Wednesday, February 1, 2017

Busu Mail Dalam Ingatan




Semalam (Selasa 31 Januari 2017 bersamaan 3 Jamadil-Awwal 1438), saya telah kehilangan seorang bapa saudara yang cukup berjasa dalam hidup saya terutamanya semasa saya menuntut di sekolah menengah. Insan yang saya maksudkan ialah Tn. Hj. Ismail Chonen. Beliau lebih mesra dengan panggilan Busu Mail sahaja. Dari segi hubungan keluarga, Allahyarham ialah sepupu kepada ayah saya. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang pada sekitar jam 11.00 pagi semalam. Namun demikian, saya hanya menerima berita pemergian beliau pada jam 3.06 petang melalui panggilan telefon Khairul Anuar yang juga merupakan dua pupu saya. Pada ketika itu, saya sekeluarga masih di Kuantan kerana ibu mertua saya juga sedang uzur dan kesihatannya semakin merosot. Dua pupu saya memberitahu, jenazah Busu Mail akan dikebumikan selepas solat asar hari itu (semalam ) juga.


(Busu Mail ketika mudanya)


Setelah mencongak waktu yang masih ada, saya menjangkakan boleh tiba ke lokasi tempat pengkebumian sewaktu pengkebumian sedang berjalan. Saya segera “memerintahkan” isteri dan anak tunggal kami supaya berkemas dan bertolak segera ke KL. Malangnya tatkala berada di lebuhraya Karak, jalan sesak yang amat sangat. Saya tidak dapat berbuat apa-apa selain tidak putus-putus berdoa. Kami hanya dapat melepasi tol Gombak pada sekitar jam 7.00 malam. Saya terus menghubungi semula dua pupu saya dan beliau memberitahu jenazah Allahyarham baru sahaja selamat dikebumikan. Maknanya, jika tiada kesesakan, insha-Allah saya boleh tiba ke lokasi pengkebumian sewaktu upacara pengkebumian sedang berjalan. Saya cukup kecewa tetapi tetap akur dengan takdir yang telah ditentukan.

Pada awal pagi tadi pula, saya terpaksa pulang ke kampung di Melaka untuk menziarahi ibu saya yang juga kurang sihat. Akhirnya sekitar jam 6.30 petang tadi setelah tiba semula ke KL, baru saya berpeluang menziarahi keluarga bapa saudara saya itu di rumahnya di Ampang. Sekitar setengah jam saya di rumahnya. Menurut Maksu, isterinya, sebelum Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir, beberapa kali beliau ada menyebut nama saya. Hiba hati saya mendengarnya.

Sewaktu saya menuntut di sekolah menengah, ada dua orang yang cukup berjasa kepada saya. Kedua-duanya sentiasa memberi sokongan kepada saya sama ada secara moral mahupun dalam bentuk material. Busu Mail adalah salah seorang daripadanya. Allahyarham bukan sahaja sering menjenguk saya di asrama, bahkan acapkali membawa saya pulang ke rumahnya di Ampang pada hujung minggu. Tidak cukup dengan itu, jika beliau ada masa, beliau akan menghantar saya pulang ke kampung di awal cuti penggal dan akan membawa saya semula ke KL (asrama) bila cuti berakhir.

Allahyarham juga merupakan insan yang sering memberi saya wang saku. Jumlah yang selalu beliau beri bukannya seringgit dua, tetapi lebih dari mencukupi untuk perbelanjaan saya seorang. Selain itu, beliau juga sering membelikan pelbagai keperluan lain terutamanya keperluan sekolah. Setiap kali beliau membawa saya ke rumahnya pada hujung minggu, saya sering dijamu dengan makanan yang cukup menyelerakan. Seingat saya, Allahyarham adalah orang yang telah memperkenalkan kepada saya dengan makanan ala barat.

Banyak lagi jasa beliau kepada saya. Semakin dikenang dan diingat, semakin hiba hati saya dibuatnya. Mudah-mudahan Allahyarham akan sentiasa mendapat keampunan daripada Allah, akan sentiasa dicucuri rahmat dan sentiasa dihimpunkan bersama-sama dengan para solihin.

Alfatihah ....


No comments: