Tuesday, December 18, 2012

Pasca Mesyuarat Agung Luar Biasa SBM: Sekadar Pandangan






Sebagaimana yang kita semua maklum, mesyuarat agung luar biasa Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) bagi tahun 2012 telah pun berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 Disember lalu. Dalam mesyuarat berkenaan, para ahli yang hadir telah membuat dua keputusan penting, iaitu, meluluskan belanjawan SBM bagi tahun 2013 dan juga menolak draf pindaan perlembagaan SBM yang telah dibentangkan.


Sebenarnya setiap tahun SBM perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasanya bagi mendapat kelulusan ahli bagi perbelanjaan untuk tahun berikutnya. Perkara ini selaras dengan Peraturan 12.7 iaitu mengikut perlembagaan SBM yang sedang berkuat kuasa. Antara lain peraturan berkenaan menghendaki supaya perbelanjaan yang melebihi lima ribu ringgit hendaklah mendapat kelulusan daripada mesyuarat agung. Oleh kerana perbelanjaan SBM melibatkan jutaan ringgit saban tahun, maka semestinyalah ia perlu mendapat kelulusan daripada ahli-ahlinya menerusi mesyuarat agung.


Dalam mesyuarat agung luar biasa SBM pada 16 Disember lalu, agenda yang mendapat perhatian daripada bukan sahaja ahli mesyuarat bahkan segenap ahli SBM seluruh negara ialah berkenaan draf pindaan perlembagaan pertubuhan berkenaan. Dalam tulisan saya sebelum ini, saya telah berkongsi sebab-sebab draf pindaan perlembagaan tersebut telah ditolak oleh para ahli. Tulisan saya tersebut telah pun mendapat reaksi daripada beberapa orang pembaca blog ini khususnya menerusi SMS. Sebagaimana yang telah saya tegaskan dalam tulisan berkenaan, ia merupakan pandangan peribadi saya semata-mata. Jadi, para pembaca boleh sama ada bersetuju atau sebaliknya dengan apa yang telah saya kemukakan.


Ada pihak yang berpendapat mesyuarat agung luar biasa baru-baru ini merupakan medan pertama menguji keberkesanan kepimpinan SBM yang baru dilantik pada bulan Jun yang lalu. Maknanya, bilamana draf pindaan perlembagaan telah ditolak ia menunjukkan bahawa para ahli mula menolak barisan kepimpinan yang seda ada. Dengan erti kata lain, barisan kepimpinanSBM yang sedia ada telah gagal dalam ujian pertama mereka. Benarkah begitu?


Bagi saya, penolakan draf pindaan perlembagaan tempoh hari bukanlah bermakna ahli-ahli SBM telah menolak kepimpinan barisan pemimpin yang sedia ada secara total. Apa yang terserlah di sini ialah, para ahli SBM bukan merupakan penyokong tegar mana-mana individu dalam SBM. Maka itulah, pada satu waktu mereka boleh menyokong seseorang individu tetapi pada ketika yang lain pula mereka boleh menolak apa yang dikemukakan oleh individu yang sama. Tegasnya, penerimaan dan penolakan para ahli terhadap sesuatu perkara yang diketengahkan amat bergantung kepada kebijaksanaan seseorang individu dalam mengendalikan sesuatu isu yang sedang berbangkit dan tidak hanya semata-mata kepada siapa individu yang sedang mengendalikan isu berkenaan.


Saya tidak menafikan bahawa ekoran daripada penolakan ahli terhadap draf pindaan perlembagaan yang telah dikemukakan, sedikit sebanyak reputasi Majlis Presiden (MP) turut sama tercalar. Namun demikian, ia bukanlah serius sangat. Oleh kerana para ahli bukan menolak barisan kepimpinan yang sedia ada secara total dan penolakan mereka amat berpaksikan kepada kandungan draf perlembagaan semata-mata, maka langkah pemulihan yang sepatutnya diambil segera ialah dengan melakukan pembetulan pada kandungan draf berkenaan. Pembetulan yang seharusnya dilakukan pula sepatutnya hendaklah selaras dengan aspirasi majoriti para ahli sendiri. Mana-mana peraturan, frasa, lausa atau perkataan yang ingin dipinda hendaklah merupakan refleksi dan kehendak majoriti ahli atau majoriti cawangan. Kalau pindaan satu-satu peraturan itu sekadar memenuhi kemahuan satu atau dua cawangan sahaja, maka ia tidak memadai kerana SBM kini mempunyai 12 cawangan kesemuanya.


Jika sekiranya jawatankuasa teknikal yang menguruskan draf pindaan berkenaan sebelu ini dirasakan kurang berkesan, kurang tanggungjawab dan lebih banyak berkokok di luar daripada buat kerja, maka gantikan dengan jawatankuasa yang baru. Pihak MP harus memastikan bahawa AJK teknikal yang berkaitan berwibawa, bertanggugjawab, tidak hanya pandai berkokok di luar mesyuarat peringkat jawatankuasa, tidak bersikap “bila rumah sudah siap baru pahat berbunyi” serta bersedia memberikan kerjasama bila diperlukan.


Selain itu, apabila draf berkenaan telah dimurnikan di peringka jawatankuasa yang berkaitan dan sebelum ia diketengahkan dalam mesyuarat agung luar biasa yang berikutnya untuk pertimbangan para ahli, saya rasa elok juga draf berkenaan dikongsikan dengan para ahli lain yang difikirkan boleh memberi sumbangan, pendapat serta kritikan berguna untuk pemantapan. Saya cadangkan antara ahli-ahli yang harus diberikan draf berkenaan di peringkat ini ialah mereka yang banyak bersuara dalam mesyuarat agung luar biasa baru-baru ini. Saya yakin, jika sekiranya golongan yang lantang bersuara dalam mesyuarat agung luar biasa baru-baru ini diberi peluang untuk mengenengahkan kritikan mereka di peringkat pramesyuarat, maka mesyuarat agung luar biasa nanti akan berjalan dengan lebih harmoni, lebih aman dan mungkin juga akan cepat habisnya.


Seperkara lagi, amat mustahak sekali bagi setiap ahli mesyuarat dibekalkan dengan dokumen yang sahih sama ada yang berbentuk cetakan tulisan biasa (prin copy) mahupun yang berbentuk cetakan Braille (braille copy). Kandungan Kedua-dua bentuk cetakan berkenaan semestilah sama dan jangan wujud perbezaan kandungan teks antara kedua-duanya walaupun sebesar zarrah. Kita semua harus faham, sama ada ahli yang menggunakan teks cetakan tulisan biasa mahupun yang menggunakan teks cetakan Braille, peranan mereka sama sahaja iaitu untuk mempertimbang dan seterusnya sama ada menerima ataupun menolak draf pindaan yang dikemukakan.


Apa yang berlaku baru-baru ini, kewujudanperbezaan dokumen mesyuarat antara cetakan tulisan biasa dengan cetakan Braille mungkin ia disebabkan kecuaian kakitangan yang menguruskannya dan juga mungkin kerana tiadanya pemantauan berkesan daripada MP. Rungutan ahli terhadap kesalahan pada dokumen cetakan Braille ada rasionalnya dan perlu diberi perhatian supaya kesilapan yang sama tidak berulang pada masa akan datang.


Selain itu, pada masa yang sama semua ahli MP juga harus membuat persediaan yang rapi dan bersedia untuk memberikan hujah terbaik terutamanya dalam mempertahankan apa sahaja yang dibentangkan oleh MP kepada ahli seperti draf pindaan perlembagaan. Dalam hal ini, pujian harus dizahirkan kepada En. Hashim Ishak (SBM Mlaka) yang begitu komited dan konsisten dalam mempertahankan apa yang dibentangkan oleh MP. Saya mula menyedari sikap komited dan kosisten En. Hashim seperti ini sejak mesyuarat agug luar biasa (EGM) yang telah berlangsung pada 18 Disember 2011 yang lalu.


Dalam hal yang sama, adalah amat malang jika ada antara ahli MP yang membiarkan pengerusi mesyuarat sahaja yang mempertahankan apa yang dibentangkan atas nama MP. Sepatutnya seluruh barisan kepimpinan yang menganggotai MP telah bersiap sedia serapinya bagi melontarkan hujahan bernas dalam mempertahankan usul yang dikemukakan atas nama MP. Barulah terserlah kesepaduan dalam kalangan ahli MP.


Sekali lagi saya ingin tegaskan, penolakan draf pindaan perlembagaan SBM baru-baru ini bukanlah isyarat bahawa barisan kepimpinan yang sedia ada ditolak secara keseluruhannya. Namun demikian, jika barisan kepimpinan yang ada patah semangat, gagal membaiki apa yang silap, tidak bersatu padu,tiada komitmen yang jitu, maka dalam pemilihan yang berikutnya anda pasti akan ditolak oleh majoriti ahli.


Oleh yang demikian, khususnya epada ahli MP, anda semua jangan berputus asa. Ia merupakan asam garam dalam kehidupan berpersatuan. Anda selaku ahli MP harus membuktikan bahawa slogan “SBM Era Baru” bukan sekadar slogan semata-mata. Semangat serta sifat juang yang jitu juga harus sama-sama masuk ke era yang baru.


Saya sekadar melontarkan padangan. Jika difikirkan baik dan bermanfaat, laksanakanlah pandangan saya yang tak seberapa ini. Jika difikirkan kurang baik atau tak bernas atau tidak berguna, kesampingkan sahaja.


No comments: