Tuesday, January 19, 2016

Dato’ Onn Jaafar



Pada 19 Januari 1962, Dato’ Onn Jaafar telah kembali ke rahmatullah dalam usianya 67 tahun. Ini bermakna, pada hari ini sudah 54 tahun Allahyarham Dato’ Onn Jaafar meninggalkan bangsa dan negaranya dan menghadap Ilahi buat selama-lamanya. Walaupun Allahyarham Dato’ Onn tidak mati sebagai ahli UMNO, tetapi jasa yang ditinggalkannya sentiasa dikenang dan akan terus mekar mewangi sepanjang zaman.

(Pusara Dato' Onn yang pernah saya ziarahi pada tahun 2008)


Dato’ Onn Jaafar telah dilahirkan pada tahun 1895. Bapanya ialah Datuk Jaafar Muhammad yang juga merupakan menteri besar Johor yang pertama. Ibunya pula ialah Ruqaiyah Haneem, seorang wanita yang berasal dari Turki. Mengikut kajian seorang ahli akademik, Dato’ Onn berketurunan daripada salah seorang bendahara di zaman kesultanan Melayu Melaka.

Semasa remajanya, Dato’ Onn pernah bertugas sebagai wartawan. Beliau juga pernah memegang jawatan menteri besar Johor ketujuh antara tahun 1947 hingga tahun 1950. Selain beliau, dua orang abangnya iaitu Dato’ Mustafa dan Dato’ Abdullah juga pernah menjadi menteri besar Johor yang ketiga dan keempat. Selain itu, seorang lagi abang beliau yang seibu, iaitu Ungku Aziz bin Ungku Abdul Majid juga pernah menjadi menteri besar Johor keenam antara tahun 1936 hingga 1947.

Selain berketurunan bangsawan Melayu, Dato’ Onn juga turut meninggalkan waris yang terdiri daripada mereka yang berperanan besar dalam pentadbiran negara kemudiannya. Tun Hussein Onn, perdana menteri ketiga merupakan salah seorang anak Dato’ Onn. Selain beliau, Leftenan Jeneral (b) Datuk Jaafar Onn yang pernah menjawat jawatan tinggi dalam angkatan tentera Malaysia merupakan seorang lagi anak Allahyarham Dato’ Onn. Hari ini, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang juga merupakan menteri pertahanan merupakan salah seorang cucu Allahyarham Dato’ Onn.

Pada tahun 1946, Dato’ Onn telah dilantik selaku Yang Di-Pertua UMNO yang pertama. Ia ekoran daripada peranan besarnya yang mengetuai orang Melayu dalam penentangan mereka terhadap gagasan Malayan Union. Kemuncak kepada penentangan tersebut ialah apabila pihak penjajah British bersetuju untuk membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Satu perkara yang sering bermain dalam fikiran Allahyarham Dato’ Onn ialah bagaimana untuk meneruskan kelangsungan dan kesinambungan kuasa politik bangsa Melayu pada masa hadapan. Hal ini kerana selepas perang dunia kedua, Tanah Melayu bukan lagi hak mutlak orng Melayu sepenuhnya. Sebaliknya, orang Melayu harus bersedia untuk berkongsi tanah air mereka dengan bangsa-bangsa lain. Walaupun gagasan Malayan Union dibubarkan, tetapi kedudukan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang akan terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa merupakan sesuatu yang cukup pasti ketika itu. Justeru, Allahyarham Dato’ Onn sering mencari jalan agar kuasa politik orang Melayu tidak akan tenggelam dan lenyap dalam keadaan apa sekali pun.

Salah satu daripada usaha beliau ke arah itu ialah dengan mencadangkan agar pintu keahlian UMNO dibuka kepada orang bukan Melayu. Dato’ Onn mempunyai pandangan tersendiri dan wawasan tersembunyi di sebalik cadangan beliau itu. Namun demikian, wawasan dan pandangan tersirat Dato’ Onn tidak dapat dibaca oleh kebanyakan ahli UMNO ketika itu. Justeru, sebahagian besar ahli UMNO waktu itu telah menentang habis-habisan cadangan Dato’ Onn tersebut. Kemuncak daripada penentangan tersebut ialah apabila Dato’ Onn mengambil keputusan untuk keluar UMNO. Keputusan sedemikian tidak pernah terfikir oleh ahli-ahli UMNO yang lain ketika itu sebagaimana mereka tidak pernah terfikir apa yang tersembunyi dan yang tersirat di sebalik cadangan membuka pintu keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu oleh Dato’ Onn. Manakala Dato’ Onn pula sama sekali tidak akan menggadaikan prinsip perjuangannya dan pada masa yang sama tidak mahu memaksa para ahli UMNO supaya menerima cadangan beliau. Maka itulah beliau telah mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO. Keputusan tersebut juga merupakan tolak ansur dan pengorbanan yang cukup besar daripada Dato’ Onn bagi kelangsungan UMNO sebagai sebuah badan siasah terpenting bagi orang Melayu.

Keputusan untuk meninggalkan UMNO merupakan satu keputusan yang amat berat. Bahkan beberapa pemimpin UMNO ketika itu turut sama berdukacita dengan keputusan yang diambil oleh Dato’ Onn. Setelah keluar UMNO, perjuangan Dato’ Onn tidak lagi berada pada arus perdana perjuangan orang Melayu dan UMNO. Namun demikian, walaupun Dato’ Onn meninggalkan UMNO, dalam sejarah perjuangannya beliau tidak pernah mengkhianati orang Melayu. Sebaliknya beliau sentiasa berjuang untuk orang Melayu dari luar UMNO.

Langkah Dato’ Onn seterusnya bagi merealisasikan hasratnya ialah dengan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu atau Independence Malaya Party (IMP). IMP merupakan sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum. Walau bagaimanapun, hasratnya untuk melihat sebuah parti politik yang terdiri daripada pelbagai kaum gagal. Ia mungkin disebabkan jurang perbezaan kaum yang masih ketara ketika itu. Ia juga mungkin disebabkan kebimbangan orang Melayu sendiri yang belum mempunyai kekuatan yang tinggi untuk bersaing dengan kaum-kaum lain secara terbuka terutamanya dalam bidang ekonomi. Walaupun orang Melayu ketika itu masih belum bersedia untuk berada dalam satu parti politik dengan kaum-kaum lain, ia tidak bermakna mereka tidak boleh menerima kaum lain untuk tinggal bersama di tanah Melayu. Bahkan sejarah telah membuktikan keikhlasan orang Melayu untuk berkongsi tanah air mereka dengan kaum-kaum lain dengan permintaan yang cukup munasabah dan longgar.

Seperti yang saya nyatakan tadi, setelah Dato’ Onn keluar UMNO, beliau tidak lagi berada pada arus perdana perjuangan orang Melayu. Sebab itulah juga Dato’ Onn tidak terlibat secara langsung dalam rundingan kemerdekaan, bukan merupakan salah seorang menteri dalam kabinet pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, apatah lagi sebagai perdana menteri pertama Tanah Melayu. Saya penuh yakin, Dato’ Onn tidak pernah kesal dengan jalan perjuangan yang telah beliau pilih sendiri.

Dalam pilihanraya umum tahun 1959, Dato’ Onn telah berjaya dipilih sebagai ahli parlimen bagi kawasan Kuala Terengganu Selatan. Beliau telah bertanding atas tiket Parti Negara yang telah ditubuhkannya selepas kegagalan IMP. Di parlimen, beliau terus menyuarakan idea bernas ke arah perpaduan dan pembangunan orang Melayu.

Akhirnya pada 19 Januari 1962, Dato’ Onn telah menghembuskan nafas terakhirnya. Walaupun beliau meninggal dunia bukan sebagai pimpinan tertinggi negara, tetapi sanjungan dan penghormatan masyarakat terhadap beliau kekal segar hingga kini. Jika harimau mati meninggalkan belang, Dato’ Onn pula mati meninggalkan jasa.

Untuk menonton/mendengar salah satu dokumentari mengenai Dato' Onn, sila klik
di sini

No comments: