Sunday, January 24, 2016

Kemelut Politik Kedah




Sejak Rabu lalu, politik negeri Kedah mula goncang. Ia ekoran daripada tindakan segelintir ahli UMNO yang mengemukakan rasa hilang kepercayaan terhadap menteri besar yang ada, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Rasa hilang kepercayaan tersebut telah dikemukakan sendiri oleh timbalan pengerusi badan perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Basha Md Hanifa. Kononnya rasa hilang kepercayaan tersebut mendapat sokongan daripada sebahagian besar kepimpinan UMNO Kedah.

Walau bagaimanapun, sehari kemudian, beberapa pihak dalam kepimpinan UMNO Kedah sendiri telah menafikan bahawa tindakan meluahkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz disokong oleh keseluruhan kepimpinan UMNO Kedah. Satu demi satu pihak telah menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz sebagai menteri besar Kedah. Ada juga yang mendakwa kononnya kehadiran mereka dalam pertemuan tersebut kerana tidak diberitahu lebih awal tujuan pertemuan berkenaan diadakan. Maknanya dakwaan kononnya tindakan untuk meluahkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan menteri besar sebenarnya tidak mendapat sokongan dari keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Kedah mungkin ada benarnya. Hingga kini, agaknya Datuk Seri Ahmad Basha sendiri tidak pasti berapa ramaikah individu dalam kepimpinan UMNO Kedah yang benar-benar dan ikhlas menyokong tindakan beliau. Bukankah pendirian ahli politik itu boleh berbolak-balik dalam masa sekelip mata sahaja?

Bagi saya, pada masa ini, Datuk Seri Mukhriz tidak akan mudah mengalah dengan apa yang sedang melanda politik Kedah. Bagi saya, beliau ada kekuatan tersendiri untuk mempertahankan kedudukannya selaku pemimpin nombor wahid Kedah sama ada selaku menteri besar mahupun selaku pengerusi badan perhubungan UMNO negeri tersebut. Saya merasakan Datuk Seri Mukhriz masih mendapat sokongan daripada sebahagian besar rakyat Kedah. Selain itu, jawatan menteri besar yang sedang disandang beliau juga telah mendapat perkenan daripada DYMM Tuanku Sultan Kedah. Dalam menghadapi situasi getir seperti ini, Datuk Seri Mukhriz tidak keseorangan. Beliau tentunya akan sentiasa mendapat sokongan, semangat serta kekuatan daripada pihak-pihak tertentu yang sememangnya sudah berpengalaman luas dalam bidang siasah. Pelbagai strategi mungkin sedang diatur bagi mempertahankan kedudukan dan jawatan Datuk Seri Mukhriz. Kita harus sentiasa ingat, jika kita ada strategi tertentu, orang lain pun ada strateginya yang tersendiri juga.

Jika Datuk Seri Ahmad Basha benar-benar yakin bahawa tindakan beliau mendapat sokongan besar daripada pihak-pihak tertentu, cara terbaik untuk menurunkan Datuk Seri Mukhriz selaku menteri besar ialah menerusi undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mukhriz di DUN Kedah bukan bermakna tidak percaya terhadap kerajaan negeri yang sedia ada. Ia sekadar tidak percaya terhadap kedudukan Datuk Seri Mukhriz selaku menteri besar semata-mata. Sekiranya apa yang diusulkan itu mendapat sokongan daripada sebahagian besar ADUN dari BN saya yakin sesiapa pun tidak boleh menghalang perubahan kepimpinan negeri yang diingini atau mempertahankan lagi kedudukan Datuk Seri Mukhriz selaku menteri besar.

Bagi saya, walaupun mungkin tindakan Datuk Seri Ahmad Basha ada mendapat restu daripada mana-mana pihak dari luar Kedah, tetapi jika ia gagal mendapat sokongan bulat dan padu daripada dalam Kedah sendiri maka tidak mungkin usahanya untuk mengenepikan Datuk Seri Mukhriz daripada barisan kepimpinan politik Kedah akan berjaya. Sepatutnya pihak-pihak yang ingin mengenepikan Datuk Seri Mukhriz harus belajar dan mengkaji terlebih dahulu apa yang pernah berlaku di Perlis (2008), di Terengganu (2008 dan 2014) serta di Selangor (2014) yang lalu. Bukannya mudah untuk mengenepikan seseorang menteri besar yang sudah selesa di kerusinya. Tindakan yang patut dilakukan ialah bagai menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus dan tepung tidak berselerak.

Mengapa usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Mukhriz tidak dilakukan menerusi DUN? Mungkin antara sebabnya ialah Datuk Seri Ahmad Basha sendiri tidak yakin bahawa tindakan beliau akan disokong oleh majoriti ADUN Kedah. Demi kestabilan pentadbiran yang ada, ada kemungkinan besar ADUN dari pembangkang juga tidak menyokong usul sedemikian. Lagi pun, kalau ahli pembangkang memberi sokongan, mereka tidak dapat apa-apa laba pun. Jawatan menteri besar tetap bukan mereka yang punya. Mungkin oleh kerana itu jugalah maka rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz terpaksa diusulkan di sebuah hotel sahaja.

Sekarang sudah terang lagi bersuluh, Datuk Seri Mukhriz sudah pun mengetahui dengan nyata siapakah sebenarnya musuh-musuh politiknya yang terdiri dalam kalangan ahli-ahli yang separti dengannya. Ini akan memudahkan beliau untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengukuhkan lagi kedudukan politik beliau selaku menteri besar kedah demi kestabilan pentadbiran negeri dan UMNO/BN. Jika tindakan Datuk Seri Ahmad Basha ini gagal, ia hanya menunjukkan kegelojohannya dan kedangkalan beliau dalam berpolitik. Tindakan Datuk Seri Ahmad Basha ini juga kurang sesuai kerana masa semakin hampir untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-14. Sepatutnya langkah-langkah ke arah mengukuhkan perpaduan dalam UMNO/BN harus diambil dan bukannya usaha ke arah mengeruhkan lagi keadaan yang ada.

Tindakan gelojoh Datuk Seri Ahmad Basha juga boleh menyumbang kepada keretakan dalam UMNO Kedah. Ia boleh menyebabkan UMNO Kedah akan terbahagi kepada dua kumpulan. Keadaan seperti ini amat tidak sihat jika UMNO benar-benar berhasrat ingin mempertahankan Kedah dalam pilihanraya umum yang akan datang. Kita harus ingat, antara sebab kegagalan PAS mempertahankan Kedah dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu adalah kerana parti tersebut khususnya di Kedah telah terpecah kepada kumpulan tertentu. Jika sejarah yang sama dituruti oleh UMNO Kedah, maka tidak hairan jika akibat yang serupa juga akan dialami oleh UMNO/BN di Kedah khususnya dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Kalau pun Datuk Seri Ahmad Basha teringin sangat menjadi menteri besar Kedah, beliau sepatutnya perbanyakkan doa, solat hajat, tawakal dan bersabar. Sekiranya jawatan tersebut akan menjadi rezeki beliau suatu hari nanti, maka apabila tiba masanya jawatan tersebut akan beliau beroleh juga kerana takkan lari gunung dikejar. Jika jawatan tersebut bukan rezeki untuknya, walaupun sudah ada di mulut, ia akan terjatuh jua. Siapa yang bakal melopong nanti? Mungkin masa yang paling sesuai untuk melakukan peralihan kepimpinan di Kedah ialah selepas pilihanraya umum ke-14 nanti dan bukannya sekarang. Itu pun strategi yang jitu harus dirancang supaya individu yang beroleh jawatan menteri besar tidak hanya berkuasa untuk sepenggal sahaja.

Apa yang sepatutnya dilaksanakan oleh UMNO/BN di Kedah ialah usaha yang berterusan ke arah mengukuhkan lagi perpaduan dalam parti. Lagipun pada masa ini parti pembangkang khasnya PAS belum cukup kuat untuk merampas kembali Kedah dalam pilihanraya umum yang akan datang. Penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) sedikit sebanyak telah membantutkan usaha PAS untuk mengambil semula tampuk kepimpinan negeri daripada UMNO/BN. Berkuburnya Pakatan Rakyat semakin menyukarkan usaha kumpulan pembangkang di Kedah untuk berkuasa semula dalam masa terdekat. Manakala kewujudan Pakatan Harapan belum pasti berupaya untuk menguasai tampuk pemerintahan negeri dalam masa terdekat. Lagi pun populariti Pakatan Harapan belum diuji lagi dalam mana-mana pilihanraya. Sepatutnya UMNO/BN mengambil kesempatan yang ada untuk mengukuhkan kekuasaan mereka di Kedah. Sebaliknya jika UMNO/BN sendiri dilanda keadaan haru-biru, maka perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang tidak akan memberi sebarang makna kepada UMNO/BN itu sendiri. Dua-dua pihak sama dua kali lima sahaja.

Di sini, saya suka menarik perhatian iaitu ketidakstabilan yang berlaku sama ada dalam UMNO/BN mahupun PAS di Kedah, bukan sahaja akan memberi kesan kepada kedua-dua parti berkenaan. Sebaliknya ia turut memberi tempias kepada keutuhan orang Melayu dan rakyat keseluruhannya di negeri berkenaan. Dalam pilihanraya umum ke-12 lalu, orang Melayu telah memberi sedikit kepercayaan kepada PAS untuk mentadbir negeri. Namun demikian, akhirnya kepercayaan tersebut telah dipersiakan bilamana berlaku perpecahan dalam PAS Kedah. Ini menyebabkan rakyat Kedah telah membuat pusingan U menerusi pilihanraya umum ke-13 dengan mengembalikan sokongan mereka kepada UMNO/BN. Walau bagaimanapun, kali ini hal yang hampir serupa juga berlaku dengan tindakan gopoh dan gelojoh daripada pemimpin tertentu. Nanti kalau orang Melayu dan rakyat yang lain memberi sokongan padu kepada parti yang lain baru tahu! Sejarah sering membuktikan iaitu perpecahan dalam jamaah akan mengakibatkan jamaah tersebut kehilangan kuasa dan mungkin juga negara. Ingat sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna lagi.

Saya bukannya ahli politik. Saya juga bukan penyokong tegar mana-mana kumpulan politik. Saya sekadar mengemukakan pandangan saya yang tidak sepertinya tentang politik. Saya ingin jadi warganegara yang peduli pada agama, bangsa dan negara saya menerusi tulisan seperti ini.


No comments: