Thursday, February 4, 2016

Ahmad Basha: Menteri Besar Kedah Yang Baru




Siang tadi telah berlangsung majlis istiadat angkat sumpah jawatan bagi menteri besar Kedah yang baru, YAB Datuk Seri Ahmad Basha Md Hanifa. Dengan berlangsungnya majlis istiadat berkenaan, maka secara atas kertas berakhirlah kemelut politik di Kedah yang memakan masa sekitar dua minggu lamanya. Semua pihak mengharapkan agar selepas ini, ketenangan politik akan dapat dipulihkan khususnya di Kedah. Dengan itu, barulah agenda pembangunan akan dapat diteruskan. Bukankah itu antara janji orang-orang politik ketika berkempen dalam pilihanraya dahulu?



Belum pun sempat Datuk Seri Ahmad Basha mencecahkan punggungnya atas kerusi empuk menteri besar, orang ramai sudah pun memperkatakan tentang beliau. Biasalah mulut orang, bukannya mulut tempayan. Pertamanya tentang kelulusan beliau. Menteri besar Kedah yang baru ini dikatakan hanya sekadar berkelulusan SRP sahaja. Sedangkan pada masa yang sama, dalam kalangan ADUN BN Kedah, masih ada yang berkelulusan lebih tinggi daripada itu. Nampaknya selepas ini, mereka yang berkelulusan ijazah kena dengar, ikut dan patuh kepada arahan daripada orang yang hanya berkelulusan SRP sahaja. Hal yang serupa sudah lama berlaku dalam sebuah badan bukan kerajaan untuk golongan yang cacat penglihatan. Bezanya kelulusan pemimpin nombor satu atas sedikit daripada SRP.

Satu lagi ialah mengenai habit beliau yang dikatakan mudah tertidur. Dalam kalangan orang politik, Datuk Seri Ahmad Basha bukanlah orang pertama yang dikaitkan dengan “tidur”. Malahan sebelum ini salah seorang bekas perdana menteri pun pernah dikaitkan dengan “tidur” berkenaan. Jadinya, Datuk Seri Ahmad Basha tidak keseorangan dalam hal ini.

Selaku pemimpin nombor satu Kedah hari ini, sudah tentulah Datuk Seri Ahmad Basha lebih arif tentang pelbagai cabaran, duri dan onak yang bakal beliau tempuh selepas ini. Kebetulan pula pilihanraya umum ke-14 kian hampir. Dua tahun bukanlah satu tempoh yang panjang. Pejam celik, dua tahun berlalu tidak terasa.

Antara tugas getir yang sedang menanti beliau ialah untuk memulihkan perpaduan dalam UMNO di Kedah. Ia amat penting jika kerajaan yang sedia ada ingin mengekalkan kuasa di negeri tersebut. Pertukaran penjawat menteri besar di pertengahan penggal secara tiba-tiba sudah tentu memberi kesan yang mendalam kepada ahli UMNO peringkat akar umbi. Lazimnya golongan akar umbi tidak memberi respon secara terbuka. Respon secara senyap inilah yang sukar dibaca. Adalah amat bahaya bagi UMNO jika apa yang terbuku dalam hati mereka diluahkan atas kertas undi dalam pilihanraya umum yang akan datang. Keputusan pilihanraya umum 2008 seeloknya dijadikan teladan jika UMNO/BN ingin mengekalkan kuasa pemerintahan negeri dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sekiranya Datuk Seri Ahmad Basha gagal menyatupadukan UMNO dengan segera, ia sudah pasti akan memberi kesan kepada prestasi UMNO itu sendiri dalam pilihanraya umum yang akan datang. Tugas untuk menyatupadukan UMNO bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun rambut sama hitam (kecuali yang sudah beruban), hati tetap lain-lain. Tentunya ada pihak yang tetap tidak berpuas hati dengan cara bagaimana menteri besar yang ada sekarang boleh duduk di kerusi empuknya.

Sekiranya pihak pembangkang di Kedah, khususnya PAS, gagal membina kekuatan selepas dilanda perpecahan sehingga munculnya PAN, maka ada kemungkinan besar UMNO/BN di Kedah masih selamat. Mereka masih berupaya untuk mengekalkan kuasa pemerintahan negeri. Dengan erti kata lain, sekiranya situasi yang ada hari ini tidak banyak berubah, maka peluang untuk UMNO/BN kembali berkuasa selepas PRU ke-14 sememangnya cerah. Kemampuan untuk berkuasa semula bukannya kerana UMNO/BN di Kedah kuat tetapi kerana pihak pembangkang yang lemah. Ini sudah tentu memberi laba politik kepada Datuk Seri Ahmad Basha sendiri.

Tiada siapa pun yang tahu selama manakah Datuk Seri Ahmad Basha mampu bertahan di kerusi menteri besarnya.

Untuk menonton majlis angkat sumpah Datuk Seri Ahmad Basha selaku menteri besar Kedah, sila klik
Di sini


No comments: