Friday, January 29, 2016

Alunan Bacaan Tarhim Waktu Subuh




Lazimnya alunan tarhim akan dikumandangkan sekitar 15 minit sebelum masuknya waktu solat subuh. Secara umumnya Tarhim ialah bacaan yang mengandungi rayuan dan permohonan keafiatan serta keampunan daripada Allah. Pada masa lalu, bacaan tarhim ini akan dikumandangkan di hampir setiap masjid dan surau di negara kita. Sama ada alunannya menggunakan pembesar suara atau sebaliknya, ia bergantung kepada kemudahan yang ada di masjid dan surau itu sendiri. Sudah menjadi kebiasaan di mana alunan bacaan tarhim berkenaan akan dialunkan sendiri oleh salah seorang jemaah yang sememangnya sudah ditugaskan untuk tujuan tersebut. Biasanya ia akan menjadi sebahagian daripada tugas tuan bilal.

Kebiasaannya juga orang yang ditugaskan untuk mengalunkan bacaan tarhim mempunyai suara yang agak merdu. Di samping itu, orang berkenaan juga pandai mengalunkan bacaan tarhim tersebut sehinggakan barang siapa yang mendengarnya akan begitu merasa sayu dan syahdu apatah lagi pada hening waktu subuh. Bahkan ada ketikanya jika alunan bacaannya begitu sayu dan syahdu, ia boleh menyebabkan sesetengah orang yang mendengarnya mengalirkan air mata tanpa disedarinya. Begitulah.

Mari tonton dan dengar bacaan tarhim di sini


Apabila alunan tarhim dikumandangkan, ia bermakna waktu subuh sudah hampir masuk. Bagi sesetengah orang, alunan tarhim yang kedengaran akan menandakan mereka perlu segera ke masjid untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah. Bagi sesetengah orang yang lain pula, alunan tarhim menandakan masa untuk mereka bangun tidurbagi memulakan aktiviti pada hari tersebut. Oleh kerana bacaan tarhim merupakan rayuan hamba kepada Tuhannya bagi keampunan dan sebagainya, maka alunan yang dikumandangkan merupakan terapi jiwa yang cukup berkesan yang mendalam terhadap ketenangan jiwa dan mental. Sebab itulah bagi golongan orang yang sedemikian, alunan bacaan tarhim yang sayu dan mendayu boleh memberikan mereka ketenangan jiwa yang tidak tergambar oleh kata-kata.

Seingat saya, pada dekad 70-an, masih tidak kedengaran isu alunan tarhim atau bacaan Alquran sebelum subuh boleh mengganggu masyarakat sekeliling. Ia mungkin kerana alunan bacaannya dilakukan dengan penuh tertib dan mengikut standard operasi (SOP) sebagaimana sepatutnya dan diiktiraf oleh masyarakat sekeliling ketika itu. Walaupun ketika itu (hingga ke hari ini pun) alunan bacaan tarhim tidak punya pengaruh yang kuat untuk mengajak sekalian muslimin di sekelilingnya untuk ke masjid pada waktu subuh secara beramai-ramai, namun alunan bacaannya tetap diteruskan pada setiap pagi tanpa jemu. Tidak ada mana-mana pihak yang ada mengutarakan saranan agar alunan tarhim berkenaan diperlahankan atau dihentikan dengan alasan gagal menarik masyarakat sekeliling untuk memenuhi masjid atau surau untuk solat berjemaah pada waktu subuh. Biar pun yang datang ke masjid atau surau tidak sampai pun satu saf, alunan bacaan tarhim tetap diperdengarkan pada keesokan paginya. Begitulah seterusnya.

Hari ini, keadaan mula berubah. Sesetengah masjid atau surau tidak lagi berupaya memperdengarkan alunan bacaan tarhim lagi. Ia sudah mula digantikan dengan bacaan Alquran daripada MP3 sahaja. Bahkan ada sesetengah surau atau masjid hanya mampu memperdengarkan siaran dari radio tertentu sebagai menggantikan alunan bacaan tarhim yang pernah berkumandang suatu ketika dahulu. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka yang boleh dan sudi untuk mengalunkan bacaan tarhim semakin berkurangan. Bila timbul saranan hanya azan dan iqamah sahaja yang boleh diperdengarkan menerusi pembesar suara, maka amalan memperdengarkan alunan bacaan tarhim akan semakin pupus.

Saya tidak menafikan iaitu ada sesetengah masjid atau surau yang kurang peka untuk mengikut kaedah yang betul apabila memperdengarkan alunan bacaan tarhim atau ayat-ayat suci Alquran menerusi pembesar suara. Antara perkara yang seharusnya diberi perhatian ialah pembesar suara tersebut tidak perlu dipasang terlalu kuat. Tempoh memperdengarkan bacaan Alquran atau alunan tarhim juga jangan terlalu panjang. Rasanya 10 hingga 15 minit sebelum masuknya waktu subuh atau waktu solat yang lain sudah memadai. Bagi aktiviti tertentu, mungkin tidak sesuai untuk menggunakan alat pembesar suara luar masjid. Cukup jika pembesar suara dalam masjid sahaja yang digunakan. Lagi pun ada nas-nas tertentu agar bacaan Alquran tidak dibaca terlalu kuat hingga boleh mengganggu orang lain. Namun demikian, ia tidaklah bermakna kita hanya boleh membaca dalam hati sahaja. Bacaan Alquran atau alunan tarhim masih boleh diteruskan dengan suara yang sederhana iaitu tidak terlalu kuat atau tidaklah terlalu perlahan.

Sesungguhnya bacaan Alquran itu terlalu besar manfaatnya. Jika kita mendengar akan bacaannya pun ia sudah merupakan ubat yang mujarab khususnya untuk merawat jiwa dan mental. Ia juga berupaya memberikan ketenangan yang tidak tergambar oleh kata-kata.

Untuk menonton pandangan mengenai larangan menguatkan suara bacaan tarhim, Quran atau zikir di speaker masjid selain azan, sila klik
di sini


Mana yang baik marilah kita teruskan. Mana yang kurang baik, marilah sama-sama kita buat penambahbaikan.



No comments: