Friday, February 19, 2016

Pendakwah



Sejak kebelakangan ini, kita mula disajikan dengan gelagat sesetengah pendakwah yang agresif tak tentu fasal dan kadangkala bersifat provokatif. Dengan kecanggihan teknologi maklumat semasa, perlakuan yang tak semenggah tersebut boleh ditonton dengan begitu mudah sekali melalui pelbagai aplikasi seperti laman Youtube. Oleh kerana ia sudah memasuki gerbang maya (internet), maka perlakuan, percakapan, tuduhan dan sebagainya boleh ditonton oleh sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa sempadan lagi. Maklumlah segalanya boleh tersebar di pelbagai laman sosial dengan mudah dan pantas sekali. Adakah kita sedar semuanya ini?

Apa yang lebih malang lagi, ada pendakwah dengan mudah boleh mengkafirkan antara sesama Islam tanpa sebarang asas. Orang yang dikafirkan itu pula bukan sembarangan orang. Sama ada orang berkenaan yang setokoh dengannya atau pun yang lebih hebat lagi ketokohannya. Sebagai tokoh ilmuwan Islam, sepatutnya dia tahu bahawa tuduhan kafir ke atas sesama Islam merupakan sesuatu yang cukup berat dan punya implikasi ke atas tukang tuduh itu sendiri. Jika dekad 80-an dahulu isu takfir ini berlaku kerana isu politik, tetapi kini isu yang sama berlaku mungkin kerana krisis intelektualisme. Kalau kita tonton ceramahnya, mudah sahaja orang yang berkenaan mengkafirkan tokoh-tokoh tertentu. Sikit-sikit kafir, sikit-sikit kafir. Ingat-ingatlah sikit mafhum hadith Rasulullah yang antara lain mengatakan, barang siapa yang mengkafirkan saudaranya (sesama Islam), maka ia akan berbalik kepada orang itu sendiri. Barang dijauhkan Allah kita semua daripadanya.

Selain itu, orang yang berkenaan juga mudah untuk memperlekehkan kelulusan orang lain. Macamlah dia berkelulusan tinggi sangat. Kalau tokoh lain tidak sehaluan dengannya, habis M.A dan phD orang berkenaan jadi sasaran kritikannya. Menulis buku biasa dengan menyediakan tesis untuk peringkat sarjana atau phD memang ada bezanya. Cabaran dan rintangannya turut berbeza. Komitmenya juga berbeza.

Selain melemparkan kritikan membuta-tuli, pada masa yang sama dia turut menonjolkan dirinya sendiri. Kononnya sudah tulis 20 buah buku. Jadi orang lain diperbodohkannya sahaja. Sepatutnya kelebihan diri sendiri tidak perlu dicanang sebegitu rupa. Kalau salah cakap, boleh jadi riak pula. Antara dakwah dengan berlagak memang jauh bezanya.

Jika kaedah berdakwah tidak betul, tujuan dan matlamat asal berdakwah pasti jauh daripada tercapai. Orang ramai semakin menjauhkan diri kerana benci dengan keangkuhan pendakwah tadi. Orang hanya akan tonton menerusi cari lain itu pun sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja. Orang seperti inilah sebenarnya yang sering mencemarkan nama baik Islam.

Bagi pendakwah yang baik, bila orang ramai mendengar apa yang disampaikannya, orang semakin berminat untuk mendengarnya. Bila pendakwah berkenaan mengadakan ceramah, kuliah dan pengajian kitab, orang ramai akan datang berbondong-bondong untuk mengikutinya. Pendakwah yang baik pula tidak akan mengeraskan suaranya kerana itu akan menyebabkan orang lain tidak gemar dan seterusnya akan menjauhkan diri daripada pendakwah yang sedemikian. Apa yang lebih penting, pendakwah yang baik tidak sesekali mengkafirkan sesama saudara Islamnya. Jika ada perkara yang berbeza pandangan, ia boleh menerimanya dengan berlapang dada asalkan perbezaan itu berasas dan boleh diterima kerana disokong oleh fakta ilmiah. Sedangkan imim yang empat pun boleh berbeza pandangan, ini pula kita sekadar pengikutnya sahaja.

Pendakwah yang bijak juga tidak sombong dan tidak angkuh. Apatah lagi untuk menganggap dirinya sahaja yang pandai dan cerdik. Bila bercakap penuh dengan tatasusila. Pendakwah yang bijak juga sangat berlapang dada untuk menerima perbezaan pendapat asalkan ia bukan soal akidah. Mereka juga tidak mudah untuk mengatakan orang itu atau orang ini salah. Mereka juga amat menghormati ketinggian ilmu dan pandangan orang lain.

Berbeza pandangan adalah perkara biasa. Namun demikian, adalah malang bilamana perbezaan pendapat itu dijadikan punca untuk kata-mengata, mengkafir, berlagak, sombong dan angkuh tak tentu fasal. Hal sedemikian cukup jelek di mata orang awam. Apatah lagi jika ianya terjadi dalam kalangan mereka yang dipandang ada ilmu agama.

Sebagai golongan yang berilmu agama, berdakwahlah dengan baik, tertib, berhemah dan jujur supaya ia akan jadi teladan kepada golongan yang kurang ilmu. Jangan sesekali mengelirukan orang awam dengan ego dan lagak tak tentu fasal. Hal yang sedemikian tiada manfaatnya dunia dan akhirat.

No comments: