sebegini berlaku?Perkara-perkara apakah yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan golongan cacat penglihatan terhadap MAB? Di manakah pincangnya pengurusan MAB sehingga ia sedang menimbulkan keresahan dalam kalangan sebahagian golongan yang cacat penglihatan?

Biar apa pun, bila usaha mula dilakukan dengan melibatkan internet dan ICT, ia membawa maksud permasalahan yang sedang dihadapi kian serius. Rasa tidak puas hati kian memuncak. Jika ia tidak ditangani dengan bijak, dibimbangi perkara yang mungkin pada mulanya kecil akan menjadi isu yang akhirnya nanti akan membusukkan nama MAB juga.

Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk mengenengahkan perkara-perkara yang telah mula menimbulkan rasa tidak puas hati khususnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan terhadap MAB. Walaupun golongan cacat penglihatan sekadar pengguna dan penerima perkhidmatan yang disediakan oleh MAB, namun segala keluhan mereka sepatutnya mendapat perhatian daripada pihak MAB. Sikap mendengar keluhan golongan sedemikian oleh MAB tiada ruginya. Lagipun, MAB acapkali menghantar surat rayuan derma ke merata-rata tempat dengan menggunakan nama masyarakat buta. Jadi eloklah jika kali ini MAB berbuat sesuatu setidak-tidaknya segala keluhan mereka itu dapat disalurkan dengan betul, tertib dan akhirnya situasi menang-menang untuk semua pihak dapat diwujudkan. Bagi saya, MAB tidak sepatutnya menunggu sehingga hujan sudah turun baru bersusah payan hendak mencari payung.

Seperkara lagi, ada antara individu yang terlibat dengan pengurusan MAB masih baru dengan masyarakat cacat penglihatan di negara ini. Pihak berkenaan mungkin gagal memahami keperluan serta kehendak golongan sasar. Justeru, mungkin beberapa perubahan yang telah dilakukan tidak disenangi ataupun dirasakan tidak memberikan manfaat dan keuntungan kepada golongan cacat penglihatan.

Barang diingat bahawa selagi objektifnya tidak diubah, MAB tetap merupakan badan bukan kerajaan untuk golongan yang cacat penglihatan yang bersifat sukarela. Ini bermakna, adalah satu kesilapan jika badan sukarela seperti ini cuba ditadbir sebagaimana mentadbir sebuah entiti korporat. Lagipun, sebuah entiti korporat bila hantar surat, bukan minta derma sebaliknya untuk beri derma.

Saya Cuma memanjangkan keluhan mereka sahaja.

No comments: