Wednesday, December 12, 2012

Sukan Paralimpiad Di Kuantan: Pertandingan Goal-Ball Terengganu - Negeri Sembilan



Siang tadi, saya berkesempatan menyaksikan (mendengar) pertandingan goal-ball antara pasukan Terengganu melawan Negeri Sembilan. Ia bersempena dengan kejohanan Paralimpiad yang sedang rancak berlangsung di Kuantan. Venue untuk pertandingan goal-ball ialah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Cawangan Kuantan. Kebetulan pula, venue ini tidak berapa jauh dari rumah kami. Selain saya sekeluarga, kami turut disertai oleh beberapa orang anggota keluarga kami lain yang sememangnya bermastautin di Kuantan.




Setakat yang saya maklum, selain goal-ball, terdapat beberapa jenis sukan lain yang turut dipertandingkan. Setiap jenis sukan pula dipertandingkan di venue yang berbeza pula. Selain itu, setakat yang saya maklum juga, para peserta sukan juga tinggal di tempat yang berbeza mengikut jenis sukan yang mereka sertai. Misalnya, para peserta yang terlibat dengan goal-ball tinggal di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS).



Sewaktu saya tiba di lokasi pertandingan iaitu sekitar jam 4.55 petang, pertandingan yang melibatkan pasukan dari Terengganu menentang pasukan Negeri Sembilan baru sahaja hendak bermula.




Perlawanan kali ini diadili oleh Cikgu Chin Yee Tee. Beliau juga merupakan antara bekas guru saya. Beliau pernah mengajar saya bahasa Inggeris sewaktu saya menuntut di sekolah rendah.

Dalam bidang sukan goal-ball pula, beliau sememangnya mempunyai pengalaman yang cukup luas. Kemahiran beliau dalam bidang kepengadilan untuk sukan goal-ball turut diiktiraf di peringkat antarabangsa. Selain Cikgu Chin, antara pengadil lain yang turut saya temui di lokasi pertandingan termasuklah Cikgu Nasrul dan juga En. Jahier ahussein.



Permainan ini memerlukan kemahiran melontar bola yang baik. Selain itu, ia juga turut memerlukan strategi pertahanan yang baik juga supaya bola yang dilontar lawan tidak melepasi garisan yang akan memberikan goal kepada pihak lawan.

Permainan goal-ball merupakan antara jenis sukan yang mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa. Justeru, ramai juga pemain negara kita yang berpeluang bermain di peringkat antarabangsa dalam beberapa kejohanan. Lokasi pertandingan pula berbeza-beza. Ada yang berpeluang bermain hingga ke Asia timur dan juga Eropah.

Dalam apa-apa jua kejohanan sukan yang melibatkan mereka yang cacat penglihatan, satu keunikan yang ketara ialah di mana para penontonnya hendaklah berada dalam situasi senyap. Kalau begitu suka sekalipun, mereka tidak boleh membuat bising. Almaklumlah, para pemainnya akan bergantung sepenuhnya kepada deria pendengaran masing-masing. Oleh itu, jika berlaku kebisingan, ia pasti akan mengganggu kosontrasi para pemain yang terlibat. Justeru, dalam pertandingan goal-ball seperti ini, kita sering mendengar pengadil akan berkata: “quiet please!”




Secara peribadi, saya pernah bermain permainan goal-ball iaitu sewaktu ia mula diperkenalkan di negara ini sekitar dua dekad lalu. Namun begitu, keterlibatan saya hanyalah sekadar untuk mengeluarkan peluh sahaja.Selain itu, saya juga pernah memainkan permainan tersebut di sekolah iaitu ketika sambutan Hari guru peringkat sekolah. Tujuan saya bermain ketika itu hanyalah sekadar untuk memeriahkan sambutan sahaja dan juga untuk mengambil hati anak-anak murid saya sahaja. Demikianlah.




Keputusan pertandingan kali ini ialah pasukan Negeri Sembilan telah membelasah Terengganu dengan 13 – 3. Hai, teruk nampaknya Terengganu kena belasah kali ini.

Salam dari Kuantan.






No comments: