Monday, February 1, 2016

Isu Menteri Besar Kedah: Sekadar Harapan




Sehingga lewat petang tadi, masih belum ada penyelesaian muktamad mengenai isu menteri besar Kedah. Ia sudah pun berpanjangan hampir dua minggu lamanya. Setakat ini, orang-orang politik mungkin sudah melaksanakan pelbagai strategi dan pelan dengan tujuan untuk menamatkan segera isu berkenaan. Namun demikian, ia masih gagal untuk diselesaikan. Selagi agenda politik masih di atas, maka tidak mungkin ia akan dapat diselesaikan dengan mudah. Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, semua pihak yang terlibat ada strateginya masing-masing.

Dari satu segi, ia merupakan masalah politik dan masalah dalaman sebuah parti siasah. Walau bagaimanapun, ia kemudiannya telah merebak kepada masalah kepimpinan peringkat negeri pula. Setakat ini, pihak-pihak yang menjangkakan bahawa isu ini dapat diselesaikan dalam masa singkat, ternyata jangkaan sedemikian meleset sama sekali. Seperti yang dinyatakan tadi, isu ini sudah berlarutan hampir dua minggu lamanya. Dua minggu bukannya singkat, apatah lagi dalam konteks pembangunan negara dan usaha untuk mencapai Wawasan 2020.

Memang benar, setakat ini isu ini belum lagi melumpuhkan jentera pentadbiran negeri. Setakat yang saya maklum, pentadbiran berjalan seperti biasa. Apatah lagi kakitangan awam seperti saya sememangnya tidak boleh campur dalam urusan mana-mana parti politik secara langsung. Kami harus berkecuali setiap masa. Perkhidmatan yang diberi mesti saksama dan sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira ideologi politik masing-masing.

Namun demikian, isu seperti ini sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan kakitangan awam dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab harian masing-masing. Jika kakitangan awam itu adalah anak-anak dan orang politik yang mentadbir itu ada ibu bapa, maka adalah tidak molek bila ibu bapa berkelahi secara terbuka di hadapan anak-anak. Ia akan memberi imej yang negatif kepada anak-anak itu sendiri. Ibu bapa sepatutnya sentiasa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa tidak seharusnya mendidik anak-anak mereka bagai ketam menyuruh anaknya supaya berjalan lurus, pada masa yang sama ibu bapa sendiri berjalan bengkang-bengkok. Itu bukan kepimpinan melalui teladan namanya.

Bila ibu bapa berkelahi sesama mereka, anak-anak lazimnya akan diam ketakutan. Kalau ada anak yang berani bersuara, dia pasti akan kena marah. Kalau ibu atau bapanya dari jenis yang garang tak menentu, ada kemungkinan anak yang bersuara itu akan kena tampar atau mungkin juga kena usir dari rumah. Demikianlah nasib kakitangan awam.

Sepertimana yang dinyatakan tadi, isu ini sudah berpanjangan hampir dua minggu lamanya. Sekiranya masa sedemikian digunakan dengan memberi tumpuan kepada kerja untuk membantu rakyat, mungkin sudah banyak yang telah dapat dilakukan. Apakan daya, orang politik seringkali tidak mengutamakan rakyat dalam tindak-tanduk mereka. Yang sering difikirkan ialah kuasa, kuasa, kuasa. Adakalanya mereka pandai berkata-kata kononnya kuasa yang mereka dapat adalah amanah. Namun begitu, apa yang sedang berlaku seolahnya menunjukkan ada dalam kalangan orang politik tak tahu memikul amanah. Mereka sekadar tahu bercakap sahaja.

Oleh yang demikian, segeralah selesaikan isu ini supaya keadaan dapat pulih seperti sediakala. Berilah ruang yang selesa untuk anak-anak belajar, bermain dan bekerja. Tunjukkanlah contoh yang baik kepada anak-anak untuk diteladani.

Saya sekadar menulis coretan sahaja.

No comments: