Thursday, December 20, 2012

Menziarahi Yusiran Ahmad



Petang tadi, saya sekeluarga berkesempatan menziarahi Saudara Yusiran Ahmad di rumahnya di kampung. Rumahnya terletak di Jalan Tebat, Kampung Air Baruk, Jasin, Melaka, iaitu beberapa belas km dari rumah keluarga saya di kampung. Manakala jarak rumahnya dengan bandar Jasin pula hanya dua atau tiga km sahaja. Kami sekeluarga turut ditemani oleh ibu saya.





Sebagaimana yang pernah saya maklumkan menerusi blog ini, kaki kiri Saudara Yusiran telah dipotong kira-kira dua bulan lalu akibat penyakit kencing manis. Setelah keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau telah dibawa kembali ke rumah keluarganya di Jasin. Jika sebelum ini Yusiran merupakan seorang yang cacat penglihatan, kini kecatatannya telah bertambah satu lagi iaitu cacat anggota pula.


Sekitar jam 4.55 petang, kami pun tiba di rumahnya. Ketibaan kami telah disambut mesra oleh ibunya serta Yusiran. Selain dari tujuansaya untuk menziarahi Yusiran, tujuan sebenar ibu saya ingin ikut serta adalah untuk bertemu dengan ibu Yusiran yang juga kenalan lamanya. Katanya, mereka berdua sudah hampir 40 tahun tidak bertemu. Jadi, tatkala saya berbual dengan Yusiran, ibu saya pula rancak berborak dengan ibu Yusiran.




Seingat saya, ibu saudara Yusiran iaitu adik perempuan ibunya merupakan antara orang yang telah berperanan sehingga saya dapat masuk ke SKPK Princess Elizabeth iaitu kira-kira 37 tahun yang lalu. Tatkala itu, ibu saudaranya bertugas dengan Jabatan Penerangan Melaka. Kini, ibu saudaranya sudah dua tahun kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya sentiasa dalam rahmat Allah sepanjang masa. Alfatihah untuknya.


Ibu Yusiran ada memberitahu saya, beberapa kali Yusiran menyatakan hasratnya untuk kembali semula ke KL. Namun begitu, oleh kerana beliau dan keluarga berpendapat Yusiran masih belum mampu untuk berdikari lagi, maka buat masa ini mereka tidak mengizinkan Yusiran untuk kembali semula ke KL.





Saya amat faham mengapa Yusiran ingin kembali semula ke KL. Yusiran mungkin terasa begitu sunyi tinggal di kampung tenpa rakan-rakannya. Jika saya di tempat beliau, saya juga akan merasai kesyunyian sebagaimana yang sedang beliau rasai.


Oleh itu, pada pendapat saya, elok juga Yusiran terus tinggal bersama-sama keluarganya buat masa ini. Maklumlah keadaannya pun belum sihat sepenuhnya. Dalam keadaannya sebegini tentulah ia akan lebih menyiksakan jika beliau tinggal jauh daripada keluarga sendiri. Maklumlah dalam soal penjagaan diri sendiri, pertolongan rakan dan taulan ada hadnya.


Yusiran juga ada memberitahu saya, beliau sedang berusaha untuk mendapatkan sumbangan kaki palsu. Katanya, kaki palsu berkenaan berharga sekitar RM 6 ribu. Dalam hal ini, beliau amat mengharapkan sumbangan daripada mereka yang prihatin. Demikian Yusiran memberitahu saya.


Dalam ziarah kali ini, saya turut menyampaikan sumbangan bagi pihak Pn. Sariyah Nordin dan rakan-rakannya. Sumbangan berkenaan sepatutnya disampaikan kepada Yusiran semasa mereka mengadakan aktiviti lawatan ke Melaka pada 1 Disember lalu. Namun demikian, atas sebab tertentu, penyampaian sumbangan berkenaan telah ditangguhkan.


Setelah setengah jam, saya sekeluarga pun minta izin untuk pulang. Kepada Yusiran, kami berdoa semoga beliau sentiasa tabah dalam menghadapi apa jua dugaan hidup.


Sementara itu, kepada mereka yang sudi untuk memberikan sumbangan, bolehlah hubungi terus Yusiran Ahmad di talian tangannya 0193419158. Marilah kita mendahului orang lain dalam memberikan bantuan setakat termampu kepada Saudara Yusiran.


Salam dari Melaka.




No comments: