Alhamdulillah, segala puji hanya untuk-Nya. Baru-baru ini, saya sekeluarga telah selamat berkunjung ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Selain kami bertiga, ibu dan bapa saya juga turut menyertai kami. Secara peribadi, ini merupakan kunjungan ketiga saya ke Sabah. Kali pertama ialah dari 2 – 6 Disember 2001. Waktu itu Cikgu Jais pun turut serta. Kali kedua pula ialah dari 14 – 16 Julai 2008. Kedua-dua kunjungan saya ke Sabah sebelum ini merupakan atas urusan rasmi dan dengan biayaan penuh daripada kerajaan. Kunjungan kali ini merupakan kunjungan peribadi dan benar-benar atas tujuan untuk bersantai. Selain itu, kunjungan kali ini juga bertujuan untuk membawa kedua-dua ibu dan bapa saya melawat dan melihat negeri orang.
Sebelum saya pergi lebih jauh berkenaan cerita mengenai kunjungan saya ke Sabah, terlebih dahulu saya serta keluarga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Yusuf Mongijal serta anak saudaranya, Charnos, di atas layanan yang begitu istimewa yang telah mereka berikan kepada saya dan keluarga sepanjang kami berada di Sabah. Secara ringkasnya, layanan dan pertolongan kedua-duanya kepada saya sekeluarga adalah
from airport-to-airport. Sejurus kami mendarat di lapangan terbang Kota Kinabalu, kedua-duanya sudah sedia menanti ketibaan kami. Mereka berdua jugalah orang yang telah menghantar kami semula ke lapangan terbang yang sama pada hari terakhir kunjungan kami di Sabah dan kami hanya berpisah apabila saya sekeluarga harus masuk ke balai berlepas untuk pelepasan. Sesungguhnya budi baik anda dan keluarga tidak mungkin kami lupakan sampai bila-bila, kerana hutang budi dibawa mati.
Berbalik kepada cerita kunjungan saya ke Sabah, sejurus tiba di Kota Kinabalu, kami pun terus Checked in di sebuah hotel yang telah pun saya tempah hampir sebulan lebih awal. Dalam internet, hotelnya nampak OK. Walau bagaimanapun, setelah saya masuk ke biliknya, maSha Allah, langsung tidak memuaskan. Sudahlah biliknya sempit, kemudahan asas untuk sebuah bilik hotel boleh dikatakan langsung tidak memuaskan. Setelah menilai segala ketidakpuasan yang terkumpul ditambah pula gagal memenuhi hasrat kami untuk santai dengan selesa, akhirnya petang itu juga saya memutuskan untuk check out pada pagi esoknya. Masa yang ada di sebelah petang itu saya dan isteri gunakan untuk mencari hotel lain menerusi internet. Akhirnya kami berjaya mendapat sebuah hotel lain dan saya yakin keselesaannya pasti berganda daripada hotel yang sedang kami duduki. Demikianlah secebis pengalaman.
Pada malam pertama kunjungan kami, Cikgu Yusuf dan Charnos telah membawa kami ke Perdana Park. Letaknya tidaklah berapa jauh dari hotel penginapan kami. Sekitar jam 7.45 malam kami sudah pun berada di Perdana Park.
Keistimewaan Prdana Park ialah di mana orang ramai boleh menonton pertunjukan air pancut secara berirama. Kalau saya tidak silap, pertunjukan tersebut akan bermula seawal 6 petang dan akah berakhir pada lewat malam. Kalau saya tidak silap juga, pertunjukan berkenaan akan diadakan setiap setengah jam. Manakala tempoh pertunjukan ula adalah sekitar 10 minit.
Pada malam berkenaan, saya sekeluarga sempat menyaksikan pertujukan berkenaan pada jam 8 malam. Tepat jam 8 malam, menerusi corong pembesar suara yang cukup jelas, irama muzik mula diperkenalkan. Serentak dengan itu juga, kawasan air pancut yang telah dikhaskan untuk pertunjukan berkenaan akan mula memancutkan air mengikut irama muzik yang diperdengarkan. Jika iramanya rancak, maka persembahan air pancut itu juga akan rancak pergerakannya. Sebaliknya, bila iramanya bernada sentimental, maka pergerakan pancutan airnya juga akan berubah menjadi sentimental juga. Selain itu, pancutan air berkenaan juga turut mengeluarkan warnawarna tertentu. Ini tentunya menambah lagi kecantikan dan keunikan persembahannya.
Bagi mereka yang tak ada penglihatan pula, kita hanya boleh mendengar pergerakan pancutan air sahaja. Kekadang bunyi pancutannya kuat iaitu bila irama muziknya laju. Apabila irama muziknya sentimental, maka bunyi pergerakan pancutan airnya juga seakan sentimental juga. Kekadang kita boleh mendengar pergerakan air berkenaan ke kiri, kekanan atau seolah-olah berputar mengelilingi kawasan lingkarannya.
Menurut saksi mata, pertunjukannya memang menarik dan mengasyikkan. Apatah lagi jika kita dapat “menghubungkan” antara pertunjukan pancutan air berkenaan dengan irama muzik yang sedang diperdengarkan.
Menurut saksi mata juga, jumlah orang ramai yang hadir untuk menyaksikan pertunjukan pada malam itu agak ramai juga. Kami sekeluarga cukup terhibur dengan pertunjukan yang telah diadakan dan ia setidak-tidaknya dapat menghilangkan keletihan perjalanan siang tadi. Ia juga sekurang-kurangnya dapat meredakan rasa ketidakpuasan hati kami dengan hotel penginapan yang bakal kami tinggalkan pagi esoknya.
Sebenarnya, jika persembahan berkenaan dapat dikongsikan di sini secara video, ia akan lebih menarik. Namun demikian, apakan daya, saya langsung tidak terfikir untuk merakamnya secara video. Oleh itu, di sini, saya sekadar dapat berkongsi foto-foto menarik mengenai persembahan berkenaan untuk tatapan bersama. Kalau tak ada rotan, akar pun jadilah ...
Sesungguhnya, secantik mana sekalipun pemandangan di dunia ini, ia tidak mungkin (walau sebesar zarrah sekalipun) menandingi pemandangan yang paling tak cantik sekali (jika ada) di syurga kelak.
No comments:
Post a Comment