Thursday, February 25, 2016

Kerjasama PERTIS - UKM




Sudah hampir dua tahun saya tidak lagi selaku Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Namun demikian, setiap perkembangan dalam persatuan tersebut sentiasa mendapat perhatian saya. Rasanya bukan sahaja saya yang memberi perhatian sedemikian, bahkan rasanya seluruh ahli PERTIS, golongan cacat penglihatan yang masih bukan ahli dan masyarakat umum juga turut berbuat hal yang sama.

(Foto penyerahan buku Iqra' oleh USIM kepada PERTIS pada 29 Disember 2010)


Rasanya semua pihak maklum bahawa kerjasama antara PERTIS dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah membuahkan hasilkan yang cukup memberangsangkan. Beberapa buah kitab telah berjaya dihasilkan ke dalam bentuk Braille. Antaranya yang paling mendapat sambutan ialah buku Iqra’. Selain itu, buku haji dan umrah juga turut mendapat sambutan yang baik daripada pengguna Braille.

Hari ini, PERTIS telah mengorak selangkah lagi apabila kerjasamanya dengan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah berjaya menghasilkan kitab 40 hadith Imam Nawawi dalam bentuk Braille. Sebagaimana yang kita semua maklum, selama ini pun kitab-kitab hadith sememangnya sukar untuk ditemui dalam bentuk tulisan Braille. Sebelum ini pun, maklumat tentang hadith banyak diperolehi melalui mendengarnya menerusi pelbagai media seperti radio dan TV, CD dan VCD, kuliah di masjid dan surau serta menerusi pelbagai bentuk majlis ilmu yang lain. Dengan erti kata lain, maklumat tentang sesuatu hadith banyak diperolehi menerusi mendengar dan bukannya menerusi pembacaan di mana-mana kitab. Dengan terhasilnya buku hadith 40 Imam Nawawi ke dalam bentuk tulisan Braille, maka golongan cacat penglihatan berpeluang untuk membaca sendiri hadith berkenaan secara terus daripada kitab hadith yang telah berjaya di transkripsikan dalam bentuk Braille.

Menurut Dr. Yunus, salah seorang pensyarah yang terlibat dalam kerjasama berkenaan, pihaknya bercadang untuk mengusahakan lebih banyak lagi hadith supaya dapat ditranskripsikan ke dalam bentuk tulisan Braille. Bahkan beliau serta beberapa pensyarah lain turut berharap agar suatu hari kelak, mereka akan berjaya mentranskripsikan kitab hadith yang lebih besar seperti Sahih Bukhari atau Muslim. Walaupun matlamat sebegini nampak sukar pada ketika ini, tetapi ia tidak mustahil untuk dicapai jika ada usaha dan kerjasama yang berterusan antara kedua-dua pihak yang disisipkan dengan doa daripada semua pihak yang berkepentingan.

(Saya menyerahkan buku 40 hadith Imam Nawawi bertulisan Braille kepada Dr. Yunus)


Selaku salah seorang AJK Biro Penerbitan PERTIS, saya telah diberi tanggungjawab untuk menyerahkan buku 40 hadith oleh Imam Nawawi yang telah siap ditranskripsikan dalam bentuk Braille kepada Dr. Yunus dari UKM. Usaha awal penyalinan 40 hadith berkenaan telah dilaksanakan oleh sekumpulan pihak daripada UKM yang diketuai oleh Dr. Yunus sendiri. Manakala tugas kami di PERTIS pula mentranskripsikan apa yang telah disalin itu ke dalam bentuk Braille. Selain itu, tugas kami juga untuk menyemak agar apa yang telah ditranskripsi itu memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan khasnya yang berkaitan dengan ciri-ciri penulisan Braille itu sendiri.

Sesungguhnya usaha sebegini sememangnya tampak sukar untuk dilaksanakan secara berterusan jika tiada komitmen tinggi daripada semua pihak. Dari itu, adalah diharapkan semoga pihak PERTIS akan mengambil segala daya dan upaya yang ada untuk memastikan usaha sebegini akan berterusan dan tidak terhenti di pertengahan jalan.

Namun demikian, ada juga saya terdengar desas-desus kononnya ada pihak tertentu yang meminta agar kitab seperti ini ditulis dalam kod braille wasilah. Secara peribadi, saya beranggapan permintaan seperti ini memang tidak masuk akal. Kebetulan pula pihak yang mengajukan permintaan sedemikian langsung tidak pernah tahu walaupun sebutir titik braille. Oleh itu, biarlah pengguna braille sendiri yang menentukan bentuk tulisan braille yang bagaimana untuk kegunaan kami. Kalau pun hendak bercakap fasal tulisan Arab Braille, mahirkan dahulu menulis dan membaca alif sampai ya dalam braille!!!

Selain itu, saya juga suka mengingatkan agar mana-mana AJK atau kakitangan PERTIS yang sudah ada menyimpan soft copy kitab berkenaan, atau apa-apa soft copy sekali pun, jagalah baik-baik jangan sampai dikebas orang lagi. Maklumlah jika kita masih gagal belajar dari sejarah lepas, maka kita mungkin akan dihukum lagi dengan mengalaminya untuk ke sekian kali pada masa akan datang.

Bila saya memberi perhatian terhadap sesuatu organisasi, tidak bermakna saya bersikap ingin jaga tepi kain sesiapa. Sebaliknya ia lebih kepada tanggungjawab saya selaku ahli ataupun selaku orang awam yang sekadar ingin melaksanakan check and balance ke atas sesuatu isu, perkara atau sesebuah organisasi. Itu sahaja.


No comments: