Saturday, December 1, 2012

Cerita Dari Langkawi (Bahagian Akhir)






Saya sekeluarga meneruskan lagi acara kunjungan kami di Pulau Langkawi. Pada hari ketiga pula, saya telah merancang untuk menumpukan pula kepada aktiviti di laut. Untuk itu, dengan bantuan daripada pihak hotel sendiri, saya telah berjaya menyewa sebuah bot kusus untuk kami sekeluarga sahaja.  Bukannya tujuan saya untuk eksklusif, tetapi sekadar tidak mahu menyusahkan orang lain jika kami berkongsi bot dengan pelancong lain.  Maklumlah dalam kalangan kami berlima ada seorang tua dan serang buta!  Sudah tentu pergerakan kami nanti akan menjadi lambat dan terkial-kial.  Justeru kami lebih rela untuk membayar lebih sedikit daripada mungkin akan menyusahkan orang lain.





Sekitar jam 9.30 pagi, sebuah kenderaan telah tiba untuk membawa saya sekeluarga dari hotel penginapan kami ke Kilim, tempat di mana aktiviti di laut untuk kami akan bermula.  En. Bidin merupakan pemandu pelancong yang akan bersama dengan saya sekeluarga di sepanjang aktiviti di laut nanti.  Beliau juga merupakan pemilik bot yang bakal membawa kami kelak.  Jarak perjalanan ke Kilim mengambil masa sekitar 10 minit.  Sebagaimana yang telah dijangka, di sini memang terdapat ramai pelancong sama ada dari dalam mahupun luar egara yang akan turut sama beraktiviti di laut.  Sekadar maklumat, pakej yang kami ambil untuk aktiviti di laut kali ini dikenali sebagai Mangroov Tour.





En. Bidin memaklumkan kepada saya bahawa aktiviti di laut kali ini akan mengambil masa sekitar 3 jam dan 30 minit.  Oleh kerana ia agak lama, maka kami telah membeli sedikit minuman dan makanan ringan untuk mengalas perut nanti.





Sekitar jam 10.00 pagi, aktiviti bermula.  Dalam bot hanya ada 7 orang sahaja termasuklah En. Bidin dan pemandu bot.  Tempat yang mula-mula kami singgah ialah gua kelawar.  Kami harus turun dari bot dan masuk ke dalam gua tersebut.  Mungkin keadaan dalam gua yang agak gelap, maka lampu picit turut dibekakan  Namun begitu, saya sememangna tidak memerlukan lampu picit berkenaan!








Sebelum masuk ke dalam gua berkenaan, En.Bidin telah memberi penerangan mengenai kelawar yang terdapat di sekitar gua berkenaan.  Menurut beliau, secara umumnya terdapat 3 spesies kelawar di sekitar gua berkenaan.  Terdapat sekurang-kurangnya dua laluan untuk masuk dan keluar dari gua berkenaan.  Saya sekeluarga telah memilih untuk mengikuti laluan yang pendek sahaja.  Bila saya masuk sahaja ke dalam gua berkenaan, memang saya dapat menghidu sesuatu yang kurang sedap.  Menurut En. Bidin, ia adalah bau kelawar dan juga bau najisnya.  Saya juga dilarang daripada berpegang kepada railing yang dibina kerana berkemungkinan besar akan terpegang najis kelawar.  Selain itu, fenomena alam semula jadi dengan batu kapur memang terserlah.






Setelah itu, kami menaiki bot semula.  Kali ini, bot membawa kami di tempat beberapa buah kapal layar berlabuh.  Kata En. Bidin, Kapal-kapal layar ini ada yang datangnya sejauh Rusia.  Setelah kapal ini tiba, pemiliknya akan meninggalkan kapal berkenaan di sini untuk beberapa bulan lamanya.  Manakala pemiliknya akan pulang ke negara masing-masing dengan kapal terbang.  Bila tiba musim untuk menggunakan kapal layar semula, maka pemiliknya akan datang semula dengan kapal terbang dan kembali berlayar dengan kapal layar berkenaan ke destinasi yang lain pula.  Demikianlah.




Bagi yang berpenglihatan, maka dapatlah melihat kapal-kapal layar yang sedang berlabuh dengan pelbagai saiz dan bentuk.  Manakala saya pula, sekadar mendengar penerangan daripada En. Bidin sahaja.  Itu pun sudah cukup besar nikmatnya bagi saya!




Seterusnya, bot yang kami naiki singgah pula di satu lokasi yang banyak monyet.  Kawasan ini penuh dengan tumbuhan pokok bakau.  Agaknya para monyet ini sudah sangat biasa dengan bot-bot pelancong sebegini.  Sewaktu bot menghampiri pokok yang sedang digayuti, para monyet berkenaan akan melompat ke dalam bot.  Pemilik bot yang sudah biasa dengan situasi berkenaan terus mengeluarkan makanan ringan untuk menjamu para monyet berkenaan.  Agak menghairankan kerana para monyet tersebut tahu bila bot kami akan meninggalkan tempat berkenaan, lalu monyet-monyet itu pun melompat semula ke pokok gayutan semula.  Demikianlah.




Kata En. Bidin, di celah-celah pohon bakau ada juga kedapatan sang ular yang berlingkar.  Ular-ular berkenaan sering menjadikan ikan dan binatang lain sebagai mangsanya.  Satu keajaiban pokok bakau ialah ia boleh hidup dalam air yang masin.







Seterusnya, bot berkenaan membawa kami pula ke lokasi untuk memberi makan kepada sang helang pula.  Pada ketika itu, cuaca agak panas dan angin pula kurang bertiup.  En. Bidin memberitahu, helang mempunyai mata yang sangat tajam.  Justeru katanya, kita tidak perlu membuat bising untuk menarik perhatian burung berkenaan.  Cukup sekadar menunjukkan makanan yang hendak diberikan.  Jika sang helang berkenaan merasakan tiada bahaya, ia akan turun dan memakan makanan yang diberikan.  Jumlah helang yang akan turun pula berbeza banyaknya.  Kalau nasib baik, ia boleh mencecah puluhan ekor banyaknya.  Jika tidak, sang helang berkenaan hanya berlegar-legar di udara sahaja.







Seterusnya, bot berkenaan turut berlegar-legar di sekitar Sungai Batu Gajah bagi melihat fenomena alam yang mengasyikkan.  Kata En. Bidin, ada juga pelancong yang ingin pusing pulau Langkawi.  Ia mengambil masa hampir 4 jam lamanya.  Kosnya pula agak tinggi.  Namun begitu, jika ada permintaan tiadalah keberatan untuk ditunaikan.






Setelah puas berlegar di sekitar Sungai Batu Gajah, kami pun dibawa pula ke sebuah restoran di tengah laut.  Kalau tidak silap saya, restoran ini berhadapan dengan Tanjung Ru.  Restoran yang dimaksudkan ialah Fish Farm Restaurant.  Jaraknya dari daratan ialah sekitar 25 minit perjalanan dengan bot.  Restoran ini benar-benar merupakan sebuah restoran terapung.  Oleh kerana ia bukan daratan, maka bot boleh rapat ke tepi restoran dan ini amat memudahkan untuk kita melangkah ke atas restoran berkenaan.  Kedudukan bot dan lantai restoran yang sama paras kian memudahkan lagi untuk para tetamu untuk melangkah ke restoran berkenaan.




Sewaktu saya menjejakkan kaki di atas restoran berkenaan, saya sendiri dapat merasakan adakalanya restoran ini sedikit bergoyang.  Menurut En. Bidin, restoran ini didirikan di atas ratusan pelampung dan juga tiub tayar.  Kebetulan waktu kami tiba sememangnya waktu makan tengah hari.  Maka selain daripada bot yang kami naiki, terdapat juga beberapa buah bot lain yang turut sama membawa para pelancong.





Menurut En. Bidin, semua bot yang melalui kawasan restoran terapung ini mesti memperlahankan kelajuan masing-masing.  Sekiranya bot dipandu laju menghampiri restoran ini, ombak yang terhasil daripada kelajuan bot berkenaan akan turut memberi kesan kepada kestabilan restoran berkenaan.




Makanan di restoran ini dikira mengikut pakej harga tertentu.  Ada yang pakej RM15.00 untuk sekepala (paling rendah).  Manakala saya sekeluarga pula mengambil pakej RM25.00 untuk sekepala.  Pakej ini memang cukup mengenyangkan.  Selain ikan bakar, sotong dan udang tepung, sayur-sayuran, nasi serta buah-buahan.  Memang sungguh nikmat dan amat menyelerakan dapat makan di tengah-tengah laut sebegini.  Menurut pendengaran saya, jumlah pelancong yang turut sama makan ketika itu ramai.  Inidisahkan pula oleh saksi mata.





Ketika sedang makan, saya terdengar salah seorang kakitangan restoran melayan para pelancong dalam bahasa Arab.  Saya sedikit teruja.  Setelah makan, saya merapati kakitangan wanita berkenaan dan menzahirkan pujian kepada beliau di atas kebolehannya berbahasa Arab.  Menurut kakitangan berkenaan, kebolehan beliau berbahasa Arab cukup sekadar untuk melayan tetamunya yang berbangsa Arab.  Katanya lagi, tetamu dalam kalangan orang Arab agak ramai yang berkunjung ke restoran ini.




Saya juga turut bertanya mengenai pengalaman kakitangan berkenaan bertugas di restoran terapung berkenaan.  Katanya, adakalanya kalau hujan dan ribut agak kuat, ia menyeramkan juga.  Saya turut bertanya bagaimana restoran ini mendapat bekalan air bersih, menurutnya, ia dibekalkan menerusi paip dasar laut dari Pulau Langkawi.





Satu lagi keunikan restoran ini ialah ia turut mempunyai pelbagai jenis ikan yang diternak dalam sangkar.  Ada antara ikan-ikan berkenaan boleh dipilih oleh pelancong untuk dijadikan hidangan mereka.




Setelah sekitar 45 minit berada di restoran berkenaan, iaitu pada jam 1.00 tengah hari, kami pun mula “mencari jalan pulang”.  Kata En. Bidin, untuk pulang ke Kilim semula, kami dibawa mengikut jalan laut.  Oleh kerana perjalanan ini bukan lagi untuk santai, maka bot dipandu agak laju.  Maka melambung-lambunglah juga bot berkenaan bila dipukul ombak.  Kami semua memang diarahkan oleh En. Bidin supaya mengenakan jaket keselamatan.  Luqman duduk dengan senyap, mungkin sedang kecut perut.  Manakala En. Bidin pula tenang sahaja, mungkin sudah biasa dengan situasi sebegini.  Oleh kerana adakalanya bot melambung sedikit tinggi, maka saya yang duduk di haluan bot terpaksa sentiasa berpegang pada tiang bot dengan agak kuat.  Kalau terlepas naya juga dibuatnya!




En. Bidin turut berkongsi cerita mengenai gelagat pelancong Arab.  Katanya, ada sesetengah pasangan pelancong Arab yang meminta agar dihantar ke pantai yang sunyi.  Selanjutnya pasangan minta agar mereka ditinggalkan berdua sahaja di pantai berkenaan untuk tempoh selama beberapa jam.  Setelah cukup tempohnya baru mereka minta agar bot datang semula untuk membawa mereka pulang.  Saya bertanya, apa yang pasangan itu buat di pantai sunyi sebegitu?  Sambil ketawa, En. Bidin menjawab, entahlah!




Tatkala bot sedang melalui satu kawasan, tiba-tiba telefon saya menerima SMS seperti di bawah ini:




Date:13.11.2012 05:08:37
DTAC welcomes you to Thailand. To call back home, add "+country code" to the number. To call Thai number, simply dial the number. We wish you a pleasant stay.




Saya segera bertanya kepada En. Bidin bagaimana saya boleh menerima SMS di atas?  Menurut En. Bidin, bot yang kami naiki sedang melalui kawasan yang berhampiran dengan perairan antarabangsa.  Katanya lagi, kedudukan pulau Langkawi ke utara sedikit daripada Perlis.  Tanah daratan yang selari dengan pulau Langkawi ialah wilayah Satun, Thailand.  Maka itulah kita boleh menerima SMS sedemikian.  Demikian penerangan daripada En. Bidin.




Sekitar jam 1.30 tengah hari, saya sekeluarga pun tiba semula di Kilim.  Kami merasa sungguh puas dengan aktiviti kali ini.  Umi kami juga melahirkan rasa puas hatinya.  Setelah semuanya selamat naik ke darat semula, En. Bidin terus menghantar kami semula ke hotel penginapan.




Di hotel, kami telah berehat seketika dan pada jam 4.00 petang kami keluar semula untuk aktiviti yang selanjutnya.




Sesungguhnya percutian saya di Langkawi memang mempunyai kelainannya yang tersendiri.  Kali ini saya tidak terikat langsung dengan jadual mesyuarat atau kursus.  Jadi santai kali ini sangat bermakna.  Apatah lagi kali ini saya sentiasa bersama-sama ahli keluarga sendiri.




Mudah-mudahan perkongsian ini ada manfaatnya khasnya kepada rakan-rakan senasib yang ada rancangan untuk ke Langkawi.

Di bawah ini, saya sisipkan beberapa foto yang dikira menarik untuk perkongsian bersama.
































Sesungguhnya fenomena alam yang amat mengasyikkan ini merupakan antara tanda-tanda kebesaran Pencipta kita.

No comments: