Pagi semalam, saya sekeluarga telah pergi di sekitar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Saya memang sedar, kalau pada musim begini (hampir dengan hari raya) kawasan di sekitar Jalan Masjid India pastinya sibuk dan sesak dengan manusia dengan pelbagai aktiviti masing-masing. Sejak berusia begini (hati tetap remaja) saya memang jarang sekali ke kawasan sekitar Masjid India. Aklumlah tidak mahu terlibat dengan kesesakan dan kesibukan yang seolah tiada penghujungnya. Kalau hari-hari biasa pun sibuk dan sesak, apatah lagi bila hampir dengan hari raya begini.
Tujuan utama saya dan keluarga ke Jalan Masjid India tentunya untuk membeli sedikit keperluan bagi menyambut hari kemenangan itu nanti. Maklumlah sibuk dengan pelbagai tugas sama ada yang wajib ataupun yang sunat, jadi sudah tentulah kami tidak memunyai banyak masa untuk membuat persediaan sendiri. Oleh itu, semuanya kena beli sahajalah.
Untuk menjimatkan masa dan tenaga, memang sudah menjadi tabiat saya akan merancang ke tempat mana dan apa yang hendak dibeli sahaja. Tujuan saya dan keluarga ialah sekadar untuk membeli sepasang baju Melayu untuk saya dan Luqman serta sepersalinan untuk isteri saya. Saya juga tidak lupa untuk membeli sedikit wangi-wangian untuk digunakan di hariraya nanti. Itu sahaja yang kami hendak beli. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk mencari wangi-wangian di sekitar Jalan Masjid India sejak saya mula kenal dengan kota raya ini.
Justeru, bila kami berhenti sahaja di stesen LRT Masjid Jamik, kami terus menuju ke Wisma Yakin. Mungkin oleh kerana saya sudah rancang dan tetap fokus hanya pada apa yang saya perlukan, maka selepas singgah di 3 kedai, urusan saya dan Luqman pun selesai. Kami sudah dapat pakaian yang kami perlukan. Di sini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih serta jazakillahu khairan kathiran kepada pemilik kedai M. Z. Tahir di Wisma Yakin kerana telah memudahkan urusan saya sekeluarga. Semoga Allah akan memberikan balasan yang paling baik kepada beliau dunia dan akhirat.
Dari segi kesesakan manusia, ia adalah sebagaimana yang saya jangkakan. Hendak bergerak pun kadangkala terpaksa bersabar dan bertolak-ansur. Kadang-kadang tolak sikit-sikit pun ada juga.
Aksi para peniaga di sekitar Masjid India pula beraneka ragam dan cara. Semuanya dengan satu tujuan iaitu untuk menarik perhatian pembeli. Ia tambah menghidupkan lagi suasana. Ini ditambah lagi dengan lagu-lagu hari raya yang berkumandang di sana sini.
Bagi saya, kawasan persekitaran Jalan Masjid India bukanlah asing. Maklumlah saya mula menjadi salah seorang penghuni Kuala Lumpur sejak tahun 1981 lagi. Masa itu masih lagi murid peringkat sekolah menengah. Kebetulan saya sejak dari tingkatan 1 bersekolah di St. John’s Institution Jalan Bukit Nanas. Semasa zaman sekolah menengah, saya memang arif dengan persekitaran kawasan Jalan Masjid India. Bahkan ketika itu, saya berkeupayaan untuk berjalan kaki dari sekolah yang letaknya tidak berapa jauh ke Wisma Yakin walaupun secara berseorangan. Agaknya masa peringkat sekolah menengah keberanian ada terlebih sikit. Maka itulah saya tidak pernah merasa takut atau pun gentar terutamanya ketika melintasi jalan yang sememangnya sentiasa sibuk seperti Jalan elaka. Maklumlah hendak ke kawasan Jalan Masjid India dari sekolah, saya harus melalui beberapa batang jalan raya yang tidak pernah sunyi dengan pelbagai kenderaan. Alhamdulillah tiada apa yang berlaku.
Masjid India itu sendiri mempunyai kenangan buat saya. Semasa saya sebagai penuntut di Universiti Malaya (UM) dahulu, saya juga pernah bermalam di Masjid berkenaan. Maklumlah pada ketika itu saya agak aktif mengikuti satu jemaah. Jadi pada Sabtu malam, kami akan mengunjungi Masjid India dan adakalanya akan bermalam di sana. Manakala pada keesokan harinya kami akan “keluar” untuk tempoh sehari, tiga hari atau lebih. Itulah pengalaman namanya.
Di samping itu, Masjid Jamik di Jalan Tun Perak yang juga tidak jauh lokasinya daripada Jalan Masjid India juga mempunyai centimental value buat saya. Oleh kerana saya bersekolah di St. John’s Institution, maka masjid jamik inilah tempat saya mengerjakan solat Jumaat hampir pada setiap minggu. Untuk itu, saya akan berjalan kaki sahaja dari sekolah ke masjid ini. Jaraknya bukanlah jauh sangat. Saya juga tidak merasa takut untuk melintasi beberapa batang jalan di sekitarnya yang sememangnya sentiasa sibuk.
Hari ini keadaannya berbeza. Saya rasa, kesesakan manusia di sekitar Jalan Masjid India sememangnya bertambah jika hendak dibandingkan sekitar 30 tahun yang lalu. Selain itu, saya sendiri pun tidak lagi begitu yakin untuk berjalan secara berseorangan di sekitar kawasan ini. Bukannya takut, tak berani saja.
Sesungguhnya kehidupan kita sentiasa ke hadapan dan bukannya ke belakang. Sebab itulah masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment