Sebesar-besar syukur kita terhadap Allah kerana telah memanjangkan usia kita lagi. Dengan kurniaan itu, kita semua dapat melangkah ke tahun hijrah yang baru iaitu 1436 hijrah. Mudah-mudahan juga kita telah selamat dan berjaya membaca doa akhir tahun hijrah sebelum masuk maghrib petang semalam dan seterusnya telah membaca doa awal tahun hijrah sejurus masuknya waktu maghrib.
Lazimnya di negara kita, setiap permulaan tahun hijrah, ia akan diselitkan dengan tema tertentu. Bukan sahaja awal tahun hijrah, banyak lagi peristiwa yang kita sama-sama lalui akan juga diselitkan dengan tema-tema tertentu. Nampaknya negara kita mungkin antara yang paling kaya dengan tema yang pelbagai.
Peristiwa hijrah pula ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Peristiwa tersebut tidak sahaja dilihat menerusi fizikalnya tetapi ia turut cuba diselami dengan pelbagai tafsiran tersirat. Tujuannya sudah tentulah untuk cuba melihat peristiwa hijrah itu dari pelbagai sudut dan persepsi.
Perpaduan merupakan aspek yang cuba dirungkai sebagai teras kepada kejayaan transformasi yang sedang diusahakan oleh pihak yang berkuasa. Dengan bersandarkan semangat hijrah, adalah diharapkan semoga pelbagai rancangan transformasi negara akan dapat dicapai menerusi perpaduan. Ia juga mungkin selaras dengan pesan orang tua-tua dahulu kala, bersatu teguh, bercerai roboh, atau bulat air kerana pembentung dan bulat manusia kerana muafakat.
Islam juga sudah lama meletakkan perpaduan sebagai asas kepada sesuatu kejayaan. Maka itulah juga, Islam menganggap seluruh umat Islam itu bersaudara. Kita sebenarnya dituntut supaya sentiasa bersatu dan berpadu umpama saudara bersaudara. Berlainan bangsa tidak sama sekali menjadi masalah kerana kita sepatutnya bersatu dan disatukan dalam satu akidah yang sama.
Selagi asas kepada perpaduan itu ialah Islam, maka saya amat yakin perpaduan amat mudah dicapai. Sebaliknya jika Islam tidak dijadikan asas utama kepada perpaduan, maka yakinlah sampai bila pun perpaduan itu tidak akan dapat dicapai. Kita selalu mendengar orang-orang politik menyeru orang ramai supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar atau supaya kita mengikut ajaran seperti yang terkandung dalam Alquran dan hadith. Sehingga kini, saya merasakan seruan sedemikian tidak lebih bagai ketam mengajar anak-anaknya supaya berjalan lurus. Apa yang saya dapat perhatikan, lazimnya dalam banyak hal orang politik tanpa mengira kumpulan mana sekali pun akan lebih mengutamakan golongan yang sealiran dengan mereka lebih dahulu. Jadi, seruan agar kita semua harus bersatu padu tak ubah bagai memukul tin kosong sahaja.
Justeru, bersempena dengan tahun baru hijrah kali ini, marilah sama-sama kita menjadikan Islam sebagai asas untuk segala-galanya. Yakinlah dengan Islam tanpa sedikit pun rasa syak, zan dan waham. Kepada orang-orang politik, anda semualah yang seharusnya terlebih dahulu menunjukkan contoh teladan bagaimana cara terbaik untuk bersatu padu atas nama Islam tanpa dibatasi oleh ideologi politik. Apa yang sering terpampang dan dipamirkan ialah walaupun sebangsa dan seagama tetapi sukar untuk golongan ahli siasah ini dilihat bersatu atas nama Islam. Jadi jika golongan ahli siasah gagal mempamirkan contoh yang betul, apa diharap pula kepada rakyat jelata!
Salam maal hijrah 1436.
No comments:
Post a Comment