Hari ini, teka-teki kesudahan pergolakan jawatan menteri besar Kedah akhirnya terjawab juga. Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa melepaskan jawatan menteri besar Kedah yang disandangnya selepas pilihanraya umum ke-13 yang lalu. Sama ada suka atau tidak, rela atau sebaliknya, Datuk Seri Mukhriz terpaksa meninggalkan kerusi empuk menteri besar yang tidak sempat didudukinya hingga ke pilihanraya umum selanjutnya. Demikianlah dunia politik. Mereka sering mengharapkan panas hingga ke hujung musim, tetapi hujan sering turun di pertengahan musim.
Sidang akhbar perletakan jawatan selaku menteri besar oleh Datuk Seri Mukhriz
Datuk Seri Mukhriz mungkin mangsa keadaan. Dek kerana gajah dengan gajah sedang beramuk, kebetulan beliau adalah pelanduk yang berada di tengah-tengah. Maka terpenyeklah beliau kali ini.
Kalau dilihat sejarah pertukaran menteri besar di Kedah, pertukaran jawatan di pertengahan penggal bukanlah sesuatu yang asing. Hal yang sama pernah berlaku sebelum ini. Tentu kita semua masih ingat bagaimana pertukaran yang berlaku antara Tan Sri Osman Arof dengan Tan Sri Sanusi Junid sekitar dua dekad yang lalu. Ia juga berlaku di pertengahan penggal. Bahkan ketika itu majoriti ADUN Kedah masih menyokong Tan Sri Osman Arof. Namun demikian atas kemahuan Tun Dr. Mahathir yang pada ketika itu sebagai presiden UMNO dan juga perdana menteri, soal majoriti bukan menjadi pertimbangan. Akhirnya Tan Sri Sanusi Junid dinaikkan sebagai menteri besar setelah Tun Dr. Mahathir berjaya mengubah sokongan ADUN Kedah daripada menyokong Tan Sri Osman Arof kepada menyokong Tan Sri Sanusi Junid.
Kini hal yang hampir serupa terjadi lagi. Kali ini giliran Datuk Seri Mukhriz pula yang menjadi wataknya. Bezanya kali ini, majoriti ADUN BN awal-awal lagi telah menyatakan hilang sokongan kepada Datuk Seri Mukhriz.
Jika dahulu Tun Dr. Mahathir adalah orang yang telah berperanan dalam pertukaran menteri besar antara Tan Sri Osman Arof dengan Tan Sri Sanusi Junid, kini pihak lain pula telah berperanan dalam menukarkan menteri besar Kedah daripada Datuk Seri Mukhriz (anak Tun Dr. Mahathir) kepada Datuk Seri Ahmad Basha pula. Jika dahulu orang menonton apa yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir, kini tiba pula giliran Tun Dr. Mahathir menonton sendiri hal yang hampir serupa berlaku ke atas anaknya sendiri. Demikianlah.
Puisi Melayu Mudah Lupa
Adakah Tun Dr. Mahathir juga sudah lupa?
No comments:
Post a Comment