Friday, February 12, 2016

Tuan Guru Nik Abdul Aziz: Setahun Selepas Pemergiannya




12 Februari 2015 merupakan tarikh yang tidak mungkin dilupakan oleh sejarah negara. Pada tarikh berkenaan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah kembali ke rahmatullah dijemput Pencipta kita semua. Dari saat berita pemergian Tuan Guru Nik Aziz mula tersebar, kawasan persekitaran Kampung Pulau Melaka , Kelantan, mula menjadi tumpuan orang ramai yang datang untuk ziarah buat kali terakhir. Mereka yang berbondong-bondong ke Kampung Pulau Melaka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, daripada golongan marhaen hinggalah kepada golongan bangsawan dan pemerintah tanpa mengira ideologi politik.



Pada hari pengkebumian Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz keesokan harinya, kawasan persekitaran Kampung Pulau Melaka khususnya di sekitar kawasan perkuburan Islam kampung berkenaan menjadi lautan manusia dengan puluhan ribu orang ramai yang datang untuk menziarah. Mereka yang berkesempatan telah sama-sama bersesak-sesak untuk menghadiri saat pengkebumian jenazah Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz. Berdasarkan liputan pelbagai media serta jumlah orang ramai yang telah hadir pada upacara pengkebumian beliau, nyatalah Tuan Guru Nik Aziz bukan sembarangan tokoh.

Untuk menonton mengenai kematian Tuan Guru Nik Aziz, sila klik
Di sini


Memang tidak dapat dinafikan, berita tentang perginya Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz telah menyentak banyak pihak. Datuk Seri Mohd Najib sendiri sewaktu menerima berita perginya Allahyarham, tatkala itu beliau sedang berucap dalam satu majlis, telah memberhentikan sebentar ucapannya untuk mengumumkan mengenai perginya tuan Guru dan seterusnya telah sama-sama membacakan surah Alfatihah untuk Allahyarham. Di samping itu, ramai yang telah menitiskan air mata bila menerima berita berkenaan. Ada juga yang terperanjat kerana masih mengharapkan agar usia Allahyarham dipanjangkan lagi. Namun demikian, semuanya harus menerima hakikat bahawa saat untuk Tuan Guru Nik Aziz menghadap Ilahi sebagaimana yang telah tersurat harus diterima.

Ia menunjukkan bahawa Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz sentiasa mendapat penghormatan daripada pelbagai pihak, sama ada kawan mahupun lawan politiknya. Kewibawaan, Keilmuan dan ketokohan beliau memang diakui oleh semua pihak. Maka itulah, ramai orang yang turut sama berdukacita apabila mendengar berita tentang kembalinya beliau ke rahmatullah.



Kini setahun sudah berlalu. Ingatan tentang Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz tetap segar dan mekar sepanjang masa. Amanatnya, ceramahnya, siri kuliahnya, tulisan mengenainya serta kata-kata beliau tetap menjadi ingatan dan pedoman buat sesiapa yang ingin mengambil peringatan daripadanya. Apa yang beliau telah sampaikan semasa hayatnya kini tidak jemu-jemu untuk diulang tonton/dengar pada setiap masa. Dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, siri pelbagai kuliah dan ceramah yang pernah disampaikan oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz boleh diakses dengan begitu mudah sekali. Demikianlah.

Untuk menonton petikan ringkas ceramah tuan guru Nik Aziz, sila klik
Di sini


Setelah setahun kembalinya Allahyarham, pelbagai peristiwa telah berlaku khususnya yang berkaitan dengan politik PAS dan Pakatan Rakyat yang kini telah terkubur. Insidan yang paling mendukacitakan yang telah menimpa PAS ialah apabila perpecahan dalaman telah melanda parti siasah berkenaan. Ekoran daripada keputusan dalam muktamar tahunannya pada 2015 yang lalu, sebilangan tokoh yang dilabelkan sebagai kumpulan profesional telah tersingkir daripada barisan pimpinan PAS. Ia tidak terhenti setakat itu sahaja. Kumpulan yang telah tersingkir kemudiannya telah menubuhkan apa yang mereka panggil sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB). Bagi pemerhati berkecuali seperti saya, ia menandakan satu perpecahan lebih besar kemungkinan akan berlaku. Telahan berkenaan tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi realiti. Tidak lama kemudian, kumpulan yang telah tersingkir tersebut telah keluar beramai-ramai daripada PAS dan kemudiannya telah menubuhkan satu lagi parti politik yang baru yang kini dikenali sebagai Parti Amanah Negara (PAN). Bagi saya, peristiwa berkenaan merupakan titik hitam pertama dalam sejarah PAS selepas pemergian Tuan Guru Nik Aziz.

Tidak lama selepas itu pula, satu pengumuman telah dibuat iaitu Pakatan Rakyat telah berakhir. Ini bermakna gabungan antara tiga parti pembangkang utama, PAS, DAP dan PKR yang sebelum ini telah membentuk apa yang dipanggil sebagai Pakatan Rakyat telah berkubur. Tidak lama selepas itu pula, tiga parti pembangkang iaitu DAP, PKR dan PAN telah menubuhkan pula apa yang mereka panggil sebagai Pakatan Harapan. Ia sebagai menggantikan Pakatan Rakyat yang telah dibubarkan.



Sehingga kini, hasrat PAN untuk cuba menggantikan PAS masih jauh daripada menjadi realiti. Pada masa yang sama, tuntutan ke arah perpaduan dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu semakin mendesak. PAS ada kekuatannya yang tersendiri. Legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz tidak mungkin padam begitu sahaja. Apatah lagi Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya selaku ahli PAS. Kini keluarga Allahyarham pula merupakan pendokong PAS. Oleh yang demikian, dari sudut politiknya, tautan antara Tuan Guru Nik Aziz dengan PAS sememangnya sesuatu yang tidak mungkin dapat dipisahkan.



Pada pengamatan saya, sama ada ahli PAN apatah lagi ahli PAS, kedua-duanya sangat menghormati Tuan Guru Nik Aziz. Bahkan ada dalam kalangan pemimpin kedua-dua kumpulan siasah ini telah pun mendapat tarbiah politik secara langsung daripada Tuan Guru Nik Aziz sendiri. Perpecahan dalam PAS sehingga lahirnya PAN menjelaskan bahawa kewibawaan dan ketokohan Tuan Guru Nik Aziz selaku penyatu politik tiada tandingannya dan gagal diteruskan dan diteladani oleh pemimpin yang kemudian daripada beliau. PAS mungkin bertuah kerana telah beroleh pemimpin seperti Tuan Guru Nik Aziz, tetapi PAS masih belum bertuah kerana masih gagal menjadikan semua pemimpinnya seperti Tuan Guru Nik Aziz dalam serba-serbi.

Sesungguhnya pemergian Tuan Guru Nik Aziz serta ditambah pula dengan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim 2 hari sebelum pemergian Allahyarham Tuan Guru telah membawa implikasi kepada porak-purandanya barisan parti-parti pembangkang. Untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa seperti Tuan Guru Nik Aziz bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak mungkin dapat direalisasikan dalam masa yang singkat. Pemergian Tuan Guru Nik Aziz menghadap Ilahi bagai patah tak tumbuh lagi dan hilang tak berganti. Peristiwa kembalinya Allahyarham menghadap Ilahi seakan baru sebentar tadi berlaku.

Alfatihah ....





No comments: