Friday, October 10, 2014

Saari Sungib



Hampir seminggu yang lalu, saya terbaca sebuah laporan dalam sebuah portal berita tentang dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib, dicerca oleh rakan-rakan separti dengannya (PAS) hampir setiap hari sejak muktamar PAS bulan lepas. Dakwanya lagi, pelbagai cercaan dilemparkan terhadap beliau terutama selepas berlangsungnya muktamar tersebut.

Antara lain, laporan portal berita tersebut saya petik seperti berikut:

”ADUN PAS Hulu Klang Saari Sungib hari ini mendakwa beliau dicerca oleh rakannya dalam parti Islam itu setiap hari sejak Muktamar PAS di Batu Pahat.



Beliau digelar dengan pelbagai nama termasuk 'munafik' sejak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka memanggil beliau dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin sebagai 'barua' dalam persidangan tahunan parti itu.”


Sepertimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, fitnah, cerca, caci dan maki merupakan perbuatan yang tidak seharusnya dilakukan terutamanya terhadap sesama kita saudara-bersaudara. Ia merupakan perlakuan keji yang selama-lamanya dikutuk Allah dan Rasul-Nya. Selaku umat Islam, kita amat dilarang untuk menyerupakan saudara-saudara yang seagama dengan kita dengan rupa dan gelaran yang keji dan jahat. Kalimah “munafik” merupakan antara gelaran buruk dan keji yang terdapat dalam Alquran yang ditujukan kepada golongan yang mempunyai kriteria tertentu. Apabila Alquran sudah mengkategorikan munafik kepada satu-satu golongan, maka ia adalah kutukan untuk selama-lamanya.

Justeru, adalah malang jika para jemaah yang berada dalam sebuah organisasi yang berorientasikan Islam gagal mendokong aspirasi dan ciri sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama kita. Bukankah menunjukkan dan mempamirkan akhlak yang baik walaupun dalam sebuah organisasi siasah juga merupakan sebahagian daripada kaedah dakwah? Alangkah baiknya jika ungkapan caci maki itu diganti dengan kalimah-kalimah yang baik dan barunsur nasihat? Walaupun Saari sudah dewasa orangnya, tetapi masih tidak salah jika kita sama-sama memberikan pandangan berbentuk nasihat kepada beliau.

Saya penuh yakin, caci maki dalam sebuah organisasi bukan kaedah penyelesaian yang baik. Bahkan jika ia menjadi amalan yang dihalalkan, perlakuan tersebut lambat-laun bakal menyumbang kepada kehancuran organisasi berkenaan. Perbuatan caci maki dan cerca hanya akan meretakkan hubungan dalam kalangan sesama jemaah. Apatah lagi dalam keadaan di mana Saari Sungib mungkin bukan berseorangan. Beliau mungkin ada pengikut dan penyokongnya yang tersendiri. Jadi, bila Saari Sungib dicaci dan dimaki, cacian dan makian itu sedikit sebanyak akan terpalit juga kepada para penyokong setia beliau. Jika situasi sebegini dibiarkan berterusan, pastilah lambat-laun krisis perpecahan akan melanda organisasi yang berkenaan.

Jika benar Saari Sungib ada melakukan kesalahan, maka ambil sahaja tindakan yang wajar ke atas beliau. Setakat yang saya tahu, setakat ini masih belum ada sebarang tindakan rasmi yang telah diambil ke atas beliau ekoran perbuatannya yang dikatakan salah itu. Apa yang sedang dilakukan ialah siasatan ke atas Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin sedang dilakukan. Bila tindakan lambat diambil ke atasnya, maka ia hanya memburukkan keadaan sahaja. Sekiranya perbuatannya tempoh hari tidak dianggap salah, maka kenyataan rasmi hendaklah dikeluarkan supaya kecelaruan dan kekeliruan yang timbul dapat dihapuskan.

Pada hemat saya, sekiranya mana-mana pihak berminat untuk bercakap dan berbincang mengenai apa yang telah dilakukan oleh Saari dan Hasnul, ia bukanlah suatu kesalahan, asalkan ia dilakukan tanpa selitan caci maki atau ungkapan yang seumpamanya. Perbincangan juga hendaklah terarah kepada mencari kebenaran dan untuk melakukan penambahbaikan pada masa hadapan. Ia juga boleh dilakukan dengan tujuan untuk melihat kesan dari tindakan tersebut khasnya kepada organisasi yang sedang dianggotainya.

Pada masa yang sama juga, Saari dan Hasnul tidak sepatutnya membelakangkan parti yang diwakilinya terutama bila berhadapan dengan situasi genting. Sepatutnya, sebelum kedua-dua ADUN berkenaan menandatangani apa sahaja akuan seperti itu, mereka harus merujuk kepada kepimpinan parti terlebih dahulu. Walaupun niatnya mungkin baik, tetapi jika kaedah pelaksanaannya kurang sesuai (kerana membelakangkan keputusan pimpinan) ia akan berakhir dengan tidak baik juga seperti yang berlaku sekarang.

Saari Dan Hasnul juga harus memikirkan kesan tindakan mereka kepada kumpulan yang lebih besar iaitu kepada organisasi yang mereka sedang wakili. Hasil daripada menandatangani akuan berkenaan tanpa merujuk kepada kepimpinan terlebih dahulu, PAS dipermainkan oleh rakan-rakan sendiri. Kononnya ada yang beranalogi PAS masih belum pandai main bola. Di samping itu, tahap penghormatan rakan dan lawan terhadap PAS juga berada di tahap terendah sejak selepas pilihanraya umum tahun lalu. Gara-gara tergopoh-gapah menandatangani akuan berkenaan juga, menyebabkan mesyuarat jawatankuasa pusat PAS pada 17 Ogos lalu tidak lagi dipandang penting dan berkepentingan. Mesyuarat tersebut dianggap sekadar untuk memenuhi jemputan dan agenda mesyuarat sahaja. Penganalisis tertentu sudah dapat mengagak keputusan yang bakal dikeluarkan oleh mesyuarat tersebut gara-gara tindakan kedua-dua ADUN berkenaan. Selain itu, dengan membelakangkan kepimpinan parti, kekuatan PAS di DUN Selangor juga turut diragui. Walaupun PAS berkekuatan 15 kerusi, tetapi adakah benar kekuatan PAS ddi DUN Selangor benar-benar 15 orang?

Pada masa yang sama, walaupun jumlah ADUN PKR di DUN Selangor semakin mengecil, tetapi parti berkenaan boleh muncul sebagai sebuah kumpulan yang kuat dan besar yang melampaui saiz ahlinya. Semuanya ini berpunca daripada sikap membelakangkan pimpinan jemaah sendiri oleh kedua-dua ADUN PAS berkenaan. Justeru tidak pelik bilamana jawatan tertinggi eksekutif negeri masih didalam genggaman PKR sedangkan parti tersebut baru sahaja hilang satu kerusi lagi gara-gara pemecatan ke atas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bekas MB Selangor.

Ahli-ahli politik PAS tidak seharusnya mencontohi budaya “belot dan lompat” yang sering berleluasa dalam parti lain. Sesungguhnya budaya berkenaan telah merosakkan kepercayaan orang ramai terhadap organisasi yang telah membudayakannya. Kesan daripada budaya berkenaan jugalah sejarah telah memaparkan beberapa krajaan negeri dalam Persekutuan Malaysia pernah jatuh tertiarap sebelum tempoh usianya matang.

Sekiranya Saari dan Hasnul benar-benar sudah berpatah arang dengan corak dan cara kepimpinan PAS yang ada, kedua-duanya hendaklah keluar parti dahulu kemudian barulah nyatakan sokongan terhadap mana-mana kumpulan siasah yang ada. Sebaliknya selagi kedua-duanya masih ahli kepada jemaah berkenaan, adalah tidak wajar membelakangkan jemaah atas apa-apa tujuan sekali pun. Kedua-duanya sepatutnya sentiasa mendahulukan kepentingan ramai daripada kemahuan sendiri. Sebagai ahli kepada satu jemaah yang besar, kedua-dua ADUN berkenaan tidak seharusnya membelakangkan kepimpinan jemaah yang dianggotainya. Selain itu kedua-dua ADUN berkenaan juga harus mematuhi keputusan majoriti dalam jemaahnya walaupun keputusan tersebut tidak secocok dengan pendirian mereka berdua. Itulah hidup berjemaah namanya.

Sesungguhnya orang ramai khususnya di Selangor sedang tercari-cari motif sebenar di sebalik tiga peristiwa yang telah berlaku, Langkah Kajang, pemecatan Tan Sri Abdul Khalid daripada PKR dan keperluan menggantikan jawatan MB Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid dengan orang lain. Orang ramai juga sedang ternanti-nanti apakah bentuk kesalahan yang telah dilakukan oleh Tan Sri Abdul Khalid sehingga beliau dipecat daripada PKR dan harus berundur daripada jawatan MB yang disandangnya sejak tahun 2008 lalu.


No comments: