Mungkin kerana saya sudah agak lama tidak ke Muzium Negara, Kuala Lumpur, maka saya tidak menyedari sudah ada beberapa perubahan yang berlaku di situ. Antaranya ialah tempat meletak kenderaan di sana kini sudah merupakan kawasan meletak kenderaan yang berbayar. Tak pastilah pula sudah berapa lama ia telah wujud. Saya sendiri tidak pasti sama ada masih ada lagikah kawasan meletak kenderaan percuma di kawasan tersebut.
Tengah hari tadi, setelah menyelesaikan beberapa urusan di sekitar KL, saya dan isteri bercadang untuk menikmati makan tengah hari di Muzium Negara sahaja. Saya pernah makan di sana beberapa kali dan mendapati makanannya enak dan pelbagai pilihan pula. Sebab itulah saya telah mengambil keputusan untuk makan tengah hari di sana sahaja.
Setibanya kami di Muzium Negara sekitar jam 2.00 petang, kami terkejut kerana sudah ada palang penghadang yang menunjukkan bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan meletak kenderaan berbayar. Tak mengapalah juga, mungkin kerana ekonomi semakin gawat, jadi mana ruang yang boleh dijadikan sumber pendapatan, maka ia pasti akan dieksploitasikan sepenuhnya. Apa yang tertera di situ ialah, untuk satu jam pertama, para pengguna harus membayar RM3.00. Setelah mengambil tiket, kami pun berpusing-pusinglah untuk mencari tempat kosong untuk meletakkan kenderaan. Malangnya setelah berpusing-pusing beberapa kali, satu tempat kosong pun tak ada. Akhirnya saya dan isteri terpaksa membuat keputusan untuk makan tengah hari di tempat lain sahaja. Kami sekadar berpusing-pusing mencari tempat sahaja. Turun dari kenderaan pun tidak. Bila kami hendak keluar semula, kami tetap dikenakan caj RM3.00.
Bila saya tanya, tak ada parking pun kena bayar juga ke? Kakitangan yang bertugas bukan sahaja tidak menjawab tapi dia buat-buat bodoh pula. Tak tahulah kalau dia mungkin benar-benar bodoh! Untuk tidak mengeruhkan keadaan dan kebetulan kenderaan yang hendak keluar juga banyak, maka saya bayar jugalah RM3.00 berkenaan dengan sangat berat hati. Sudahlah terpaksa berpusing dengan agak lama dan tidak dapat meletakkan kenderaan, kami kena bayar RM3.00 pula.
Mudahnya untuk dapatkan wang secara tidak berpertimbangan sebegini. Kalau kawasan meletak kenderaan sudah penuh, tulislah notis di luar awal-awal. Jadi kenderaan yang belum masuk boleh mencari tempat lain dan tidak perlulah masuk dan beri wang secara percuma sahaja. Kalau tak dapat tulis notis sedemikian di luar, buatlah pertimbangan yang lebih wajar iaitu kenderaan yang sudah masuk tetapi tidak dapat tempat untuk meletakkan kenderaan dibenarkan keluar tanpa diambil bayaran. Lagipun ia bukan salah pemandu kenderaan berkenaan, tetapi yang salahnya ialah pengendali tempat meletak kenderaan yang gagal memaklumkan kepada para pemandu bahawa kawasan meletak kenderaan sudah penuh dan kenderaan tidak boleh masuk lagi.
Kalau iya pun hendak cari untung lebih, biarlah berpada-pada dan kena caranya. Jangan sampai menindas orang lain. Orang yang kena macam saya pastinya akan menyumpah. Setidak-tidaknya doakan supaya pengendalinya rugi melingkup. Tak guna untung dengan cara menyusah dan menindas orang lain. Inilah akibatnya kalau ada otak tanpa KBAT.
Dalam keadaan nilai wang kita semakin lemah, jangan kata RM3.00, sepuluh sen pun kena kira. Dalam insiden tengah hari tadi, rakyat marhaen seperti sayalah yang lebih diutamakan dan lebih didahulukan untuk terkena.
No comments:
Post a Comment