Petang tadi, saya dan isteri berkesempatan menziarahi isteri En. Hanafiah di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Menurut En. Hanafiah, isterinya telah dimasukkan ke HKL petang semalam. Menurutnya lagi, isterinya menghidap denggi berdarah. Selain itu, isterinya juga mengalami beberapa komplikasi lain. Saya dan isteri turut berkesempatan masuk ke wad ICU di mana isterinya sedang ditempatkan. Waktu itu, isterinya masih belum sedar lagi.
En. Hanafiah merupakan bekas penolong kanan tadbir dan kurikulum di SMPK Setapak. Beliau telah pun bersara pada hujung Januari 2014 yang lalu. Mereka yang lama berkecimpung dalam pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan pastinya masih kenal dan ingat kepada Cikgu Hanafiah.
Kepada seluruh warga SMPK Setapak, bekas warga sekolah serta bekas murid SMPK Setapak, marilah kita sama-sama merafakkan doa semoga isteri En. Hanafiah akan sembuh dan pulih seperti sedia kala. Kepada En. Hanafiah dan keluarga, bersabarlah dengan ujian daripada Allah ini. Walaupun isterinya sedang kritikal, En. Hanafiah masih tenang dan masih mampu mengawal emosinya. Tinggi sungguh kesabaran beliau.
Untuk maklumat semua, isteri En. Hanafiah sedang ditempatkan di tingkat 3, wad 10, katil 6, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
No comments:
Post a Comment